Thursday, March 29, 2007

sejuk

Pondok talipon dan bas dua tingkat berwarna merah seakan senomin dengan England. Namun di Ireland, pondok talipon (lama) dan peti mengirim suratnya pula berwarna hijau. Maka Jika kamu ke Kuantan suatu masa dahulu, di sebelah kiri (jika kamu memandang terus ke bekas tapak pasar lama) kamu akan dapati ada dua buah pondok talipon berwarna hijau di bawah sepohon pokok pauh ringan. Di situ jugalah asalnya tapak pejabat Pos. Tempat dimana terdirinya menara jam masjid baru negeri. Kuantan dan Ireland terpisah tiada.

Cold Storage pula terletak betul-betul hadapan pejabat Pos lama tersebut yakni bangunan yang kini menjadi Pejabat Tabung Haji, bukan tempat dimana bangunan baru yang belom mendapat CF seperti yang dikatakan oleh tawkeh kad kawin itu.

Kedai ubat cina di sebelah Pejabat Tabung Haji tersebut pula adalah antara kedai yang masih kekal pemiliknya dari masa mula dibuka. Jika kamu di Kuantan, cuba berdiri di hadapan Pejabat Telekom dan perhatikan kedai tersebut, nescaya kamu setuju dengan saya yang kedai tersebut memiliki ciri-ciri senibina yang sama dengan mana-mana kedai lama di mana-mana negeri di Malaya. (haha. Perhatian: itu adalah lawak jenaka.)

Deretan bangunan kedai di sebelah kedai ubat cina tadi pula adalah milik Majlis Agama Islam Pahang. Dan tidak ada satu pun ruang niaga di situ yang disewakan kepada orang Islam.Di tingkat atas mungkin ada, tetapi tidak di tingkat bawah kecuali satu ruang yang dijadikan tempat mencuci darah. Mungkin inilah caranya Majlis Agama Islam Pahang berdakwah.Sama dengan cara kebanyakan majlis-majlis agama Islam lain mencegah khalwat yakni dengan meng-video-kan aib orang.

Malas pulak menulis. nanti saya sambung. Jika kamu di Kuantan dan memiliki kamera digital. Ambil gambar tempat-tempat yang di sebutkan dan letakan di blog kamu. Saya akan kaitkan blog kamu di sini selama mana tulisan mengenai Kuantan ini dipaparkan.

Gembira sungguh menulis mengenai Kuantan kerana sekurang-kurangnya jika kereta saya rosak di sana, piyapong mungkin boleh membaikinya dengan kasih sayang atau mungkin jika nanti anak saya (haha) mahu menikah, si angah akan memberikan harga istimewa buat kad jemputan berbau yang dipesan.

Sekarang ini saya cuma perlu menulis mengenai beberapa daerah di Malaya untuk memudahkan kehidupan jika sekiranya saya ke sana.

Sesuatu yang tidak ada kena mengena dengan Kuantan. Janganlah kita terlibat dengan makan suap dan janganlah kita menjadi pegawai pencegah maksiat yang membawa kamera video.

Sunday, March 25, 2007

malah

Taman Kerang ini sebenarnya bukanlah tapak asal penjual ubatan. Tapak sebenarnya lebih kurang 100 meter dari situ. Betul-betul di sebelah pengkalan bas Pokok Buluh yang juga bukan nama yang berdaftar. Hanya kerana ada rumpun buluh kuning di situ maka ianya digelar sebagai Pengkalan Bas Pokok Buluh.

Dulunya di situ terdapat beberapa batang pohon tembesu yang amat besar. Di bawah pohon tembesu inilah tempat berkumpul lelaki yang mahu menambah kekuatan. Jika musim tembesu berbunga, akan harumlah kawasan tersebut. Satu pemandangan yang amat mengasyikkan. Tidak perlulah kamu sibuk-sibuk dengan bunga sakura jika bunga tembesu tidak kamu kenali.

Harap maklum, ayat terakhir itu adalah metafora yang melambangkan kecintaan kepada bangsa sendiri. Maklumlah, saya sasterawan tersohor maka amat perlu bagi saya menyelitkan maksud-maksud yang tersirat dalam tulisan besar saya ini.

Saya tidak tahu mengapa pihak perbandaran tidak menebang pohon-pohon buluh itu. Malah ianya dijaga rapi. Kamu akan merasakan kasih sayang yang tulus antara pohon-pohon buluh tersebut dan pihak perbandaran kerana masjid lama berhampiran dimusnahkan tanpa belas kasihan.Namun otak jahat saya mengatakan ianya masih di situ hanya kerana belum ada sanak saudara pihak perbandaran yang memohon dibina apa-apa. Walaupun dibina sebuah masjid baru, roh masjid sebenar telah hilang kerana masjid baru ini dibina oleh mereka-mereka yang tidak berapa gemar berihat di masjid. Atau mungkin juga mereka beragama lain kerana mereka hanya menjadikan masjid sebagai tempat ibadat. Dibuka hanya waktu bersembahyang. Tidak mesra siapa pun. Baik musafir atau fakir.

Depan Pengkalan bas Pokok Buluh adalah tapak pasar lama. Lama dahulu, yang paling terkenal di sana adalah mi goreng Wak rani. Setiap pagi kamu akan lihat ramai manusia beratur di warung Wak Rani. Wak Rani hanya pengoreng mi, bukan pemilik warung tersebut. "Abdul Ghani." kata anak Wak Rani."Bukan Rani, ingat tu." Tambahnya lagi. Wak Rani melayu betul, bukan jawa tetapi entah dari mana datangnya wak itu saya tidak tahu. Jika kamu rajin, sedekahkan fatehah kepada rohnya yang banyak membawa kesenangan kepada suri rumah di zaman yang amat senang itu.

Katanya tapak pasar lama itu akan dibangunkan oleh pihak yang mentakbirkan bangunan Teruntum. Berdoalah mereka berjaya kali ini.

Kuantan dahulunya dikenali sebagai Bandar Palma kemudian ditukar kepada nama lain yang saya tidak tahu. Nama-nama berkait ini bergantung kepada anak saudara mana yang menjadi pembekal bunga atau apa saja dan flava masakini orang yang berkuasa. Jika anak saudara yang terpilih itu sukakan bunga ke'embong, maka Kuantan Bandar Ke'embonglah. Jika dia sukakan ikan selar kuning, maka Kuantan Bandar Selar Kuninglah jadinya.

bersambung.

Tuesday, March 20, 2007

demi

Jika kamu ke bandar Kuantan, dari Kuala Lumpur misalnya,dengan kereta sendiri misalnya, selepas sahaja jambatan Tanah Putih Ferry, sebelah kiri kamu ada sebuah surau lama yang dibaharukan. Dulunya surau ini amat uzur dan hanya menjadi tempat mandi-manda para pemandu lori.Jemaahnya juga agak kurang.

Surau ini asalnya diperbuat dari papan dan kayu. Hari ini ianya ditukar dengan bata dan simen. Imamnya, Pak Sheikh adalah orang tarikat yang gigih bertabligh.Setelah ditukar menjadi surau baru, ianya menjadi sedikit meriah dengan jemaah.

