Apabila kamu selesai membasuh pakaian dan jika mesin basuh kamu tidak mempunyai alat pengering maka kamu perlu menjemur pakaian tersebut.
Dan jika hari itu adalah hari yang mendung maka pakaian yang kamu sidai itu akan kekal tidak kering. Dalam perkataan lain, pakai itu akan menjadi seperti kamu semua, lembab.
Mari saya ceritakan kembali cerita di bawah supaya kamu faham:
Saya ada kawan, namanya Abu. Abu tidak pernah menyanyi. Walau bagaimana pun, dia pernah bermain harmonika diatas pentas semasa dia di ITM dulu. Yang suka bernyanyi adalah kawan saya yang satu lagi, Lan. Abu pendiam.
Satu hari Abu menalipon saya dan bertanya saya di mana. Walaupun ketika itu masih belum ada talipon bimbit dan Abu sepatutnya wajip tahu yang saya memang ada di rumah ketika itu kerana saya yang menjawab panggilan talipon tersebut, pertanyaan begitu adalah biasa seperti jiran kamu yang setiap pagi bertanya 'pi kerja ke?'.
Dia kata dia akan datang kerumah saya. Saya kata ok.
Tidak berapa lama terdengar bunyi hon di luar rumah. Hon kereta. Abu ada kereta.Abu sudah sampai. Saya tanya kita nak kemana? Dia kata pergi minum. Kami ke restoren untuk minum. Bukan kerana rumah saya tidak ada minuman tetapi kerana kami mahu minum di restoren.
Di dalam kereta Abu yang tidak pernah bernyanyi itu bernyanyi. Lagu Keronchong Untuk Ana dari kumpulan terkenal Kembara. Kumpulan yang di anggotai oleh M.Nasir, A.Ali dan S. Sahlan. A.Ali dan S.Sahlan kemudiannya meninggalkan kumpulan Kembara. M.Nasir meneruskan kumpulan Kembara buat sementara waktu dengan anggota yang saya tidak tahu namanya. Kemudian M.Nasir pula meninggalkan kumpulan Kembara dan kumpulan Kembara di bubarkan. M.Nasir kini adalah seorang penyanyi yang sangat terkenal. Selain menyanyi, M.Nasir juga mengarah filim dan berlakon. Pengarahan filimnya ok sahaja. Lakonannya tidak akan mencederakan peluang Rosyam Nor yntuk menang apa-apa anugerah lakon.
Walau pun didalam tulisan lepas tiada langsung cerita mengenai M.Nasir, saya sengaja menulis mengenainya untuk memancing peminat beliau supaya kemari.
Sampai di kedai makan, seorang budak pelayan yang memakai baju merah dengan butang terbuka sehingga ternampak alur dadanya bertanya apa minuman yang mahu kami pesan. Abu memesan Nescafe o ais untuk kami berdua. Dia tahu itulah minuman yang akan saya pesan kerana dia selalu minum bersama saya. Perhatikan, budak pelayan ini cerdik kerana dia tidak bertanya samada saya dan Abu mahu minum atau tidak tetapi apa yang saya dan Abu mahu minum. Kemudian budak pelayan yang memakai baru merah dengan butang terbuka sehingga ternampak alur dadanya itu membuktikan lagi kecerdikkan dengan bertanya samada kami mahu makan atau tidak. Bukannya apa makanan yang mahu kami pesan. Abu mengatakan kami tidak mahu memesan apa-apa makanan.
Semasa duduk minum, Abu memberitahu saya yang dia putus tunang. Jika kami perasan, dia baru semalam bertunang. Saya terkejut dan bertanya kenapa. Abu memberitahu saya yang kakaknya (yang bertugas sebagai jururawat klinik gigi) tidak sukakan gigi bekas tunangnya itu. Sebagai adik dan anak yang baik, walaupun sedih, Abu mengikut sahaja kata kakaknya itu.
Habis cerita.
Kemudian saya memberi sedikit penerangan mengenai Abu. Abu mula mengenali agama dan amalannya lama setelah tamat belajar dan dia mengambil keputusan untuk belajar lebih lanjut mengenai agama di negara Timur Tengah. Dia berada disana untuk beberapa tahun. Mulanya di Mesir kemudianya ke Jordan (ini saya tidak tulis, jadi saya faham jika kamu tidak tahu).
Semasa berada di Jordan, Perang Teluk yang Pertama meletus dan kerajaan Malaya menawarkan tiket percuma kepada para pelajar yang mahu kembali. Abu menerima pelawaan tersebut.
Kemudian lagi, saya menceritakan sedikit mengenai Lan. Dia masih menyanyi di sebuah restoren Melayu yang menyediakan masakan Inggeris. Restoren ini di bina dengan ciri-ciri senibina rumah Melayu lama iaitu dengan atap nipah sebagai atap dan kayu-kayan sebagai dinding dan lantai dan tiangnya. Saya memberitahu kamu saya tidak ingat nama restoren berkenaan. Ini maklumat baru, saya baru teringat yang di hadapan restoren tersebut ada tempat mencucui kereta waktu malam.
Salmiah Hassan suka makan di situ. Sekarang, bukan zaman dulu.
Bekas tunang Abu bernikah dengan salah seorang rakan kami yang tidak saya sebutkan namanya. Mereka meninggal dunia akibat kemalangan jalanraya sehari sebelum pilihanraya selepas Anwar di buang. Pilihanraya dimana PAS menang Kelantan dan Terengganu. Turut meninggal didalam kemalangan tersebut ialah 3 anak mereka. Dan sekali lagi saya meminta kamu membaca af-Fatehah untuk mereka.
Ya, budak pelayan berbaju merah dengan butang terbuka sehingga ternampak alur dada itu lelaki.
Dan ya juga, tekaan kamu semua betul, saya berumur 25 tahun. Macam tahun lepas dan tahun-tahun sebelumnya dan tahun-tahun mendatang.
p/s: Peminat Laura (Little House on the Prairie) dan memiliki kacamata yang sama dengan John Boy (The Waltons) sepatutnya tertulis di bawah nama saya di atas sana. Tetapi tidak mungkin kerana blogspot menghadapi masalah.