Sunday, December 31, 2006

marah

Setelah beberapa kali berjanji dan tergendala, akhirnya dapatlah satu tarikh yang saya dan Shahriman, rakan sekelas saya dahulu, berjanji untuk bertemu.Kami sudah tidak bertemu kira-kira 15 tahun. Dan saya sangat gembira.

Di hari yang dijanjikan, saya menunggu dengan penuh debaran di restauran di hadapan sekolah lama kami. Sengaja kami pilih restauran tersebut kerana nostalgia. Saya sampai 30 minit awal. Saya sangat gembira.

Dari jauh saya lihat Shahriman datang. Dia masih seperti dulu, kacak dan bergaya cuma sedikit err.. tebal. Mungkin kerana usia atau mungkin juga kerana senang.Dia membimbit sebuah beg.

Dia menghulurkan tangan, saya tarik tangannya dan terus memelok. Dia sedikit terkejut.Mungkin kerana tidak menjangka saya akan memelok kerana walau pun sekelas, dia dari kumpulan budak nakal, saya kumpulan yang lagi satu.Dan kami bukanlah rakan yang akrab semasa di sekolah. Tapi saya menganggap siapa sahaja yang tidak saya temui lebih dari 3 tahun adalah kawan rapat.

Pelayan restauran datang dan bertanya sama ada kami mahu membuat pesanan, saya katakan yang kami akan memanggil jika sudah bersedia.

Kami mula berbual cerita semasa disekolah dulu.

Dari Shahriman saya dapat tahu yang Baharuddin kini adalah pengurus sumber manusia di kilang Panasonic. Abdul Mutalib hilang entah kemana. Zul Qaisar adalah pereka sampul kaset bagi kumpulan Belantara! Album Serikandi Disisi atau apa. Saya lupa. Shamsul Bahri katanya mungkin seorang arkitek yang mempunyai firma sendiri. Syed Faisal pernah menjadi penulis teks ucapan Kak Pidah. Toh Bo Hoe kini pengurus sekolah musik Yamaha dan dia tidak reti langsung bermain sebarang alat musik! Norbi pula adalah seorang kontraktor yang berjaya. Chai Hong Seng juga hilang entah kemana. Pritkiron Singh kini doktor gigi di London. Kenneth Lim juga di London malah guru kami, Encik Su Lee juga berada di London dan saya tidak pernah teserempak dengan mereka! Roslin Rejab pula tidak diketahui samada bertugas sebagai duta atau berkerja di bawah duta Malaya di Vietnam atau Burma.

Sofian meninggal semasa melanjutkan pelajan. Azman Ali juga sudah meninggal begitu juga dengan Alias Congo. Sirajudeen juga telah meninggal akibat demam kuning. A-fatehah untuk mereka.

Tetapi sepanjang saya bergembira mendengar cerita, saya dapati Shahriman seakan-akan resah. Seolah-olah ada sesuatu yang tidak kena. Mungkin tidak selesa dengan kemesraan saya, fikir saya waktu itu. Bukanlah saya mabuk arak atau khayal dadah tetapi kegembiran saya melebihi tahap yang biasa bagi saya yang di kenali waktu di sekolah dulu, jadi mungkin dia keliru.

Setelah puas ketawa dan sedih,saya melambai tangan kepada pelayan restauran sebagai tanda kami sudah bersedia untuk membuat pesanan.

Saya memesan minuman berais, maklomlah, Malaya panas. Shariman tersenyum seraya berkata,

"Tak elok minum ais malam-malam dan minum ais tu sendiri tak baik untuk kesihatan."

"Habis minum apa yang baik?" Tanya saya. Kesilapan besar.

Dari begnya dia mengeluarkan berberapa paket kecil.

"Minum la kopi ni. Bagus ni Jones." Dan dia mula menceritakan kebaikkan kopi dalam peket tersebut seolah-olah ianya adalah perniagaan milik keluarganya turun temurun dan harus di perkenalkan dan di pertahankan.

Kemudian dia menceritakan bagaimana dengan menjual kopi tersebut akan mendatangkan pulangan kewangan yang berlipat kali ganda.Di akhir penerangan yang tidak di undang itu, kebaikkan kopi tersebut hilang. Yang terbit adalah pelan pemasaran.

Saya bangun dan mengambil pisau belati di pinggan dalam baju yang memang saya bawa kemana-mana dan menikam Shahriman tepat di dadanya berkali-kali. 13 kali jika saya tidak silap mengira.

Dia mati di situ juga.