Di hadapannya pula, yakni bekas tapak kilang getah Lee Rubber, berdiri sebuah pasaraya gergasi yang teramat maju. Penuh dengan manusia setiap masa.

Memandu terus tanpa singgah, kamu akan sampai ke pusat bandar. Bangunan tinggi pertama yang akan kamu temui adalah bangunan Teruntum. Simbol kegagalan pentakbiran bangsa Melayu. Di belakangnya pula adalah sebuah pusat membeli-beli yang kedua terbesar di bandar kecil itu. Simbol menopoli kaum Cina.

Selepas sahaja bangunan Teruntum, kamu akan disambut oleh deretan bangunan lama. Inilah kawasan asal bandar Kuantan. Antara kedai lama yang masih kekal adalah Mohamed Store, kedai barangan sukan dan juga kedai buku Hamid Brothers. Orang Kuantan memanggilnya sebagai Hamid bross. Inilah kedai kesukaan bekas Menteri Besar yang sekarang ini menjadi Sultan . Semasa menjadi Menteri Besar dulu, setiap bulan Sultan ini akan pergi sendiri ke kedai Hamid bross untuk membeli perbagai jenis buku. Dia memang gemar membaca. Jika kamu teliti semua buku yang dibelinya, kamu akan dapati 99.9% adalah majalah filim yang diimpot dari benua Hind. Dia peminat bintang filim Hindustan. Selebihnya adalah segala macam jenis majalah hiburan keluaran tempatan.Mencari kawan untuk isterinya barangkali.

Filim kita wajah kita. Menteri kita kaki (bintang) filim.

Kedai kain yang paling terkenal di Kuantan adalah kedai K.A Mohd. Shariff. Jika ada kawan (perempuan) kamu yang berasal dari Kuantan, potong jarilah jika di almarinya tidak terdapat pakaian yang kainnya dibeli di kedai tersebut.Ianya terletak di sebelah belakang bangunan kedai Hamid bross.

Di hadapanya adalah suatu kawasan yang dikenali sebagai Medan pelancung. Kedai yang paling terkenal di situ adalah kedai batik Ramli Malik. Pembatik yang mencipta nama sebagai pelukis bertaraf antarabangsa yang mana kemudiannya mati lemas ketika memancing. Anak perempuannya dikatakan menjadi pelakon. Malang bagi kamu, saya tidak tahu apa namanya atau cerita itu benar atau tidak.

Sebuah lagi kedai yang terkenal adalah Kedai Jahit Kak Timah.Kamu boleh menempah kain yang kamu beli di kedai K.A Mohd Shariff di situ dan ianya akan disiapkan pada masa yang bukan kamu minta.

Kedai songkok Haji Gundal kini tidak lagi gah seperti dahulu. Mungkin kerana ahli Amnu lebih selesa membeli songkok di pasaraya Mydin, pasaraya yang paling pandai menterjemahkan peribahasa 'seperti ikan sardin dalam tin.' Atau mungkin juga Amnu kini kekurangan ahli. Haha. Maafkan keceluparan saya. Saya hanya bergurau. Mana mungkin Amnu kekurangan ahli. Mana dengan saban menjelang pilihanraya berbondong-bondong ahli partai politik lain merayu-rayu minta menjadi ahli Amnu hatta ahli partai komponennya juga ramai yang memohon.Lihat saja betapa ramainya ahli partai Kongres India Malaya yang kini menjadi ahli Amnu.

Borang permohonan menjadi ahli Amnu sahaja jika dijadikan pokok akan memenuhi hutan simpan Amazon.Kerana itu juga Pahang kini kekurangan balak. Semuanya ditebang untuk dijadikan kertas dan dicetak menjadi borang permohonan ahli Amnu.

Jika kamu berdiri membelakangkan kedai kain yang disebut di atas, toleh sebelah kiri dan mula berjalan. Kamu akan menempuh Restoran R&R yang terkenal dengan lempeng kelapanya. Jawapan pengusaha restoran Melayu kepada roti canai restoran mamak. Dan restoran ini sangat berjaya dengan lempeng kelapanya.

Berjalan ke hadapan lagi, selepas kedai haiwan peliharaan dan jika jam tangan kamu menunjukan pukul 3 petang atau lebih, kamu akan sampai ke kedai yang pernah saya ceritakan dahulu yakni Tjantik Bistro. Jika kamu sanggup berbelanja lebih sedikit, deria kamu akan dijamu di kedai ini. Walaupun kelihatan seperti sebuah rumah arak, ianya adalah halal 100%. Tuan punyanya juga Muslim 100%.

Kita balik ke Hamid bross. Di hadapanya ada sebuah pancutan air yang berbentuk sebiji kerang yang terbelah. Seperti tersenyum. Seperti penduduk Kuantan juga, gemar tersenyum seperti kerang (busuk).Nama tidak resminya adalah Taman Kerang, nama resminya saya tidak tahu. Cubalah bertanya kepada pihak Majlis Perbandaran Kuantan yang memiliki bandar tersebut dan dikongsi bersama anak beranak dan saudara mara mereka. Maksud saya, bandar itu dimiliki oleh pihak majlis perbandaran dan keluarga mereka.

Sebelah paginya, Taman Kerang menjadi hos kepada sekian banyak penjual ubat-ubat tradisional atau dalam perkataan yang lebih lembut dan tepat, tempat menjual dan membeli ubat-ubat yang akan menambah kekuatan seks semua manusia dan jika diamalkan, bisa membuatkan dunia menjadi terlalu aman.

Bola golf dan sudu tidak dijual di situ.

bersambung.

Friday, March 16, 2007

partai

"Aku kiring 30 poung. Suruh undi." Kata kawan saya. Dan dia berjaya membeli sedikit saham atas kejayaan budak yang menyertai pertandingan nyanyian di tivi Malaya. Tidak ada apa-apa keuntungan yang dia dapat dari kejayaan itu. Cuma sedikit rasa bangga barangkali.

Kelam kabut beberapa saluran tivi di sini meminta maaf kepada pengguna yang menghantar undian atau tekaan dengan SMS kerana terdapat banyak kesilapan teknik dalam penyempurnaan beberapa pertandingan.

Penonton dijanjikan pulang balik segala kos yang ditimpakan kepada mereka dan pihak tivi juga berjanji akan mendermakan sekian banyak wang hasil kutipan kepada beberapa persatuan kebajikan.

Kamu di Malaya lagu mana? Pernah tanya samada betul atau tidak setiap sen yang kamu hantar kepada sekian stesyen tivi itu benar-benar mengikut kehendak undang-undang?

Rasanya tidak kerana kamu tidak pernah peduli tentang hak. Kamu hanya mahu orang kampung kamu menang pertandingan nyanyi jadi kamu tidak peduli samada ditipu atau tidak.

Alah, apalah sangat rm1.50 kepada kamu. Bayaran untuk berak pun dikira minit ke minit di tandas ultra maju negara kamu. Habis duit kamu cari lagi. Harga itu ini naik, kamu tulis merintih di blog.Kemudian duduk melanguk depan tivi berbahas siapa yang layak menerima undi.

