Sunday, September 13, 2009

kampong kubang buaya

Bukir menyorok dibawah tangga rumah saya. Api sedang ralit mengigit atap nipah rumah Ann. Mok sudah bising menyuruh orang ramai kerumah kami. Menyambung getah kepaip. Dua tiga lelaki gagah sedang berupaya menaikkan air dari perigi.

Rumah Ann berjiran dengan rumah kami. Rumah kami ada air paip besi. Telaga terletak agak jauh dari tempat kejadian.Selain rumah kami,rumah Haji Jilah juga ada air paip besi. Rumah lain masih mengunakan air dari telaga kerajaan. Sebelah telaga,ada jamban kerajaan.Apek mengangkat najis dari jamban kerajaan tidak kelihatan. Memang patut pun dia tidak kelihatan kerana kejadian berlaku awal malam. Dia biasanya memulakan tugas diawal pagi.Rumah Igi dan Pa sebelah jamban kerajaan.

Kadang saya terserempak dengan dia ketika mahu keluar dari rumah untuk kesekolah. Apek mengangkat najis.Bukan Pa dan Igi.

Sebelah rumah Ann,rumah Man MMK. Kelab musik teruna telajak. Man MMK pakar arkodian. Amran main gitar. Gege ketuk meja. Jantan Tiup saksefon. Saya budak-budak lagi jadi saya goncang kotak mancis. Macam marakas.

"mana Bukir? mana Bukir?" jerit Bah Salim. Matanya sudah merah. Dalam kampung kami tidak ada budak yang tidak pernah ditempeleng oleh beliau. Dia imam surau kami. Garang teramat. Bukir anak dia yang entah keberapa saya lupa. Anak Bah Salim enambelas orang semuanya. Jadi ada sedikit masalah bagi kami untuk meletakkan yang itu nombor berapa,yang ini nombor berapa.

Sayup-sayup kedengaran siren bomba. Van minyak Afiat yang jurujualnya menumpang tidur dirumah Man MMK sudah dialihkan jauh. Bimbang terbakar sama dengan rumah Ann.

Selepas tarawih tadi, Bukir,Rae dan Burhan galak bermain bunga api bertangkai besi. Zaman itu,bunga api yang banyak asap seperti sekarang belum dijual di Malaya. Bukir membaling bunga api kepada Rae. Sebelum bunga api jatuh ketanah,Burhan menyepak dengan kaki ayamnya. Dia ketawa sakit. Bunga api jatuh ke atap rumah Ann dan marak.

Rae dan Burhan lari entah kemana. Bukir tergamam. Panik. Saya yang dari tadi asyik memerhati,menjerit menyuruh Bukir lari. Dia masih tergamam. Saya seret dia dan membawa dia ketangga. Hajatnya ingin menyorok dia didalam rumah. Tapi dia kembali sedar dan terus melepaskan tangan saya dan lari kebawah tangga.

Bomba datang hanya untuk menyelamatkan rumah saya dan rumah Man MMK. Basah kuyup rumah kami. Rumah Ann hangus. Tinggal arang. Kak Som isteri Ann cuma diam. Ann juga diam. Entah redha entah terpidana. Waktu itu Kak Som dan Ann hanya ada Yazid,anak lelakinya yang apabila dewasa sempat menukar agama dan setelah dipujuk,kembali Islam. Alhamdulillah.

Malik dan Aisyah belum dilahirkan. Aisyah ada kembarnya. Saya lupa nama kembar Aisyah. Dia dijaga oleh kakak siAnn,Ainon Tan,ratu hindustan kampung kami.

Kak Som dan Ann orang susah. Kak Som kerja mengambil upah mencuci pakai dirumah orang. Ann waktu itu hanya mengambil upah mencucuk sate. Lima sen untuk seratus cucuk. Nge jadi tokehnya. Satenya dijual di Hotel Planet. Cukup terkenal waktu itu.

Rumah Keling Panjang sebelah pondok membuat sate Nge.