Wednesday, December 27, 2006

atau

Beberapa hari lepas akhbar percuma yang saya baca di keretapi sekali lagi menceritakan bagaimana puluhan ribu jiwa di Malaya sana dilanda malang banjir.

Kampung saya dahulu juga sering dilanda banjir. Airnya tidaklah tinggi tapi cukup untuk kami berakit ke hulu-hilir.

Pa dan Kodik tukang tebang buluh,hijau dan membuat rakit. Kami tidak berani menebang buluh kuning kerana menurut Iji, adik Pa, itu buluh keramat, ada penunggu. Mezah dan saya tukang tunggu rakit siap. Dan kami berakit sehingga air surut.

Biasanya masa yang kami ambil untuk membuat rakit adalah melebihi masa kami meggunakannya kerana banjir yang melanda kampung kami tidak kekal lama. Maklomlah kampung kami waktu itu belum maju. Dan wakil rakyat dan menteri diwaktu itu tidaklah begitu sibuk menzalimi kami.

Tidak perlulah saya menceritan keseronokkan yang kami alami kerana seperti harta benda para penguasa Malaya yang menjadi citarasa semasa, ianya adalah sesuatu yang tidak dapat dilihat. Tersendiri dan tersorok. Lainlah jika dengan sebab yang tidak dapat dielakkan penguasa itu bukan lagi menjadi flava masakini, maka segala nilai harta dan saiz kutang dadanya akan dihebahkan.

Pa, masih di Serenti. (saya rasa dia kini adalah penghulu semua Serenti di Malaya disebabkan faktor umur dan pengalaman atau mungkin juga telah diserap sebagai wader). Kodik diserang sakit jantung beberapa bulan lepas dan dia tidak pernah merokok.Dia sembuh tetapi tidak secergas dahulu. Iji masih dengan bermain musik. Mezah meninggal dunia Ramadhan dua tahun lepas.

Dan saya disini masih sibuk mencari seronok.

Saturday, December 23, 2006

inilah

sajak buat perempuan gemok di sebelah meja.



seorang diri sepi adalah beban/seorang isteri cantik adalah beban/seorang anak comel adalah beban/seorang ibu nyanyuk adalah ikhsan/sebuah rumah milik pkns adalah beban/sebuah proton wira bayar secara ansuran, adalah beban/sebuah masjid dalam taman perumahan adalah ikhsan/kekasih adalah beban/teman adalah beban/taulan adalah beban/ikhlas adalah ikhsan/kerja di pejabat kerajaan adalah beban/amanah tidak makan suap adalah ikhsan/aku adalah beban/perempuan gemuk disebelah meja adalah ikhsan

lagu dan nyanyian: airmas sz (http://airmas.blogspot.com/)
sajak : siapa lagi..

Wednesday, December 20, 2006

agaknya

Kadangkala di dalam akhbar yang saya baca setiap hari, akan ada berita-berita kaki mengenai tanah tumpah darahku, Malaya.

Dari berita budak perempuan yang cuba mencipta rekod dunia dengan duduk sekandang dengan binatang berbisa sehinggalah berita mengenai lelaki muda yang menikahi perempuan yang amat tua. Dan setiap kali membaca berita-berita begitu saya membayangkan diri saya sebagai seorang aristokrat Inggeris yang membaca cerita-cerita negara-negara Afrika. Kuno dan tidak bertamadun pada pandangan saya.

Namun hari ini, saya terpidana membaca berita mengenai betapa kerajaan Malaya membatalkan hasrat supaya ANGKASAWAN pertama Tanah Melayu untuk melakukan ujian menyediakan teh tarik di angkasa.

Malaya ada ANGKASAWAN? Wow! Kata hati lelaki asristokrat Inggeris ini.

Oh! Bukannya saya terkejut kerana rakyat Malaya kini akan ada yang bergelar ANGKASAWAN, tetapi saya kecewa kerana ujian penyediaan teh tarik itu di batalkan.

Saya kecewa, sangat kecewa.













hhahhahahahahahahahahahahahahahahahahahahahahahahahahahaha
hahahahhhapooooootttttthahahhhahahahahahahahahahahahahahahaha.

Saturday, December 16, 2006

perpatah

Rasanya hanya di Malaya apabila sesuatu tindakkan kerajaan tidak disenangi oleh rakyat, maka rakyatnya akan bertindak. Yang menulis blog akan membincangkannya. Yang bersajak akan mula mengarang bait-bait puisi. Yang kuat bertekak akan mula bertegang leher marah dan setuju. Yang menulis novel, err..tidak.