"Kita undi budak yang pakai tudung tu la, dia islamik." kata kamu.
"kepala hotak kamu." Kata saya.

Berhenti menyokong pertandingan nyanyian di tivi? Gila apa!

Saya boleh faham jika budak-budak yang belom menikah menghantar undian apa juga pertandingan nyanyian tivi. Mereka semua masih bodoh dan belom boleh berfikir. Yang paling bangang adalah mereka-mereka yang sudah beranak-pinak juga terlibat sama.Lebih bangang lagi adalah rakan sebaya atau lebih tua dari saya yang juga turut serta.

Wednesday, March 14, 2007

engkau

Satu zohor,lama dahulu.

"Kita ni semua musafir, jadi bolehlah kita jamakkan sembahyang kita ni." Kata pakcik yang agaknya ketua rombongan yang datang singgah sembahyang di masjid kami melalui pembesar suara sejurus selepas azan dikumandangkan. Satu kampung terdengar pengumuman itu.Jika bukan ketua pun mungkin jenis pakcik-pakcik yang suka ke depan.

Abu Yussof tukang azan pandang saya. Saya pandang Haji Kama. Haji Kama angkat kening pada Haji Isa. Haji Isa kelihatannya seperti ketawa kuat, namun hanya angin yang keluar dari kerongkong lalu lepas tidak singgah pada garhamnya.Dia tidak bergigi.

Masjid kami di tepi jalan besar. Maka selalu sangat kami menerima musafir.

"Kita buat jamak-qasar." Sambung pakcik tadi dan mengajar para rombongannya akan niat. Setelah makmum semuanya kelihatan faham, dia meminta seorang yang agak tua melaungkan iqamah dan mereka bersembahyang di ruang utama.

Kami berempat ternganga. Ini Masjid kami tapi kami di pinggirkan. Bukanlah bermakna kami ini sangat pelindung kepada masjid ini, cuma kami tergamam apabila masjid kami dirampas kuasa oleh jemaah yang agaknya kurang tahu adab bertamu.

Kami sembahyang setelah mereka selesai.

Haji Isa sekarang ini katanya amat uzur dan tidak lagi dapat berkancil ke masjid. Namun saya yakin, amalannya ke masjid setiap waktu sembahyang terus dikira. Dulu, di waktu-waktu kurang puncak sembahyang, yakni, subuh,zohor dan asar, hanya ada kami serta Haji Man Askar dan Pak Teh. Pak Teh meninggal dunia sebelum Haji Man Askar.

Haji Isa sepatutnya mendapat baju melayu percuma dari syarikat pembuat rokok gudang-garam bagi menganti semua baju melayu yang berlobang-lobang akibat dari setianya dia kepada jenama tersebut.Dia juga imam sangkut kami.

"Patutnya kawan le yang dapat duit elaun." Kata dia setiap kali imam dan bilal masjid kami mendapat saguhati menjelang syawal. Entah bergurau entah bersungguh.

Azan subuh biasanya bergantung kepada pukul berapa Abu bangkit tidur dan ke masjid. Selagi belum terbit matahari, Abu akan azan. Tidak kira jam berapa.Kecualilah jika sudah masuk waktu kecemasan pun Abu tidak nampak bayangnya, maka Haji Kama akan mengambil alih tugas beliau. Maka subuh kami biasanya mesra jemaah.

Haji Kama adalah orang yang mengajar saya memakan ikan patin. Sebelum kenal dengan beliau, saya tidak makan sebarang jenis ikan sungai.

Di luar masjid kami terlihat bas para rombongan tadi. Ada bendera cap keris dilekatkan pada cermin belakang bas.

"Amnu la tu." Kata Haji Kama yang PAS dengan loghat klepehnya. Saya dan Abu hanya tersengih. Haji Isa yang Amnu angguk, setuju gamaknya.

Saturday, March 10, 2007

rela

Menonton filim King of Scotland membuatkan saya faham mengapa Idi Amin jadi apa yang dia jadi. Dibesarkan dalam kemiskinan dan menjadi budak suruhan yakni tukang sapu itu ini kepada Inggeris dan kemudiannya, lama kemudian, dibonekakan juga oleh Inggeris sebagai pemerintah Uganda.

Semasa berkuasa, beliau amat percaya yang beliau sedang melakukan sesuatu yang terbaik mengikut timbangan sendiri bagi rakyat Uganda. Jika beliau merasakan perlu membunuh, maka beliau akan bunuh.Lebih 300,000 rakyat Uganda maut ketika zaman pemerintahan beliau.Jika perlu dihalau, maka beliau akan menghalau, seperti mana beliau merasakan perlunya menghalau semua bangsa 'asia' yang ada di Uganda pada masa itu. Dengan 'asia' beliau maksudkan semua bangsa dari benua Hind.Kebanyakkan mereka ini akhirnya sampai ke tanah Inggeris ini.Membawa bersama kuasa ekonomi yang mana melumpuhkan terus ekonomi Uganda.

Di sini bangsa Hind juga kadangkala dipanggil 'asian'.Jadi secara teknikalnya, saya ini dipanggil bangsa Inggeris.Lagipun memang selayaknya saya digelar begitu mana dengan janggut yang sedikit perang,mata yang sedikit biru dan rambut yang sedikit err..sedikit.

Kita semestinya bersimpati dengan Idi Amin kerana sungguh-sungguh beliau merasakan apa juga kezaliman yang dilakukannya adalah suatu kejahatan yang perlu demi kebaikkan rakyatnya. Dan beliau yakin tuhan akan mengampunkan dosa-dosanya.

Seperti juga kebanyakan ketua ajaran salah. Kepada kita yang tidak dibuka pintu hati ini, kita nampak seolah-olah mereka adalah terpesong dan perlu diselamatkan.Sedangkan kepada semua ketua dan pengamal ajaran salah, kitalah sebenarnya yang dalam kerugian.

Walaupun kita nampak yang segala apa yang dilakukan adalah salah,dan terang-terang akan merosakkan sistem kehidupan dan kita menjadi hampa kerana walau seribu kesilapan mereka kita lamputinggikan, kita harus faham yang ini semua adalah kejahatan yang perlu.

Sepertimana kita boleh menerima kesilapan Idi Amin, begitu jugalah kita harus menerima kesungguhan gerak-geri rejim yang memerintah Malaya. Demi kesempurnaan hidup mereka eh! silap, kita.

Tuesday, March 06, 2007

mati

Semakin pandai seseorang, akan semakin bodohlah terasa akan dirinya.

Kata-kata ini membawa maksud seperti yang di nyatakan. Atau jika kamu adalah saya, kamu akan dapati kata-kata itu amat tepat di tujukkna kepada budak-budak (bujang) yang di hantar belajar kesini.

Mereka adalah kumpulan manusia cerdik yang teramat bodoh. Mereka tidak menggunakkan kepandaian mereka dalam pelajaran untuk menguruskan kehidupan harian. Perhubungan lelaki perempuan mereka amat bebas. Yang sedikit alim akan membataskan pergaulan mereka setakat berkunjung kerumah lawan jantina mereka secara amat bebas. Jika mereka berkelana, tidak menjadi satu kehairanan jika mereka menumpang tidur dirumah juga golongan yang bukan sama jantina. Tidak ada kesalahan bagi mereka untuk duduk-duduk bertepuktampar dengan terlalu mesra.

