Friday, September 30, 2005

perintah Tuhan.

ain nombor empatpuluh lapan

aku
adalah daun
yang paling akhir
di pohon
yang paling kering
di musim
yang paling luruh.


engkau
adalah tanah
yang enggan
di airi.

oh ain.


Di esastera.com kami sedang dalam err...pembuatan sajak-sajak ain. Kami bercadang untuk mencukupkan siri sajak ain kepada jumlah seribu. Ain nombor empat puluh lapan ini adalah sumbangan saya yang entah yang keberapa.

Ianya juga merupakan cara saya menarik ahli-ahli esastera untuk datang membaca blog saya ini. Kepada ahli esastera yang membaca tulisan ini, sila iklankan kepada semua ahli esastera untuk kemari.

Saya juga menjemput siapa sahaja yang bukan ahli esastera untuk kesana (esastera) dan menyumbangkan seberapa banyak sajak dengan judul ain supaya saya dan esastera menjadi lebih terkenal.


p/s: malu saya dengan keberanian para penulis buku Wilayah Kutu. Saya seperti budak yang baru belajar mencarut jika di bandingkan dengan para penulis buku itu. (dari apa yang saya baca di blog Mat Jan) . Saya hormati keberanian mereka. Cuma saya nak tanya sikit, mak kamu tak marah ke kamu tulis macam tu?

Tuesday, September 27, 2005

aduh,

Jamrihusen bukanlah orang pertama yang menulis sajak setelah membaca tulisan saya. Loppiess juga menulis sebuah puisi setelah membaca tulisan saya.

Kadang-kadang saya tidak sedar yang saya sebenarnya adalah seorang sasterawan yang mahahebat. Seperti Mirza Ghulam Ahmad yang pada mulanya tidak sedar beliau sebenarnya adalah Imam Mahadi kemudian Nabi Isa dan akhirnya dia sebenarnya adalah tuhan. Mujurlah ada yang mengingatkan saya mengenai betapa hebatnya bakat sastera yang saya sendiri kurniakan kepada diri saya.

Kemudian saya baca pula bagaimana saya membuka minda ramai pembaca blog hebat saya ini. Dan dengan kuasa majik yang ada pada saya, saya mampu menumpahkan teh susu di tangan Halela nun di Jepun sana.

Dan Jannah.

Sekarang cuba beritahu saya siapa penulis blog yang mempunyai kuasa sakti seperti saya?
(hmmm..siapa ada alamat rumah Ayah Pin?)

Sunday, September 25, 2005

sakit

Sudah lama saya teringin untuk menari di khalayak ramai.Bukan di disko atau rumah menari yang khas, tetapi menari di tepi-tepi jalan seperti yang selalu saya lihat dilakukan di kebanyakan negara-negara Afrika.

Mungkin kerana terhidu bau ganja yang ber..er..selerakkan atau mungkin kerana terlalu ingin untuk memalukan diri sendiri, semasa pesta African-Caribbean tempoh hari, saya menari bersama-sama penari-penari yang berarak dengan pakaian yang sangat minimal. (bayangkan pesta Mardi Gras yang sering kamu lihat di televisyen dan bayangkan saya ditengah-tengah perempuan separa bogel).

Hasilnya amat memeranjatkan! Saya benar-benar terhibur! Tahulah saya kini mengapa ramai bangsa di dunia ini yang berhibur dengan menari. (walau bagaimana pun, saya yakin bau ganja memainkan peranan yang lebih penting dalam mengembirakan saya)


Saya cuma berhenti menari apabila salah seorang perempuan yang tidak memakai baju luar yang sama menari dengan saya tiba-tiba cuba mengeselkan tubuhnya kepada anggota aurat saya. Saya tidak biasa anggota aurat saya digesel oleh perempuan yang belum menjadi isteri saya.

Cuba bangun dan menari, seorang diri atau bersama isteri atau bersama anak-anak, saya percaya kamu semua akan bersetuju.

p/s: arigato halela. unsunghero, saya suka bila kamu bersuara. dan saya terlupa untuk berterima kasih kepada ustad ramy yang mengirimkan cd halim yazid kepada saya. terima kasih ustad. dr in the house, jika saya memakan french fries adakah saya akan menjadi french atau fries?

Friday, September 23, 2005

benar

Didalam dunia ini, hanya dua jenis manusia yang tidak di benarkan memakan daging babi, Islam dan Yahudi. Mengapa? Siapa tahu sebab sebenar larangan memakan daging babi kepada umat Islam?