Yang menulis novel biasanya jarang terlibat dalam memperkatakan misalnya harga minyak yang tidak munasabah atau tol jalanraya yang naik dan naik kerana mereka ada banyak lagi isu yang lebih penting untuk di novelkan. Kekasih yang mempunyai nama seperti dewa kayangan yang menderita penyakit misteri misalnya atau masalah rumahtangga yang agaknya sampai kiamat akan menjadi sebahagian cara hidup masyarakat melayu Malaya jika kita percaya kepada para penulis novel dan pembikin filimnya.

Akhbar jarang menyiarkan kemarahan rakyat kerana terpaksa berebut ruang dengan berita cantumkoyak kemaluan para artis. Dan mereka (akhbar) tahu rakyat lebih suka membaca tentang panjangpendek (umur pernikahan, bukan apa yang kamu sangkakan) para penghibur.

Setelah genap 2 minggu berbincang diblog atau bersajak atau bertekak, rakyat Malaya akan kembali asal dengan satu tekad baru iaitu berkerja lebih kuat untuk membayar harga minyak dan tol.

Sebagai membalas jasa kuatkerja kalian, kerajaan Malaya akan memberikan kenaikkan gaji awal tahun depan kerana 100% rakyat Malaya adalah anggota kerjanya.

Syabbas! Tepuk bahu kalian diatas kegigihan masing-masing. Nanti dimasa acara kongsi raya kamu akan dijamu dengan makanan yang dibeli dengan wang kamu sendiri. Itulah yang dikatakan kongsikaya. Kamu diberi makan dalam pinggan kertas dan para menteri hadir untuk mentertawakan kamu.

Akhirkata, marilah kita sama-sama memikirkan maksud perpatah ini, 'berkeris-berkeris juga, C4 jangan dilupa.'

Wednesday, December 13, 2006

melayu

Saya sangkakan saya ini seorang yang rajin, rupanya tidak. Maka dengan itu saya tidak lagi akan memoderatikan (haha) komen-komen di blog ini. Malas benar membuka email dan kemudian membebaskan komen-komen yang di moderatikan (haha) itu.

Jadi saya berharap sebilangan kamu janganlah menjadi seperti budak yang baru pandai mencalat. Kata-kata carut-marut,maki-hamun dan serangan peribadi serahkan sahaja kepada yang ahli (baca: saya). Tugas kamu hanyalah memuji-muji tulisan saya di ruang komen, maka bertugaslah dengan tekun.

Sebagai hiburan dan kerana lama tidak menunjuk-nunjuk kepandaian bersastera, maka di bawah ini saya tuliskan kembali sebuah sajak yang telah saya letakkan di esastera.com. Oh! Mungkin iklan ini sedikit terlewat, tetapi jika kamu membacanya sebelum jam 8.00 pagi hari Rabu, silalah berada didepan televisyen Saluran Satu kerana boss besar esastera.com akan diwawancara di rancangan Selamat Pagi Malaya untuk berbicara tentang esastera.com dan hari anugerahnya. (Rasanya tikit-tikit untuk hari anugerah tersebut masih di jual, jika berminat untuk menghadirinya, sila ke lama esastera.com)

Makluman: Hari anugerah kumpulan Ronggeng Zainal tidak diiklankan di televisyen.

Dan tidakkah kamu merasa menyesal kerana tidak menjadi anggota esastera.com?

yasmin

aku helang
garang dan terbang
dan terbang dan
terbang dan terbang

engkau arnab
dan diam dan
diam dan diam
di dalam lubang.

Saturday, December 09, 2006

berkeris

Saya dalam dilema.

Tidakkah kamu teringin memulakan blog kamu dengan ayat se dramatik itu? Saya sangat ingin dan hari ini terlerai sudah keinginan itu. Kerana rasa saya, lagi dramatik blog kamu, lagi banyak komen.

Tidak percaya? Lihat saja ruang ini nanti.






(fuhh! menjadilah!)

Tuesday, December 05, 2006

baru,

June nanti, larangan merokok di tempat-tempat awam, restoran, tempat kerja dan segala macam tempat yang bermanusia, hatta di taman bunga sekali pun akan berkuatkuasa di sini.

Inilah yang saya benci dengan kerajaan di sini, bila mereka berjanji akan melakukannya, percayalah dengan sesungguh hati kamu yang mereka akan melakukannya. Dan apabila undang-undang itu di kuatkuasakan, ianya adalah untuk semua, raja dan rakyat, ahli politik dan talibarutnya, rakyat biasa dan hamba sahaya.