Yang tidak alim pula amat rajin berkongsi bilik tidur.

Yang benar-benar alim sibuk mencari kesilapan partai politik yang tidak sama tuju dengan mereka.

Semalam telah berlalu, esok belum tentu ujudnya. Kita hanya ada hari ini.

Kata-kata ini kelihatan membawa maksud yang jauh. Dan ianya amat sesuai di tujukan kepada siapa sahaja yang mempunyai apa juga kuasa dalam apa juga bidang. Ianya membawa maksud, bantai semua yang ada. Jangan pedulikan masa depan generasi mendatang.

Sekian pelajaran mengenai maksud di sebalik kata-kata. Jika cikgu tidak sibuk mengajar kelas tution persendirian atau menjaja skim segala cepat atau jika cikgu terlupa menjaja keropok dan batik Terengganu, cikgu akan mengajar lagi.

Saturday, March 03, 2007

maka

Bunyi talipon.

Spencer : Hello.
Mick : Hello.
Spencer : Hey Mick.
Mick : err.. hey Spence.
Spencer : Apa cerita?
Mick : err.. tak ada apa-apa.
Spencer : .......
Mick : err.. Jean (isteri Spencer) ada?
Spencer : Ada.
Mick : Panggil dia sekejap.

Spencer berjalan ke dapur dan menghulurkan talipon kepada Jean yang sedang memasak.

Sepatutnya saya tidak menulis mengenai perkara ini namun ada sedikit harapan supaya cerita ini menjadi pengajaran kepada kita semua. Saya sendiri terutamanya.

Ada satu berita mengenai seorang lelaki yang memukul hingga mati isteri dan dua anak lelaki mereka kerana cemburu. Menurut akhbar, sang suami syak yang isterinya selalu menerima panggilan talipon dari lelaki. Setelah berkali di nasihati dan masih berdegil, sang suami akhirnya mengambil tindakkan bodoh tersebut. Sewaktu di tangkap dia mengatakan tidak menyesal membunuh isterinya tetapi apa sedih dengan kematian dua anak.

Di Malaya sana juga khabarnya ada berita suami menyimbah asid ke muka dan badan isteri dan kemudiannya meminum asid tersebut dan mati. Juga kerana syak terhadap isterinya.

Lelaki tidak boleh berkawan dengan wanita. Muktamad.Berkawan di sini membawa maksud menjadi sahabat.Dan jangan tipu diri sendiri dengan mengatakan kita ini manusia unik yang boleh menahan nafsu cakap dan dengar apabila bersahabat dengan wanita.

Untuk memahami kisah si Spencer, kamu hendaklah tahu yang dia pernah terdengar perbualan Jean dengan kawannya di mana si Jean mengatakan ke-berkenan-an beliau terhadap Mick. Spencer tahu yang ini hanyalah percakapan dua wanita yang membuang masa, namun di hati kecilnya merasa err terluka.

Apabila mendapat panggilan talipon dari Mick yang juga merupakan kawan rapatnya dan Mick meminta bercakap dengan Jean, letih berkerja yang mahukan rehat menjadi beban kepada dia. Rencana untuk bermesra dengan Jean tertunda dan dia menjadi pemarah.

Mungkin apa yang di rasai oleh Spencer hanyalah rekaan angan-angannya. Namun dia rasa perlu menceritakkanya kepada saya untuk meluahkan perasaan. Lalu saya pula lepaskan perasaan saya di blog ini.

Jika kita ada hal penting perlu di sampaikan kepada isteri kawan, sampaikan melalui kawan kita itu. Jangan bercakap terus dengan isterinya.Dan isteri pula, elakkanlah bercakap dengan lelaki kerana walau bagaimana tidak peduli sekali pun si suami, dia adalah manusia yang berperasaan. Jangan pula jadikan suami kamu operator talipon jika kamu mahu menghubungi kawan perempuan kamu. Dail sendiri.

Thursday, March 01, 2007

jadilah

Hari ini kita gurau-gurau. Kita gembira-gembira.

By the way, anda telah di "tag". Lawati blog saya. Kata x-matters kepada saya lalu saya jawab di blognya yang saya sudah terlalu tua untuk bermain permainan sebegitu. Tambah pula saya malu kerana terasa sangat remaja apabila bersenda-gurau semacam itu. Sama malunya saya apabila Mat Jan menegur, melawakkan sebenarnya, nama diYM saya yang mengabungkan abc dan 123.Remaja sungguh katanya. Remaja Purba kata naga.

Lagipun, untuk menulis sendiri akan kepelikkan diri rasanya tidak dapat menandingi kepelikkan diri yang di tulis oleh orang lain. Misalnya, pelik sungguh si naga itu, dia tidak kacak tetapi blognya sangat popular. Atau pun, sudahlah tidak kacak, suara nyanyian pun bukannya sedap sangat,yang peliknya blog airmas kurang popular. Atau susunlah ayat sendiri supaya kamu faham apa yang ingin saya katakan mengenai si airmas. Pergi ke blognya dan lihat sendiri.

Atau mengapa tidak di reka permainan di mana pemblog itu menulis tentang peliknya pemblog ini.Barulah yang di tulis itu tahu yang dia sebenarnya pelik. Jika diri sendiri yang mengatakan diri sendiri pelik, tidak pelik namanya. (haha)

Tak kan selamanya mahu menyambung permainan berantai ciptaan orang lain, sekurang-kurangnya buat sedikit pembahruan. Barulah orang tidak sedar yang tulisan itu kita cur.. eh, silap.Barulah ada pembahruan.

Terlanjur sudah menjawab pertanyaan x-matters, saya akan cuba menjawab pula beberapa pertanyaan yang kamu tulis di ruang komen. Sebenarnya, jika ada masa, saya akan menjawab pertanyaan dan komen di blog sibertanya, malangnya saya sedikit sibuk untuk menjawab satu persatu pertanyaan atau komen kamu semua. Jadi hari ini saya akan cuba menjawab seberapa banyak yang boleh.

rusdi-kalau pondan melayu pakai tudung, pondan Islam pulak pakai apa? Sinonim kah melayu dgn Islam?
-jangan gunakan perkataan pondan dan islam dalam satu nafas kerana bimbang jadi macam bank islam.Tidak sinomin.

jannah-ada cadangan, en jones mengemukan tema atau topic penulisan yg sesuai dengan perkembangan semasa. cara ini lebih sistematik. dan pondan itu manusia juga. ada perasaan. en jones tiada sahabat pondan mat saleh?
-saya tidak mahu membataskan penulisan sesiapa. biar bebas. setakat hari ini, tiada.

muhammad fakrul razi-ok, kawan saya kata dia dah dapat cd sentimen yang saya pesan suruh belikan.
-bukan saya yang menyanyi dan menjual cd berkenaan. cd berkenaan adalah hasil nyanyian si airmas. hanya ada 2 sajak saya yang di lagukan oleh beliau dalam cd berkenaan. lagu kim tidak terdapat dalam cd berkenaan.