Jika di lihat dari mulanya, larangan memakan babi ini ada kena mengena dengan peristiwa yang berlaku di atas bahtera Nabi Noh. Semua binatang yang ada di dalam bahtera tersebut di larang dari melakukan hubungan jenis. Larangan ini tidak di endahkan oleh sang babi dan juga sang anjing. Adakah ini punca larangan tersebut?

Semua orang tahu tentang bagaimana daging babi di penuhi oleh kuman-kuman yang walau di masak selama mana sekali pun tidak akan mati. Tetapi apakah musibah yang di bawa oleh kuman-kuman ini? Mengapa tidak ada keputusan tentang penyakit yang di akibatkan oleh kuman-kuman yang terdapat di dalam daging babi?

Apakah larangan memakan daging babi ini hanya sebagai penanda ketaatan? Mungkin benar kata mereka-mereka yang melantak daging babi iaitu ianya adalah daging yang paling lazat di dunia. Kita di larang dari memakannya hanya kerana Tuhan mahu menguji kita.

Ustad-ustad selalu bercerita tentang bagaiman nanti di sorga kita di bolehkan meminum arak setelah di larang berbuat demikian di dunia ini, pernah dengar ustad-ustad bercerita tentang jamuan babi panggang di sorga nanti?

Dan akhir sekali mengapa orang (yang mengaku) Islam yang meminum arak merasa amat jijik untuk memakan babi?

babi oh babi,
mengapa engkau babi?

Wednesday, September 21, 2005

kemenangan

Biasanya yang terhegeh-hegeh mahu bermuhibbah adalah orang Melayu. Bangsa lain di Malaya seperti tidak hinggin bermuhibbah. Contoh terbaik adalah drama Kisah Benar di televisyen. Bila kisah benar yang dipaparkan berkisar tentang keluarga Cina, drama berkenaan seolah-olah di filimkan di Hong Kong. Tidak ada seekor pun muka Melayu. Drama Melayu sibuk memasukkan watak perbagai bangsa. Ayappan boleh cari makan dengan drama Melayu. Pernah tengok Salleh Yaakub berlakun drama Tamil?

Pernah tengok Cina buat filim cinta berlainan bangsa di Malaya?Pergi tengok semua filim indi buatan Malaya. Tengok berapa kerat yang memasukan muka Melayu dalam wayang mereka.

Terhegeh-hegeh! muka tak malu.

p/s: Tok Rimau dah bersara? sia-sia saya berbaik-baik dengan dia. Siapa ketua Geng Jurnal yang baru?

Saturday, September 17, 2005

ini

Membelanjakan wang sebanyak rm5 juta bagi majlis persaraan kepada saya bukanlah masalah besar. Siasatan boleh di lakukan bagi mengetahui dari mana sumber kewangan itu di dapati. Ini semua boleh di bereskan dalam masa yang amat singkat.

Jika ada yang bersalah dalam hal ini. Tangkap dan hukum. Habis cerita.

Yang menjadi masalah kepada saya adalah antara aturcara majlis perpisahan itu. Karaoke dan majlis menghisap cerut. Ada dua lawak di sini.

Pertama adalah 'majlis menghisap cerut'. Kepada kita yang tidak berapa bertamadun ini, ianya satu kerja yang amat bodoh. Mengapa perlu ada acara khas untuk menghisap cerut? Tidak bolehkah menghisap cerut sambil berkaraoke? Semasa mengisap cerut, apa yang mereka buat? Tengok siapa yang keluar asap paling banyak? Atau lawan cerut siapa paling besar? Makluman: Sila membodohkan diri semasa membawa tulisan di atas.

Lawak yang ke dua pula adalah lawak yang sedih. Bayangkan bapak kamu yang berumur 55 atau 60 tahun terlalak-lalak berkaraoke di hari meraikan persaraan. Tidakkah kamu merasa gelihati dan dalam masa yang sama merasa sedih? Umur dah tinggal bahagian subsidi masih sibuk berparti. Esok lusa dah nak mampus masih sampai hati bernyanyi!