Di masa-masa beginilah airmata saya akan jatuh, tap,tap,tap. Membasahi tiga dari lima helai janggut saya. Sedih terkenangkan kampung halaman yang sentiasa bertolak-ansur. Alangkah bagusnya jika June nanti saya bisa berada di Malaya. Bolehlah saya merokok sebebas-bebasnya.


ps: 'Apa perkara pertama yang kamu buat tiap kali kembali ke Malaya? Minum teh tarik? Makan nasi lemak?' Tanya kawan di sini. 'Memandu kereta tanpa memakai talipinggan keledar.' jawab saya.

Friday, December 01, 2006

besar

Semasa di Malaya, seorang kawan yang rapat,warak dan berani bertanya kepada saya dengan amat bengisnya,'mu minung arok?' hanya kerana terlihat akan perut saya sedikit (banyak sebenarnya) besar dari kali terakhir saya di Malaya.

Begitulah kita, mudah membuat konklusi. Jika ada kawan kita yang baru bergiat dalam partai politik yang memerintah dan tidak semena-mena menjadi terlalu kaya, kita menuduh mereka korup. Asal bergambar dekat-dekat, khalwat. Bila ada polis trafik yang membuat sekatan jalan di tempat-tempat sunyi, kita menuduh mereka mencari duit kopi untuk membeli makan dan pakai anak isteri.

Tidak seperti ahli partai politik yang memerintah dan ketua para polis, saya cuma senyum dan mendiamkan diri sebagai menjawab pertanyaan kawan yang mengasihi saya itu.



ps: Pada yang bertanya apa hadiah saya kepada anak yang mendapat 5A, saya hadiahkan basikal baru kerana harga membaiki basikal lama dengan basikal baru hanya berselisih beberapa ringgit. Saya belikan basikal yang rimnya berlidi banyak dan tayar sedikit besar dari biasa.'Suka?' saya tanya dia, 'mmmm' jawab dia.(hahahahah, best ada anak)

Tuesday, November 28, 2006

laksana

Mulanya saya mahu meletakkan gambar anak saya yang mendapat keputusan 5A dalam peperiksaan UPSR yang lepas di sini, tetapi saya teringat yang saya tidak pandai meletakkan gambar dan yang pentingnya saya belum beranak. Jadi tidaklah dapat saya berbangga-bangga mengenai itu.

Kemudian dari itu, alangkah terperanjatnya saya bila Amir Mukriz bertanyakan samada saya meminati kumpulan Goo Goo Dolls atau tidak. Bayangkan, pemuda ayu yang selama ini menggagumi nyanyian Now See Heart dan In-Team bertanyakan tentang Goo Goo Dolls! Menakutkan.

Hidup ini memang penuh dengan angan-angan dan kejutan yang mengerikan.




p/s: Iklan tidak berbayar disisi itu adalah ikhsan Amir 'Rabbani' Mukriz. Dia yang tolong letakkan di situ. Terima kasih Mir.

Thursday, November 23, 2006

istana

Mok : Mu ada duit?
Jones : Ada.
Mok : Banyak?
Jones : Dak juga.

Mok bergegas kebilik dan keluar mengenggam seberkas wang kertas dan menghulurkan kepada saya seraya berkata, " Ambil ni, buat beli rokok."

Adik perempuan saya yang sedang berbual dengan suaminya ketawa terbahak-bahak hingga terkentut.Dia memang begitu, rupa tidak cantik, perangai tidak senonoh.

Sayang sungguh Mok saya pada saya.

Tuesday, October 31, 2006

zakaria

KLIA suatu ketika..


Walin : Kak, macamana kita nak kenal Pak Long? Kita dah lama tak tengok dia.
Auni : Alah senang aje, yang paling selekeh tu Pak Long lah.


Walin 7 tahun dan Auni 10 tahun. Mereka budak-budak, mana tahu bezakan kekacakkan dan
keselekehan.


ps: Saya akan mula menulis kembali untuk bacaan kawan-kawan, eh! silap. Saya akan menulis
kembali untuk bacaan para peminat sekelian dalam masa 3 minggu dari sekarang insya Allah.

Thursday, September 21, 2006

pada

Pernah tengok kambing makan tembikai? Mestinya tembikai itu yang telah pecah. Jika kamu berikan sebiji tembikai kepada seekor kambing, nescaya dia akan kelaparan sehinggalah tembikai itu pecah dek buruk atau kamu yang tolong memecahkannya.