Nge hobinya memikat burung tekukur. Kawan rapatnya adah Teoh,cina yang sering masuk kampung kami menaiki motorbasikal. Letih berkayuh,dia berinjin. Malas berinjin,dia berkayuh.
Dia menyimpan motorbasikalnya dirumah Nge dan kehutan dengan kereta Datsun Nge untuk mencari burung.

Amran anak Nge selain Rohana dan Rahimah. Rohana adalah satu-satunya budak perempuan kampung kami yang belajar ke luar negara. Ke Amerika.Jadi Cikgu sekarang ini. Rahimah berjual di pasar-pasar malam.

Kereta Datsun Nge adalah bas sekolah awal kanak-kanak kampung kami. Rumah beliau adalah rumah pertama mempunyai televisyen. Panggung wayang pertama kampung kami. Tiketnya duapuluh sen sekali masuk. Beranda rumahnya tempat orang bermain terup. Bawah rumahnya adalah stadium congkak budak-budak perempuan dan budak-budak lelaki yang mula mengatal.

Aini dan Maziah gadis paling cepat dewasa dikampung kami. Darjah empat,mereka mula bercerita tentang teman lelaki.

Gege sepupu Amran. Dengar khabar Gege adalah imam masjid di kampung Padang,jalan Sungai Lembing.Jantan ipar Nge. Dia jadi tidak berapa betul setelah vespanya dilanggar orang. Dia menunggang vespa itu masa kejadian.Hari ini jika bercerita,dia adalah tokeh Pasaraya Tunas Manja,pasaraya rangkaian termaju dibandar Kuantan,bandar yang terkenal dengan bunga ke'embong ini.

Man MMK orang Serandu. Tidak berkerja waktu itu. MMk maksudnya Man Malas kerja. Hari ini Man MMK sudah lama pencen tukang kebun sekolah. Ann Pencen tukang kebun Polis dan menjadi tukang urut. Kak Som menjaga cucunya, anak arwah Malik. Malik meninggal kemalangan jalanraya bersama isterinya.

Sehari sebelum kemalangan,saya bertemu dia disebuah kedai makan. Dia gembira,saya pun sama. Lama benar kami tidak bertemu. Dia berkeras mahu membayar. Dia juga orang susah seperti ibubapanya. Saya tidak sampai hati untuk menerima namun dia terus juga mahu membayar dan saya biarkan.

Macam Lan,gitaris kugiran Massa yang terkenal dengan lagu "patahnya sayap malam", yang meninggal kemalangan jalanraya setelah sebulan meminta kopiah yang saya pakai waktu itu."aku jadi rajin sembahyang lepas pakai kopiah tu" kata dia seminggu sebelum dilanggar orang.

Sedikit peringatan,jangan minta kopiah,atau sekarang topi dan jangan berkeras mahu membayar minum saya jika tidak mahu mati awal.

Burhan dan Rae adik kepada Bukir. Bah Salim meninggal setelah pencen askar. Bukir berhenti kerja dengan Bank Islam untuk menjadi kontraktor. Burhan dan Rae tokeh balak hari ini.

Haji Jilah meninggal lama dulu. Dia tidak ada anak lelaki.Keling Panjang entah dimana. Saya menjadi pelanggan tetap kedai gunting STYLE CUT Keling Panjang sehingga tingkatan lima.

Kampung kami hari ini adalah himpunan rumah usang dicelah-celah perumahan berharga berjuta ringgit. Tanah keluarga saya masih dimiliki keluarga saya. Satu lagi tanah yang masih kekal milik adalah tanah Haji Lohri,satu-satunya penoreh getah dikampung kami. Entah dimana getah yang ditorehnya tidak pula saya ketahui tapi dihadapan rumahnya memang ada rumah asap. Tempat dia melayur getah setiap hari.

Disekeliling kampung kami memang ada kebun getah,namun semua milik cina. Dihujung kebun getah dikampung kami,tinggal keluarga Machiku, polis cina yang dua anaknya,Ah Boon dan satu lagi saya lupa nama masuk melayu. Jika kamu mendengar mereka sekeluarga berbahasa melayu tanpa melihat siapa yang bercakap,nescaya kamu tanpa prajudis menyangka mereka melayu benar. Mok Lan adalah gadis yang membuahkan cita-cita saya untuk menikah dengan perempuan cina.Alas...