kalam biru-entri ini hakikatnya untuk apa?
sidiran? nasihat? boleh jelaskan.
-hanya sebagai hiburan.

najwa aiman-Sarkunan ni Jawa ke?
-sarkunan keturunan serani dan tulislah lagi di esastera.

pa'cik-di mana sarkunan sekarang ni? jadi paderi ke, jadi penyanyi?
-saya tidak tahu.

blackpurple-'binawe' itu bahasa apa AJ..?
-binawe rasanya istilah yang di reka oleg arwah R. Jaafar semasa beliau dan AR Badul menyertai pertandingan Bakat TV. rasanya ianya tidak membawa apa-apa makna kecuali cara melepaskan ketidakpuashati-an.

wan-p.s. umm...AJ, ada dapat coklat atau bunga ros?...:)
-hendak juga tapi tak ada yang beri.

amirahsyuhada-tak sumer budak universiti sibuk berzina, ada gak yang baik tapi mungkin segelintir atau yg terpilih. Atau yg jahat tulah yg segelintir
-seperti yang saya bagitau amir mukriz, kamu gembira kerana tak semua.Tuhan mahu semuanya tak.

airmas-saya tak ada perabut chesternut tu jadi .. saya ni layak tinggal diluarnegara?
-tidak.

goboklama-Anita Sarawak's hubby is a fan of dis brand. Mahal ke?
-ada mahal, ada murah.

hani sumayyah-tuan buka saja majalah Anjung Seri dan Impiana, rata2 orang malaya dah pun pakai sofa Chesterfield...cantik jugak sofa itu,kan?
-anjung seri dan impiana tempat pamer rumah kawan-kawan dan saudara mara. tidak.

Aiseyman, banyak benar pertanyaan. Kansel sajalah. Lain kali saya jawab lagi dan akhir sekali, jika kamu berhutang, mulalah membayarnya. Setelah habis janganlah berhutang lagi kerana pesan Mok saya, jangan sesekali berhutang. Ada duit beli, tak ada duit tengok saja. Mok saya mudah.

Hutang adalah pembawa banyak masaalah. Makan rasuah misalnya.Bebaskan diri kita dari hutang. Sekian pesan anak Mok saya.

Saturday, February 24, 2007

orang

'O MY GODDDDDD!' Jerit Sarkunan demi mata pena BIC milik Azahan tertusuk ke papan punggungnya ketika dia mahu duduk di kerusi.Mata pena ke punggung, hujung pena di lantai kerusi. Aduh!

Sarkunan bercita-cita untuk menjadi paderi apabila dewasa. Semasa di sekolah, dia giat mengaturkan upacara sembahyang setiap kali waktu rehat. Tidaklah di ketahui di mana dia mendapat latihan untuk upacara itu. Tetapi kami mengesyaki dia menerima pelajaran untuk mengkristiankan beberapa orang dari rakan kami dari gereja yang bersebelahan dengan sekolah kami. Untuk makluman, Sarkunan tidak pernah cuba untuk mengubah agama kami, yakni murid melayu Islam.

Setiap waktu rehat, Sarkunan akan membawa beberapa ramai rakan kami ke tepi padang bola dan di bawah pohon pepahit dia akan mula menyanyi. Kadang-kadang kumpulan ini akan bernyanyi hingga seakan-akan hilang ingatan.

Kami akan memerhati mereka dari jauh.

Darah muda,walau pun tidak pernah mendatangi kami, kami merasa perbuatan Sarkunan itu adalah satu pencerobohan dan kami merasa tercabar. Bermacam cara di utarakan untuk menghentikan kegiatan Sarkunan dan kumpulannya. Antaranya adalah memukul Sarkunan.Dan seperti biasa ianya hanya tinggal cadangan. Apabila tamat waktu persekolahan, kami lupa.

Namun tidak Azahan. Dia berazam bersungguh untuk bertindak dan itulah yang di lakukannya.

Sarkunan menangis kesakitan. Untungnya waktu itu, atau memang sudah di rancang, tidak ada guru di dalam kelas. Namun kami bimbang kalau-kalau Sarkunan akan mengadukan kejadian itu pada guru kelas atau lebih malang terus kepada guru besar.

Rasanya Sarkunan mendapat didikkan yang amat baik dari guru agamanya kerana dia hanya mendiamkan kejadian tersebut. Syabas guru agama Sarkunan.

Esoknya, Sarkunan masih seperti biasa, bernyanyi-nyanyian di bawah pohon pepahit.

Ironinya, kami, kumpulan yang bertekad untuk menjadi hero agama, semuanya tidak bersembahyang lima waktu.

Alah, apa yang mahu di hairankan, seperti kita yang melolong siang malam konon pembela agama walhal yang paling kuat makan riba, kitalah. Yang keluar rumah seakan-akan menutup aurat, bini kitalah. Yang kuat curi tulang, pegawai kerajaan kitalah. Yang jual rakaman tangkap khalwat, pegawai majlis agama kitalah.Merakamkan orang berkhalwat? Haram jadah punya pegawai majlis agama!

Dan kamulah yang gembira bila tidak semua anak remaja kita yang berzina.


ps: perkataan ironi di gunakan kerana terpengaruh dengan tulisan amir mukriz di blognya yang penuh dengan kata sambung ayat-ayat inggeris, so far misalnya. amir menggunakan perkataan inggeris dalam blognya mungkin kerana tidak ada perkataan melayu yang sesuai atau mungkin juga dia merasa perlu meng-urban-kan diri. maklomlah, dia kini adalah sahabat setia kumpulan lelaki urban.

makluman: saya tidak peduli kamu menulis dengan apa bahasa, jika faham saya baca. tidak faham saya tinggalkan. cuma jika boleh jangan di sambung satu bahasa dengan bahasa yang lain kerana otak tua saya amat lambat untuk bertukar bahasa dalam masa yang singkat.

dan binawe.

binawe kerana TIDAK ADA seorang pun yang mahu meletakkan tulisan mereka di blog ini.

Wednesday, February 21, 2007

yang

Budak Gemok : Kalau pondan melayu insaf dia buat apa?
Jones : hmmmm...
Jones : aaaaa...
Jones : Entah.
Budak Gemok : Dia pakai tudung lah.
Jones : .........
Jones : ooo! hahahaha.



PENGUMUMAN:

Saya bercadang menjemput penulis-penulis berkongsi blog ini. Jika ada di antara kamu yang berminat untuk meletakkan tulisan di sini, sila emailkan tulisan tersebut kepada saya.Tidak kiralah samada kamu penulis yang mempunyai blog atau tidak.Terkenal atau sebaliknya.

Tidak ada apa-apa syarat. Tulislah apa sahaja, jika saya suka, akan saya letakkan di sini untuk di baca semua.

Juga tidak ada hadiah yang akan di berikan selain berbangga-bangga yang tulisan kamu muncul di blog abdullahjones.

Judul dan tagline jika rasa perlu bolehlah disertakan. Jika saya rasa tidak sesuai, tidak akan saya gunakan.