Begitulah otak seekor kambing. Terhad. Mereka tidak boleh berfikir lebih jauh,atau seperti kata orang yang mahu nampak pandai, (baca: saya) berfikir di luar kotak.

Saya kemudian menyamakan otak seekor kambing dengan otak seorang Melayu yang mahu membina pusat latihan sukan di kota London (jangan gelakkan saya, saya baru tahu berita ini) dan pertanyaan manja dengan slanga yang agak remaja dari saya adalah, "kamu gile ek?".



ps: Saya masih berpergi-pergian, cuma gatal tidak menulis. Dan selamat berpuasa/hari raya dari saya kepada semua. Mohon ampun segala kesalahan yang dulu dan yang akan datang.

Kepada kawan yang mahu menembak dan memberikan mayat saya kepada al-bab itu, dengan rendah hati saya katakan, "kalat pamu".

Thursday, September 07, 2006

kamu

Walaupun tidak penting, saya rasa perlu memberitahu kamu semua yang saya akan berpergi-pergian untuk beberapa lama. Kerana itu saya membuka sementara ruang komen untuk kamu tulis. Ianya adalah untuk saya baca nanti. Tulislah, saya suka.

Terima kasih dan tolong doakan perjalanan saya di permudahkan Tuhan.

ps: "berpergi-pergian", huh! sastera sungguh saya.

Wednesday, September 06, 2006

tetap

Amat membanggakan kepada mana-mana manusia yang tidak tinggal di negara sendiri apabila nama negara asal mereka di sebut-sebut di tempat mana mereka tinggal.

Hari ini saya adalah manusia paling bangga di dunia kerana nama Malaya menjadi sebutan dua hari berturut-turut di sini.Secara nasional dan semestinya didengar oleh banyak orang.

Pertama di dalam siri terbaru The Simpsons dan keduanya di dalam berita di saluran BBC News 24.

Dalam siri The Simpsons, Moe, tuan punya Moe's Bar telah menukar bar kepunyaannya menjadi sebuah kelab yang trendi dan hip demi untuk menarik lebih ramai pelanggan. Yang paling penting sekali adalah, Moe tidak lagi menjual bir jenama Duff yang terkenal itu kerana ianya hanya di minum oleh golongan menengah dan di kira kodi.

Moe hanya menjual bir yang bermutu tinggi yang di import dari Malaya.(Woo hoo!Malayan beer-Homer)

BBC News 24 pula melaporkan yang di antara banyak-banyak syarikat yang membida untuk membina super-kasino pertama di sini, terdapat sebuah syarikat judi dari Malaya yang ikut turut berlumba.(Woo hoo! Malayan Judi Company-Rakyat Malaya) Mari kita doakan kejayaan mereka.

Tengok hidung saya, sangat kembang.




ps: Kata zizie ali, "Aku copy and paste entri mutakhir sebuah blog yang amat tersohor suatu ketika dahulu."

Aduh, sudah tidak popular rupanya saya sekarang.

Monday, September 04, 2006

cinta

Hanya di Malaya, apabila pasukan bolasepak negara menang dalam apa-apa pertandingan, maka menterinya yang sepanjang hayat tidak pernah menyepak bolalah yang akan sibok mengeluarkan bermacam kenyataan akhbar. Sambil memuji-muji atau meminta di puji kecekapan mereka membimbing pasukan tersebut.

Para pemain pula akan di janjikan tanah berpuluh-ribu relong yang mana janji-janji itu akhirnya akan menjadi JANJI MANISMU.Mereka akan mula memasang angan-angan yang bermacam sambil mengilap ekzos kereta kuat bunyi mereka dengan betis berbulu yang terbuka walau tidak di padang bola.

Hari ini Menteri bolasepak Malaya meninjau-ninjau peluang untuk berpolitik di Myanmmar.

Pemain-pemain bolasepak pasukan Myanmmar pula kembali memakai kain pelikat tanpa memikirkan penyanyi atau pelakon manakah yang mahu mereka tiduri hujung minggu ini.






p/s: Rindu pulak bila tidak membaca komen-komen kamu.
Belilah majalah esastera. Ia di cetak dengan kertas yang bermutu tinggi.

Friday, September 01, 2006

walau

" Dia semayang atas pelepah daun pisang. Lepas tu dia boleh terbang-terbang. Mana boleh tangkap dia. Handal tu."

Itulah kenangan yang saya ingat tentang Arwah Rashid Maidin. Kami tidak pernah di ajar supaya mengenali beliau sebagai pengganas. Dia adalah HERO di dalam hidup kami.

