Sunday, April 08, 2007

agar

"Malam ni ada kerja?" Tanya arwah Zaidin kepada saya.
"Setakat ni tak ada." Jawab saya.
"Kita gi tengok An angkat nikah nok?" Pelawa Zaidin.
"Dia nikoh malam ni?" Tanya saya.
"Ho." Jawab Zaidin.

An adalah pekerja Zaidin.

Lalu bermulalah satu malam yang penuh jenaka, err.. sekurang-kurangnya kepada saya.

Jenaka satu:

Saya : Mana orang lain?
Zaidin: Tak ada.
Saya : Kita je?
Zaidin: Ho.
Saya : Keluarga dia tok datang?
Zaidin: Ayoh dia tak bagi nnikoh.

Saya datang sebagai jemputan tetapi berakhir sebagai rombongan utama. Rombongan membawa pengantin lelaki. Saya, Zaidin, Jimi dan isterinya.

Jenaka dua:

Lama kami menunggu pengantin lelaki bersiap.

Zaidin : Gi tengok mende lama sangat tu.
Saya dan Jimi : Ho.

Kami menaiki tangga bangunan rumah kedai yang terkenal dengan tempat penginapan perempuan-perempuan yang berniaga diri.

Perempuan Satu: (rokok dibibir sebelah tepi, mata sedikit tertutup akibat mengelak asap rokok masuk dan berkemban sambil memakaikan butang baju melayu kepada An)Mmolek Ang, mu nok nikoh doh ni.Mu jaga dia mmolek.

Perempuan Dua: (rokok tersepit antara jari kelingking dan manis sambil sebelah tangan diletakkan dibahu Perempuan Satu dengan mata sedikit merah, mungkin syahdu mungkin pedih dimasuki asap)Ho Ang, mu jage Jun tu. SSiang ke dia.

Saya kenal An sebagai pekerja Zaidin yang selalu didatangi oleh Jun, anak cina jurujual pasaraya dekat dengan tempat Zaidin berniaga setiap waktu rehat dan waktu lepas berkerja. Bercinta agaknya. Pernikahan mereka berlaku lama setelah saya tidak bertemu mereka, An dan Jun.

Jenaka tiga:

Saya : Ini rumah Jun?
Zaidin: Bukan, rumah kawan Jun.

Kami tiba di rumah pengantin perempuan dan dialu-alukan oleh tuan punya rumah dan mereka adalah keluarga melayu yang anak lelaki mereka juga menikahi perempuan cina.


Keluarga Jun juga tidak merestui pernikahan mereka.

Semua mata tertumpu kepada kami. Zaidin dengan jeans dan kemeja batik. Jimi dengan jeans dan kemeja lengan pendek hitam. Isterinya dengan pakaian biasa seorang perempuan kemajlis pernikahan dan saya dengan jeans dan kemeja t putih.

Jika saya menjadi keluarga pengantin perempuan, saya akan menghalau kami semua kerana tidak tahu adab majlis. Tapi rasanya saya boleh dimaafkan kerana tidak tahu langsung yang kami ini sebenarnya adalah rombongan utama dan saya berdoa yang pernikahan ini tidak akan melibatkan adat yang melampau. Berpantun dan bersilat misalnya.

Nyata doa saya dimakbulkan.

Jenaka empat:

Pak Imam: Panggil pengantin perempuan.

Jun turun dari tingkat atas dengan baju kebaya yang sangat besar DAN perut juga teramat besar. Saya terkejut dan berbisik pada Zaidin dan Jimi, "nnatang mu. dok kabo ke aku." Jimi dan Zaidin terhinjut-hinjut menahan ketawa.Pak Iman dan rakan-rakan kelihatan tidak terkejut. Mungkin sudah dimaklumkan oleh tuan rumah agaknya.

Jenaka lima:

Saya tidak tahu bagaimana mahu menceritakan tentang akad nikah si An ini. Ianya adalah majlis akad nikah yang penuh dengan drama. Dari jenaka menjadi trajedi kembali menjadi jenaka.

Setelah diajar berpuluh kali, sumpah! berpuluh kali, An masih tidak dapat melafazkan akadnya. Kemudian Pak Iman menulis ayat akad dan disuruh baca juga berkali-kali namun masih juga gagal. Saya ketawa dan tidak memperdulikan majlis. Zaidin juga demikian.Cuma Jimi yang dapat mengawal diri tapi saya yakin dia sebenarnya dikutil oleh isterinya.Kerana itu dia dapat mengawal diri.

Pak Imam kemudianya meminta masa rehat. An disuruhnya mandi namun seingat saya dia tidak melakukannya melainkan pergi duduk bersama kami menghisap rokok di luar rumah. Zaidin cuba memberi semangat kepada dia. Jimi akhirnya tidak dapat menahan ketawa.Isterinya juga. Kami ketawa semahunya. An juga dapat mengambil jenaka yang berlaku dan ketawa bersama kami.

Agaknya ini merehatkan sedikit ketegangan dan selepas sejam masa rehat, kami kembali ke separuh masa kedua upacara akad nikah.

Pak Imam: Hah! Kalau tadi buat lagu ni kan senang.

Dengan sekali lafaz, sahlah Jun menjadi isteri An.

Saya lihat, makcik-makcik yang hadir ramai yang menitiskan airmata. Mungkin simpati mungkin gembira. Saya sendiri juga amat gembira. Kerana apa saya tidak tahu. Mungkin kerana banyak ketawa atau barangkali kerana mereka akhirnya sah melakukan apa saja yang dibenarkan agama.

An berhenti berkerja denga Zaidin tidak berapa lama selepas itu dan dimana mereka kini saya tidak tahu cuma saya mengharapkan mereka bahagia. Zaidin meninggal banyak ramadan dahulu. Jimi pula di UIA. Dia selalu saya hubungi dan kami masih juga ketawa terbahak-bahak bila mengingatkan peristiwa itu.

Oh! An dan Jun tidak memakai serban, jubah dan tudung labuh maka tidaklah saya berpeluang untuk menghukum semua para pengamal agama. Seperti yang sering dicari kesalahannya oleh orang banyak dan media apa saja.


ps: uipts, saya kenal baik dengan 'budak air putih' yang menzalimi kamu dulu. :)
naga: saya tidak tahu.

6 comments:

Ku Keng said...

Salam Bro.,

Kuantan lama sungguh mencuit ingatan. Kuantan baru haru sangat. Dulu nasi padang terbaik di Restoran Sumatera! Malam tu pengantin dijamu apa?

bunga rampai said...

Salam Pak AJ,

Terima kasih entri ini yang mengingatkan saya kepada satu peristiwa yang menimpa kawan saya, namun berakhir dengan tragedi berdarah. Satu iktibar.

Moga Pak AJ dalam sejahtera selalu :)

wan said...

I don't think this story is funny at all. In my opinion, the way it was written/told by you, made it funny. I guess, you must have been a bad boy in your heydays. Surprised, not.

'shape of my heart', like the Sugarbabes's version too.

Rem said...

Syahdunya membaca cerita ini. Sungguh! Ia satu komedi, juga satu tragedi. Saya ketawa dengan ceritanya. Tapi saya terkedu bila ditikam dengan satiranya.

Jones, bila nak bukukan cerita-cerita parodi blog ini?

Pak Malau said...

Alahaii. Macam pernah melalui keadaan yang sama dulu-dulu. Bukan sebagai An tapi sebagai wakil rombongan.

sinaganaga said...

Erm...