Saturday, February 17, 2007

dahulu

'Edwin, makan buku ni.' Kata Harun, rakan sekelas saya yang mirip Chuck Berry cuma lebih rendah.

Jika cikgu lambat masuk ke kelas, kami biasanya membiarkan Edwin menjadi penghibur waktu senggang. Dan sungguh, Edwin Moorthy akan melakukan apa sahaja yang kami arah. Saya tidak pandang Edwin sebagai pemuda bodoh tetapi sebagai pemuda yang beria-ia untuk memuaskan hati siapa sahaja dan pada Edwin, saya rasa, ini adalah pilihan yang lebih baik dari terus-terusan menjadi alat latihan tinju si Harun. Juga dia gemar menjadi tumpuan kami sekelas.

Guru kelas juga kadang-kala membuli Edwin.

Sehingga habis sekolah kami menganggap Edwin hanyalah di lahirkan untuk menjadi hiburan kepada waktu kami di sekolah. Tidak ada pelajaran yang kami ambil dari sifat bodoh-bodoh alang beliau. Tidak ada juga belas keatas kemalangannya itu. Kami jadi manusia yang keras hati.

Kita sebenarnya adalah Edwin. Cuba bersungguh-sungguh untuk memuaskan hati siapa sahaja dan tidak kepada yang sepatutnya. Tuhan misalnya. Seperti saya yang saban minggu menulis blog ini untuk memuaskan deria baca kamu. Menjadi hiburan waktu senggang kamu. Dan kamu juga terus kekal begitu. Jika sebelum membaca blog ini kamu tidak menutup aurat, kini kamu masih juga begitu. Yang memberi atau menerima rasuah juga masih kekal. Yang berpolitik terusan menindas. Tidak ada langsung belas kasihan terhadap diri sendiri jika tidak kepada saya. Saya dan kamu kekal menjadi manusia yang keras hati.

Tapi, seperti kata kawan saya yang tabligh, 'hidayah bukan kerja kita, kita usaha, Tuhan tentukan.' Mungkin saya patut ikut bertabligh dan belajar dari mereka.

Untuk drrozza, Edwin pernah bertugas di hospital sama dengan ikelah. Alangkah moleknya jika disini saya katakan yang Edwin kini adalah seorang doktor, tetapi tidak. Saya bertemu dengannya di hospital berkenaan lama dahulu. Dia memakai uniform pembantu hospital. Saya tidak tahu tugas sebenarnya kerana waktu saya menegurnya, dia tidak mengenali saya. Mungkin kerana saya bertambah kacak selepas meninggalkan sekolah.

Saya kata mungkin Mat Jan, mungkin.

Wednesday, February 14, 2007

beri

Menjadi amalan biasa bagi sesiapa yang melintas (?) pintu akan memegang daun pintu untuk memandang kebelakang kalau-kalau ada sesiapa di belakang yang mahu masuk dari pintu yang sama di sini. Dan memberi laluan.

Saya memandang amalan ini sebagai satu perbuatan yang lahir dari jiwa yang bersedia memberi bekal kepada generasi akan datang.

Kerana itulah masyarakat yang maju senantiasa memikirkan kepentingan orang yang di belakang. Mereka rompak datuk nenek kita untuk bekal cucu-cicit mereka.

Berlainan kita, setiap kali masuk dari mana-mana pintu, kita segera menutupnya. Bimbang ada orang yang akan mengikut dan menggunakan tenaga kita membuka pintu. Kita bunuh anak yang belum lahir. Gugurkan, jolok dengan duri. Biar mampus.

Jadilah kita kumpulan manusia yang memusnahkan apa saja yang di tinggalkan oleh sesiapa yang terdahulu.

Tidak ada langsung, baik sistem pelajaran atau pun sistem baik pulih masyarakat yang di terokai oleh genarasi awal pemerintahan yang di sambung oleh mereka-mereka yang berkuasa hari ini dan percayalah, jika di takdirkan menteri perdana yang ada sekarang mati akibat tercekik tulang atau barah buah dada atau pun memang ajalnya kerana ada sesetengah dari kita, mungkin kamu tidak percaya, yang meninggal dunia kerana sudah ajal, maka masjid kristal yang bakal di bina itu akan tergendala.

Ya Tuhan, panjangkanlah usia menteri perdana kami kerana sesungguhnya kami amat memerlukan masjid kristal itu.

Kemajuan yang kita dakwa sedang menyerang kita di Malaya adalah kemajuan yang di paksa. Maka jadilah sebahagian kita masyarakat yang terperanjat. Seperti makcik latah di kampung kita yang lancar mengeluarkan kata-kata carut sambil menari sambil mengangkat kain tinggi-tinggi. Jarang, bahkan mungkin tiada langsung makcik latah yang kita kenali yang segera membaca ayat-ayat al-quran atau petikan hadis apabila latah.

Wah, tinggi benar metafora saya.

Begitu juga dengan tradisi baru yang di lamakan. Kongsi raya itu ini. Rumah lama yang baru. Tangan yang di letakkan ke dada sebagai tanda hormat. Dan seribu macam tipu helah yang kita reka supaya kita di kenali sebagai manusia yang berbudaya.

Walhal jika kita kekalkan segala yang lama, suatu hari nanti ianya akan menjadi sesuatu yang amat berharga. Sepertimana kita hari ini sibuk mencari almari lama milik keluarga kerana ianya bukan sahaja cantik bahkan amat ikhlas pembuatannya. Semuanya dari kayu. Bukannya campuran habuk dan hampas yang di keraskan dan di beri nama baru, papanlapis misalnya. Bahkan ada perabot kayu yang langsung bukannya kayu tetapi sintetik.

Pura-pura dan plastik seperti kebanyakkan ahli politik dan ahli akademik yang sering memikirkan kenaikkan pangkat. Siap PhD segera mahukan kanan atau professor madya misalnya tanpa mahu memikirkan sumbangan kepada budak-budak universiti yang asyik berzina itu. Yang budak-budak pula sibuk melayan kembang-kuncupnya kemaluan.

Mulai hari ini, jika membuka pintu, lihatlah ke belakang, takut-takut ada orang yang mahu masuk. Belakang di sini harus di baca sebagai hadapan.

Friday, February 09, 2007

salam

Dave : You know that ramadan thing you told me about the other day?
jones : Ya.
Dave : Well, i've tried it.
jones : Dan?
Dave : It tasted like lychee.
jones : Hah?

Sebenarnya, si Dave ada memberitahu saya yang dia amat gemarkan laici lalu saya menceritakan kepada dia yang di Malaya tidak di tanam laici, itu di Siam. Tetapi kata saya, di Malaya ada buah yang seakan laici dan kami memanggilnya sebagai RAMBUTAN.

Sengaja menceritakan tentang kawan Inggeris saya kerana bimbang kamu lupa yang saya ini tinggal di luar negara. Maklumlah, mahu mencerikatan tentang almari corak Itali atau kerusi yang kamu panggil Chesterfield, saya tidak ada.