Al-fatehah untuk beliau.







.

Thursday, August 31, 2006

berkali-kali

negaraku / ku ku ku
tanah tumpah / pah pah pah
nya darah ku / ku ku ku

rakyat hidup / dup dup dup
bersatu dan maju / ju ju ju

rahmat bahgia / ia ia ia
Tuhan kurniakan / kang kang kang

raja kita/ ta ta ta
selamat bertakhta / ta ta

rahmat bahgia / ia ia ia
Tuhan kurniakan / kang kang kang

raja kita/ ta ta ta
selamat bertakhta / ta ta

Demikian tadi lagu kebangsaan Negara Malaya Merdeka yang di sampaikan oleh Mawi dengan suara iringan oleh Faizal. Dua remaja yang kini menjadi contoh kejayaan dalam semua segi.

Bertuah benar kita mempunyai dua remaja yang hampir sempurna ini. Saya katakan hampir sempurna kerana hanya Faizal yang telah mengisi borang untuk menjadi ahli Putera UMNO. Jika sekiranya Mawi juga berbuat demikian, akan sungguh sempurnalah mereka.

MERDEKA!


31/08/06 12:00 tengah malam waktu Malaya.

Tuesday, August 29, 2006

kena

Dulu, kalau kamu masih ingat, Dollah yang satu lagi pernah berkata, 'aku sunyi, aku sunyi'. Kemudian budak yang pandai bernyanyi menjawab,' saya sudah bersedia, saya sudah bersedia'.

Malangnya Dollah yang satu lagi lambat bertindak atau mungkin juga dia memang di lahirkan untuk bertenang dan memberi jalan (jalan, bukan jambatan) kepada orang lain. Terlepaslah peluang untuk dia mengisi penuh kesunyiannya itu. Atau mungkin juga dia tidak dapat membaca isyarat yang di berikan oleh budak yang pandai nyanyi itu, maklumlah, dia selalu keliru antara berbuat baik dengan berbuat yang betul.

Hari ini Dollah yang satu lagi kekal perlahan, dalam semua hal.



Dan dia juga kekal sunyi.




.



ps: Jika kamu rasa perlu membuat apa-apa komen tentang mana-mana tulisan saya, emailkan saja kepada saya. Dan kamu juga bebas mencarut atau memaki hamun siapa saja melalui email kepada saya kerana seperti yang kamu semua maklum, saya adalah ahli dalam bidang carut-marut. Dengan demikian kita mungkin bisa berbalas-balas maki dengan lebih mesra dan lebih persenal tanpa melibatkan orang banyak. Saya tahu kamu suka begitu. Bermaki-makian.

Tidak tahu alamat email saya? Pergi cari atau bertanya. Saya terlalu terkenal untuk tidak di ketahui alamat emailnya.

Friday, August 25, 2006

makan

Menjadi idaman kebanyakkan penulis agar buku atau novel tulisan mereka menjadi buku teks disekolah-sekolah. Akan sedikit terjaminlah pendapatan mereka dan walaupun saya memandang cita-cita ini sebagai satu cita-cita yang tidak berapa murni namun apalah yang boleh di harap oleh para penulis dalam dunia serba-serbi jahat di Malaya sana.

Sebut mengenai jahat dan buku teks sekolah, saya ingin memberi berita gembira kepada mana-mana menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal membekal buku sekolah kepada seluruh sekolah di Malaya. Jika menteri berkenaan tidak membaca blog ini, mungkin saudara-mara beliau boleh tolong menyampainya kepada beliau. Selalunya sesiapa yang bersaudara dengan para menteri, walau anak saudara belah mak tiri yang sudah 19 tahun di ceraikan, adalah rapat hubungan kekeluargaannya.

Planet Pluto tidak lagi di iktiraf sebagai sebuah planet. Jika selama ini dikatakan dalam sistem solar ada 9 planet besar, hari ini dengan resminya menjadi 8. Oleh itu semua buku, tidak di khususkan kepada buku pelajaran Sains sahaja, perlu di tukar demi kebahagiaan pembelajaran anak-anak kita.

Buku Matematik, Bahasa Melayu, Cina,Tamil, Kadazan , Murut, Dan Senoi ,Buku Ilmu Alam dan semua buku juga perlu di tukar. Kenapa? Kerana jika setakat membekalkan buku Sains sahaja kepada seluruh sekolah di seluruh Malaya, untungnya sedikit.