Igi bertugas di Jabatan Hasil Dalam Negeri. Pa entah kemana. Nama sering disebut,orangnya hilang begitu saja. Aini membuka warung di kampung kami hari ini. Warungnya terkenal dengan sate. Sepatutnya kerana emaknya,Wak Jenon adalah pengaul rempah sate jualan Nge. Jika kamu dalam perjalanan ke Telok Chempedak,sampai disimpang Kampong Selamat yang ada pasaraya Pantai Selamat,sila singgah ke warung Aini yang terletak dihadapan pasaraya tersebut.Disebelah kedai runcit cina di Jalan Kubang Buaya. Barangkali Datin Huda tahu tempatnya. Aini sudah gemok sekarang.Maziah entah kemana.

Mok pula jika tidak asyik dengan pokok bunga disekeliling rumah akan berehat dirumah Rose,adik saya yang tinggi tak tentu hala.

Disekolah,Timothy Kumar menulis dibukunya yang saya adalah kawan rapatnya. Woon Chee Meng pula mengajar saya supaya melukis dengan lebih baik. Albert Lim mahu menjadi Little John. Edward Lim pula mahu menjadi Leftenan Hanley. Saya senyap-senyap mahu menjadi Kirby.

Kesian Albert,kukunya dipotong oleh Cikgu Heng Gee Nam walhal waktu itu dia belajar gitar klasik.

Aikkk!! Jadi cerita SatuMalaya pulak dah cerita ni..Kuat benar berkesannya kempen kerajaan Malaya!

Selamat Hari Raya semua. Maaf zahir dan bathin.

18 comments:

benludin said...

Keling Panjang?
hahahha

Anonymous said...

Cikgu Heng Gee Nam @ Khairy Heng...dulu..cikgu Pendidikan Jasmani...kat St. Thomas...

Denliau..

Water Lily said...

Ya, macam ceita iklan allahyarham Yasmin

Selamat Hari Raya Encik AJ :)

binjidan said...

mende mende aje aok neh..

jawa peranakan said...

watak2 dan perwatakan2 watak2 yang menarik..

dahrie said...

ni cerita ke kuliah ni?

Anonymous said...

gerai menjual goreng pisang yang menggunakan tempurung kelapa sebagai bahan bakar? Sebelah kedai runcit kepunyaan Mr Jo? Rindu kehidupan di kuantan...

aney azri said...

salam abdullah jones,

menarik walau merapik.

ubilepih said...

Cerita yang indah..dari zaman yg meriah..kasi bikin pilem AJ.

Pa'chik said...

kerajaan satu malaysia la yang jauhkan hubungan antara kaum dengan polisi sekolah jenis kebangsaan... abis cina melayu india tak duk sama dah...
kebabian yang tidak terhingga...

Neni said...

terkikik baca perenggan terakhir...
AJ pun dah terkena kempen 1 malaysia...

Hashim Zabidi said...

Satu Malysia merepek, ha ha ha...

abuyusof said...

aku sokong dr ali.. Datuk for Abdullah Jones ..

elmaaniq said...

:)

dariana said...

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
سلام عيدالفطري المبارك هجرة 1430
من العائدين والفائزين
معاف ظاهير دان باطين
جمفوت كرومه ساي هاري راي ننتي
سودارامو حج عبدالهادى بن محمد سكلوارك دكوت بهارو كلنتن دارالنعيم

saya baca kisah tu macam tonton filem hitam putih. real dan 'sampai'. punbagaimanawalau, berkaryalah demi keredhaan Allah.

sinaganaga said...

selamat hari raya, dolloh!

naimisa said...

Jadi weh cerita ni...
Kalu hantar ke pertandingan cerita 1malaysia, dpt hadiah ni....

hahaha...

terompahkayu said...

kenangan adalah momen yang takkan terluput oleh masa. selamat hari raya!