Tuesday, February 06, 2007

dari

Ning di gam oleh menteri dari keluar suara di radio atau tivi kerana berangan-angan untuk berzina dengan 5 lelaki sekaligus dalam satu masa. Kepada sesetengah menteri, kejahatan Ning pada masa itu sama dengan kejahatan kumpulan al-maunnah yang mahu mengulingkan kerajaan. Atau mungkin juga menteri berkenaan memang tidak ada tugas yang lebih penting. Alah, seperti sebahagian anak-anak raja di Malaya yang motto ke hidupan mereka adalah, artis adalah udara.

Lalu menangis dan teramat insaflah Ning mohon ampun keatas kesalahan yang belum lagi di lakukannya. Menteri berkeras tidak memperdulikan dan Ning kekal tidak popular dan juga kurang seksi untuk beberapa tahun sebelum kembali kedepan beberapa tahun selepas itu.

3 lelaki di penjara 27 tahun jika di kira semua hukuman keatas mereka di jumlahkan kerana berangan-angan untuk memperkosa seorang gadis berusia 13 tahun. Semua lelaki ini tidak mengenali satu sama lain. Mereka adalah seperti kita, kawan dalam talian. Mereka bertemu di suatu laman yang memperkatakan angan-angan lucah, laman fantasi seks yang bukan-bukan. Mereka berbual dalam talian bagaimana mahu melakukan perbuatan jahat. Transkrip perbualan mereka menunjukkan mereka berbual dalam suasana yang santai.

Berbeza dengan Ning, gadis yang bakal menjadi mangsa ujud dan pihak polis menuduh mereka merancang untuk melakukan jenayah dan mahkamah setuju lalu mereka di tangkap, di tuduh dan di sabitkan kesalahan. Mereka, lelaki-lelaki tersebut hanya bertemu setelah mereka di tangkap.

Dulu, undang-undang ciptaan manusia adalah kegemaran saya. Saya amat berminat mengikuti apa juga perkara berkenaan berkenaan undang-undang. Jenayah atau apa juga. Salah satu sebab mengapa saya suka akan perkara ini adalah kerana adanya apa yang di katakan loopholes yang boleh di manupulasikan oleh mana-mana pihak yang berlawan di mahkamah.

kebijakkan dalam mencari loopholes inilah yang sangat mempersonakan saya.

Namun apabila kamu semakin dewasa, kamu akan dapati kebanyakkan loopholes itu sendiri sebenarnya sengaja di ada-adakan oleh sesetengah pihak. Pihak yang menyediakan kes misalnya.

Maka hari ini amatlah mudah untuk bebas dalam apa juga tuduhan jika sekiranya kamu mempunyai rangkaian kawan yang besar.

Paling tidak pun jika di saman kerana memandu laju, kamu segera mencari kawan yang boleh membantu mengurangkan bayaran denda. Kamu menutup kesalahan dengan kesalahan tanpa mengambil apa-apa pengajaran atas kesilapan. Cuma jika isteri atau anak kamu di langgar orang baru sedar dan insaf menangis seperti Ning.

Saya rasa, berangan-angan untuk berbuat jahat walaupun sesuatu yang amat jijik tidaklah mengakibatkan dosa maka Ning sebenarnya tidak sepatutnya di hukum oleh menteri dan orang keliling.

Kesalahan 3 lelaki tersebut masih boleh di perbahaskan. Mat Jan sila komen.

Lainlah jika kamu membunuh orang yang mayatnya kamu letupkan ataupun tidak. Nescaya kamu akan di tangkap dan di hukum kerana kita tahu pasukan polis kita amat cekap. Tak percaya ? Pergi tanya Dollah yang lagi satu.

ps: tiba-tiba datang bimbang berbual dalam talian sama azalan, amir dan airmas, mereka semuanya mempunyai fantasi bukan-bukan yang teramat tinggi.

Friday, February 02, 2007

jauh

Mungkin kerana sudah biasa mengikut telunjuk maka kamu merasa perlu untuk berpolitik. Banyak kali kamu mengesa agar saya berpolitik. Bertanding sebagai wakil rakyat misalnya.

Mungkin kamu bergurau, tetapi saya mengambil ini sebagai tanda yang kamu adalah manusia yang mahu merubah suasana sekeliling, kamu mahu satu kehidupan yang lebih aman dan tidak selamanya tercekik sambil berlari ke hulu ke hilir mencari seringgit dua untuk menanggung keluarga.

Malangnya kamu tidak mahu melakukannya sendiri, maka kamu mahu melantik seorang yang pada kamu pasti dapat melakukannya bagi pihak kamu.Boleh jadi kamu lupa, tetapi itulah yang kamu lakukan saban tahun musim memilih datang.

Cuma di sebabkan kebodohan, kamu akhirnya menjadi kuli kepada wakil yang kamu sendiri sepakat memilih. Tanda awalnya adalah siapa sahaja yang menang pilihanraya pasti di julang di malam pengumuman.Bermula dari malam itu, kamu sentiasa akan terpaksa membuat temujanji untuk bertemu. Dan banyak kali jugalah kamu akan di kecewakan oleh kesibukkan wakil yang kamu pilih. Dan apabila jemputan untuk merasmikan upacara potong kulit hujung beramai-ramai anak lelaki kampung kamu di terimanya, kamu berhabisan membuat persiapan. Terbuka sahaja pintu kereta mahal milik wakil , kamu tunduk hormat seakan menyembah. Dia yang kamu pilih untuk membela nasib kamu, kamu takut. Seperti si kafir yang mengadun tepung dan di bentuk menjadi patung lalu apabila siap di sembah sebagai tuhan.

Berapa banyak wakil yang kamu pilih menentang apabila di bangunkan binaan yang membazir atau pesta suka-suka yang tidak ada langsung manafaatnya. Kamu malahan gembira di tapak apa juga hiburan yang di sogokkan. Datang bersama isteri, anak, ibu dan bapa, mak dan ayah mertua, gembira. Keluarga bahagia kata kerajaan kamu dan kamu bertepuk tangan setuju.

Yang kononnya pembangkang pula asyik itu-itulah. Undi hantu, undi hantu. Naik muak mendengarnya.

Mengapa kamu tidak mahu menjadi manusia bebas memilih? Yang tahu dan mahu tahu hak. Mungkin kamu sebenarnya gemar menjadi kentut yang datang sebelum tahi.

Tuesday, January 30, 2007

terlalu

Jurnalis dan penulis blog haruslah bertanggungjawab di atas apa yang mereka tulis- Abdullah yang lagi satu,LSE-


Dulu, semua kita ini tidak mempunyai jalan untuk meluahkan apa saja yang tebuku di hati. Baik apa yang peribadi mahupun yang umum. Terkecuali perempuan-perempuan dan sedikit lelaki yang sentimental yang rajin menulis dairi .

Ketika itu kita semua menjadi manusia yang, murung jika mengalami masalah peribadi dan menjadi manusia yang riuh dan tidak berapa di gemari di majlis-majlis atau di tempat mana terdapat ramai manusia ketika gembira atau ada yang kurang di senangi.

Dairi yang di tulis itu pula biasanya di simpan rapi dan tidak (dibenarkan) di baca orang. Lalu perempuan-perempuan dan lelaki sentimental itu pula akan menangis setiap kali membaca kembali kemurungan dan tersenyum sendiri membaca semula kisah gembira.

