Thursday, July 07, 2005

bukan kerana cinta

+ kamu percaya unicorn ujud?
- tak.
+ ikan duyung?
- tak dan aku juga tak percaya naga ujud.
+ aku pernah jumpa ikan duyung.
- hah?

Kawan saya Pardon Maguira kadangkala amat memeranjatkan saya. Dari cerita bagaimana dia terpaksa melarikan diri kesini kerana takut dibunuh oleh konco-konco Mugabe sehinggalah kepada cerita bagaimana dia terserempak dengan ikan duyung.

Mengiakan cerita kawan hanya untuk mengelakkan perbalahan adalah satu kerja payah. Saya cuma mampu menganggukkan kepala apabila Pardon dengan seriusnya bercerita bagaimana rakan sekampungnya dibawa lari oleh seekor (?) ikan duyung dan menjadi bomoh terkenal setelah dilepaskan oleh ikan duyung tersebut.

Dalam nada separuh bergurau saya bertanya samada ikan duyung tersebut putih atau hitam. (mat salleh atau orang kulit hitam) Dengan serius dia menjawab yang dia belum pernah berjumpa dengan ikan duyung hitam. Ikan duyung tersebut juga bukan datang dari laut tetapi dari sungai yang mengalir melalui kampung Pardon. Ikan duyung air tawar agaknya. Apabila saya tanya ikan duyung air tawar itu bercakap dalam bahasa apa, dia terdiam sebentar dan kemudian dengan perlahan menjawab yang dia belum pernah mendengar ikan duyung air tawar itu bercakap.

Mengapa agaknya ikan duyung mesti berwajah mat salleh? Agaknya mat salleh adalah gambaran kecantikkan. Biasanya wanita dari kisah-kisah misteri digambarkan amat cantik. Mereka akan kekal cantik kecuali jika kisah yang hendak disampaikan itu berunsur seram. Mereka-mereka yang 'diculik' oleh orang bunian juga sering menceritakan betapa cantiknya manusia-manusia bunian ini. Saya agak la, jika saya boleh menculik orang bunian dan membawa mereka tinggal bersama saya, orang bunian berkenaan akan bercerita betapa perbagainya rupa manusia kepada kawan-kawan sekampungnya setelah dibebaskan dari culikkan saya itu.

Apa kena mengena tulisan ini dengan politik Malaya? Senang, kebanyakkan ahli politik Malaya pernah tinggal sekampung dengan Pardon Maguira dan pernah dilarikan oleh ikan duyung air tawar. Oleh yang demikian mereka memiliki satu kuasa ajaib yang mampu mengadakan apa yang tiada dan menghilangkan apa yang ada.Mereka juga memiliki ilmu mantik. Sebagai contoh, apabila ramai mangsa tsunami mengadu tidak mendapat bantuan dari kerajaan, kerajaan mengatakan yang mangsa tsunami tidak membuat tuntutan.

Walau apa pun kata Pardon Maguira, saya menghormatinya kerana dia adalah seorang pekerja yang amat rajin dan cekap. Saya bangga apabila dia memperkenalkan saya sebagai kawannya kepada rakan-rakan senegaranya. Cuma kalau boleh, saya juga ingin kekampungnya dan mahu diculik oleh ikan duyung air tawar. Mana tahu saya mungkin boleh menjadi ahli politik yang berjaya.