Mungkin kerana majlis yang ada kaitan dengan agama tidak akan mempopularkan bakal pesara kerana ianya akan menjadi penghalang kepada rancangan masadepan mereka selepas pencen. ( baca projek). Rancangan masadepan selepas pencen? Gila sungguh. Sayang sungguh kita kepada kehidupan ini.

p/s; tulisan di bawah bukanlah pembuka kepada debat gender seperti kata lope. Ianya hanyalah sumbangan saya kepada penghasilan buku Jiwa Kacau. Saya juga sedikit terkilan apabila dikatakan sebagai pakar provokasi sedangkan tujuan saya menulis hanyalah untuk menjadi popular.

Thursday, September 15, 2005

.

Biasanya saya hanya menerima satu atau dua surat-e dalam seminggu. Selalunya Abu Yusuf yang menghantar beritaniaga dengan diselang-seli cerita kawan-kawan. Satu lagi email dari Meor, penyanyi tepi jalan. Meor biasanya cuma bertanya khabar.

Tetapi semenjak dua menjak ini kotak surat-e saya di penuhi oleh surat-surat yang secara khususnya tidak di kirimkan kepada saya. Ianya adalah bual bicara kawan-kawan yang bertungkus-lumus mengusahakan buku Jiwa Kacau. (sila beli buku ini. buku ini sangat bagus)

Saya membaca dengan asyik cerita-cerita pengorbanan kawan-kawan yang mengusahakan buku tersebut. Satu cerita yang menarik perhatian saya adalah bagaimana sesetengah kawan-kawan yang bertungkus-lumus itu terpaksa berhadapan dengan kerenah isteri yang tidak memahami atau tidak mahu faham tentang pengorbanan suami. Mereka tidak (mahu) faham mengapa suami mereka perlu luangkan masa yang lebih untuk buku itu.

Perempuan memang begitu, mereka bodoh sikit. Pendek akal. Mereka jarang boleh berfikir jauh-jauh. Mereka mahu laki duapuluhempat jam mengulit mereka. Jika di beri peluang, perempuan mahu laki mereka membilang semua bulu ari-ari di tubuh mereka. Tidak perlu buat kerja lain.

Mereka juga tidak faham maksud berkahwin. Pada mereka berkahwin adalah lesen untuk mereka merengek walau pun tidak di masa yang betul. Semua lelaki sukakan perempuan yang merengek, tapi tengok masa jugak lah. Perempuan biasanya terlupa yang laki mereka hari ini adalah laki mereka lepas mati esok. Tidak akan berpisah mereka selama-lamanya . Tidak perlu cemburu, tidak perlu syak wasangka. Jangan cari pasal. Tidak perlu juga tarik muka. Lepas mati esok laki tak pergi mana-mana, tak buat buku Jiwa Kacau dah, masa tu kalau nak suruh bagi nama kepada setiap helai bulu ari-ari di tubuh kamu pun boleh. Lain lah jika hari ini kena cerai.

Sementara waktu ini, jangan ganggu laki kamu. Pergi jadi isteri yang taat, sambut kepulangan laki kamu walau selambat mana sekali pun dengan senyuman. Picit-picitkan tubuhnya yang keletihan. Laki kamu pasti akan bertambah sayang kepada kamu. Esok bila buku Jiwa Kacau terjual sampai 170,000 buah kamu juga yang kaya. (perempuan semua suka duit. Mana ada perempuan yang mahu kawin dengan lelaki miskin, lelaki sahaja yang mahu kawin dengan perempuan miskin). Keluar rumah nanti pakai stokin, kaki pun aurat juga.

p/s: terima kasih kak nong.

Tuesday, September 13, 2005

dia

Setiap kali saya mendengar lagu (saya kata lagu tapi sebenarnya dikir barat) nyanyian Halim Yazid, air mata saya akan mengalir. Lagu tersebut menceritakan kesusahan beliau semasa kecil. Mungkin ianya cerita sebenar . Mungkin juga hanya rekaan beliau. Saya mengambilnya sebagai kisah benar. Tajuk lagu tersebut ialah 'diri ambo' (diri saya).

Airmata saya mengalir bukan kerana saya mengalami nasib yang sama dengan beliau ( saya anak orang yang sangat kaya) tetapi kerana saya amat sedih kisah bergini masih terjadi di dalam keadaan kita yang berbangga-bangga dengan kekayaan negara. Kita tidak pernah mahu mengambil tahu tentang kesusahan ramai anak-anak Melayu yang mahu ke sekolah. Kita lebih rela menghabiskan wang ringgit membeli apa yang kita rasa perlu ada. Jarang sangat ada di antara kita yang mahu memperuntukan wang ringgit buat membantu anak-anak miskin. Ramai juga antara kita yang langsung tidak merasa berdosa menghabiskan wang untuk mengundi calon pertandingan nyanyian di tv.

Banyak orang berkata yang orang Melayu ini malas membaca. Saya kurang setuju. Sebenarnya ramai orang Melayu yang rajin membaca. Kita ini cuma malas membeli bahan bacaan kerana kebanyakan kita ( yang betul-betul mahu membaca) tidak berkempauan membeli buku. Kebanyakan buku yang baik harganya agak mahal. (kerana itu jugalah ramai antara kita memilih untuk membaca majalah hiburan kerana ianya sedikit murah, bukan kerana mahu tahu saiz terbaru buah dada pelakon/penyanyi perempuan tanah Malaya ). Penerbit majalah hiburan juga perlu di terima kasihkan kerana memberi altenatif yang murah kepada pendahaga-pendahaga bahan-bahan bacaan. Terima kasih Karangkraf.

Saya melalut. Dari cerita anak Melayu miskin pergi kepada cerita Melayu malas membaca.
Saya tamatkan tulisan ini di sini.

Saya sedikit kecewa kerana cubaan saya untuk berjenaka (tulisan di bawah) tidak di fahami. :)

p/s; untuk memahami senikata lagu Halim Yazid mungkin akan mendatangkan sedikit masalah bagi mereka-mereka yang kurang arif dengan loghat Kelantan jadi minta lah pertolongan mereka-mereka yang faham. Rudy rasa saya tidak akan ada masalah ini.

Friday, September 09, 2005

berdengkur

Saya percaya semua kutu akan bersetuju yang sesiapa yang pernah memakai jeans berwarna unggu adalah bukan kutu . Mereka adalah wannabe's. Atau dalam bahasa Melayunya, beliaempatbees.

Tuesday, September 06, 2005

tetapi

Semua orang (dan haiwan dan jin dan pokok kayu) tahu yang dunia ini semakin tua. Semua tahu riwayat israq Nabi tercinta. Cuma kita tidak di beritahu bila akan matinya dunia ini. Walaupun demikian, kita di beritahu tentang tanda-tanda akan matinya dunia. Banyak tanda-tanda telah pun berlaku. Malang sedikit kita biasanya akan menafikan tanda-tanda tersebut. Kita sentiasa mencari alasan logik bagi menenangkan hati . Saya percaya nanti bila matahari terbit dari arah yang lain, akan ada manusia yang bermati-matian menerangkan secara falak tentang mengapa terjadi fenomena alam tersebut.

Bila saya katakan yang semua orang yang membaca tulisan saya ini akan mati, saya jamin ada yang mengatakan yang saya ini sebenarnya seorang dukun. Sentiasa menafikan kekuasaan Allah bukan hanya terjadi kepada mereka yang tidak percayakanNYA sahaja, kita yang amat yakin ini juga banyak kalanya menidakkan kekuasaanNYA.

Neraka bukan tempat orang kafir di siksa, neraka adalah tempat orang Islam yang tidak endahkan suruhan.Si kafir akan menjadi bahan bakar, kita ini yang akan di bakar! Tidak adakah langsung ketakutan kepada kemurkaan Allah sehingga kita menjadi si bangang yang tidak memikirkan kematian yang mesti datang? Sibuk benar kita dengan sejuta macam hiburan. Sebilion macam kerja. Tunggu mampus baru mahu bertaubat?

Mujur benar di Malaya ada siti (sopan), ada mawi (alim) ( yang sering mengingatkan kita tentang mati).

Thursday, September 01, 2005

tidak

Kepada kebanyakan ibubapa, remaja yang minum arak, yang berzina, yang tidak menutup aurat,yang tidak sembahyang dan yang terlibat dengan apa juga masalah moral adalah anak orang lain. Cuba tanya pakcik sebelah kamu nanti didalam LRT. Nescaya dia akan menceritakan kebaikan anak sendiri sambil mencemuh kelakuan buruk anak orang lain.

Begitu juga dengan anak-anak, ibubapa mereka tidak pernah melakukan kesalahan. Tak percaya tanya anak polis trafik yang kamu kenal samada bapa/ibu mereka makan rasuah.

Maka layaklah Malaya di gelar negara Islam kerana tidak ada siapa pun sebenarnya yang berdosa jika kita menerima pandangan ibubapa dan anak-anak kebanyakan penduduk Malaya.