Namun hingga ke situ sahajalah jadinya tanpa dapat di kongsi dengan sesiapa.

Kemudian dari itu, di reka orang apa yang kamu baca ini, blog. Dan semuanya bertukar dan berubah.

Murung kita kongsi. Ceria kita kongsi. Ramai yang simpati. Ramai yang tumpang suka. Dan kita menjadi teramat popular.

Dan begitu sahajakah mahu kita? Tanpa mahu menggunakan peluang ini untuk merubah apa-apa? Hanya mahu memberitahu dunia tentang anak yang lulus periksa. Tentang kekasih yang amat di cinta. Tentang penyanyi/pelakon, perempuan dan jantan cantik yang kita puja.

Kita mengajak beribu manusia datang membaca tulisan kita dan percayalah yang kita sangat dan akan di pertanggungjawabkan keatas apa yang kita tulis.

Jangan peduli tentang amaran itu ini. Marilah kita menulis sesuatu yang akan membantu jika tidak kehidupan kita sendiri, sekurangt-kurangnya dapat memberi sedikit kelegaan kepada orang lain hatta kepada mereka-mereka yang bakal hidup selepas dari kita.

Kita yang ada hari ini sudah menjadi tidak penting. Makanya kehidupan melankolik kita juga tidak memberi apa-apa sumbangan kepada pembangunan apa juga. Jadilah manusia yang ada diri bukan yang mengikut telunjuk demi menjaga temolok.

Friday, January 19, 2007

lembut

"Keling sila keluar, kami tidak melayan keling disini." Kata saya setelah pasti hanya ada seorang lelaki/perempuan India di ruang legar tempat kerja dulu. Lama dulu. Kawan-kawan sekerja terkejut. Begitu juga dengan lelaki India berbadab besar tersebut. Melilau matanya mencari dari mana datangnya suara itu.

Hubungan India dengan Britain 2-3 hari ini sedikit tegang akibat serangan yang berbau perkauman yang di lepaskan kepada Shilpa Shetty, salah seorang peserta rancangan Big Brother. Siri di mana sekumpulan manusia di kurung untuk beberapa lama dalam sebuah rumah.

Beliau diserang (dengan kata-kata) oleh 3 orang gadis Inggeris. Jo, bekas ahli kumpulan S Club 7, Danielle, kekasih sekedudukkan pemain bolasepak terkenal dan Jade Goody, pemenang siri pertama rancangan ini beberapa tahun dahulu.

Antara lain ahli di dalam rumah tersebut adalah abang Micheal Jackson, Jermaine dan Dirk Benedict, perlakon siri A Team yang popular sekitar tahun 80an dulu.

Di India, rakyatnya mula berpiket membantah. Tetapi apa yang mahu kita hairankan, jika sekiranya bekalan pokok pisang berkurangan sekali pun, rakyat India akan berpiket.Sudah itu kegemaran mereka. Seperti budak-budak PAS dan KeAdilan, sikit-sikit piket, sikit-sikit piket. Kemudian balik kerumah letih dan tidur sehingga ada isu baru yang perlu di piketkan. Deja Moss tak pakai baju dalam misalnya.

Sifat perkauman tidak dapat tidak mesti ada di dalam semua manusia. Yang menyelamatkan adalah sifat ingin dan cuba memahami agama dan budaya satu-satu kaum.

Banyak masalah perkauman di sini asalnya adalah di sebabkan enggannya menghormati agama dan budaya orang lain.

Orang Islam di sini di wakili sebahagian besarnya oleh kaum India. Tidak kiralah yang datang dari India, Pakistan, Bangladesh,Kenya atau mana-mana negara Afrika. Mereka membawa adat dan budaya masing-masing sebagai adat dan budaya Islam. Kerana itulah ramai kawan yang bukan Islam dan bukan India di sini menganggap membunuh anak yang enggan bernikah dengan pilihan keluarga sebagai amalan Islam. Saya di anggap pelik kerana Islam dan tidak India dan bernikah sesuka hati. Ini bolehlah kita andaikan sebagai ketidakmahupedulian.

Sifat perkauman hanya boleh di hapuskan apabila kita tidak lagi pedulikan apa bangsa kita. Mungkin kamu UMNO dan cemas tetapi jika kamu bersungguh-sungguh mahu menghalang perang kaum samada secara literal atau metafora hanya itulah caranya. Kekasih Tuhan saya yang bersabda begitu.

Atau kamu boleh saja jangan pedulikan agama dan keluar makan dan minum apa saja,tidur bangun dengan siapa sahaja,jangan perdulikan halal haramnya nescaya kamu akan di terima sebagi sebahagian mereka.

"Aku agok doh, mesti budak (nama sekolah saya)! Babi! Babi! " kata Ghanarajah al Thurairajah apabila melihat saya ketawa dari dalam tempat kerja. Saya menghulur tangan dan kami berjabat. Saya mengajak beliau ke tempat minum dan kami berbual lama sambil dia tidak henti-henti menyumpah saya. Lama benar kami tidak bertemu.

"Tapi aku panik jugok, takut betol tempat ni tak layan keling", tambah Ghana. Disekolah seperti yang kamu duga, dia di panggil Gajah. Besar tapi penakut yang amat.

Sunday, January 14, 2007

di

Ya ayyuhal penduduk Batu Talam, apabila datang kepada kamu hari yang ada padanya perintah untuk mengundi, maka hendaklah kamu memilih untuk mengundi umno. Mudah-mudahan dengan itu kamu beroleh kejayaan.

13:50 al-umno

Wednesday, January 10, 2007

telinga

" Suara enta kalau di padukan dengan suara ana, boleh meletup rasanya. Kita ajak akhi Khairul, akhi Zamsuri dan akhi Rosdan. Kita buat kumpulan. Kita dakwah cara ni syeh! Orang sekarang suka, jadi kita kena ikut syeh. Enta setuju?"

Antara misteri kehidupan yang sangat menjadi misteri kepada saya adalah apabila sekumpulan lelaki tiba-tiba secara terancang berpakat untuk menubuhkan kumpulan nyanyi.

Bukan kugiran tetapi kumpulan nyanyi tanpa bermain musik. Musik lain orang main. Mereka nyanyi sahaja. Atau kumpulan acapella.Yang berkugiran rasanya boleh di maafkan kerana mereka menyerang menggunakkan senjata (gitar dan sebagainya). Ini yang bersenjatakan rupa dan berat kearah pondan dan suara yang bolehlah.

Saya hairan bagaimana lelaki boleh terfikir untuk bernyanyi secara berkumpulan.

Cuba lihat kumpulan-kumpulan lelaki yang jika bermisai atau janggut, wajip di hiris nipis-nipis bagai di lukis. Jika bernyanyi wajip menggegarkan bawah dagu untuk mendengungkan suara.

Lagu nyanyian mereka pula kebanyakkannya kisah yang jika disebut senafas berbunyi begini: cintalukalararinduhampirbunuhdirikeranaditinggalkekasihyangmenurut
katamerekaamatcantik.

Sambil bernyanyi mereka menari. Sekarang, cuba bayangkan lelaki-lelaki yang teramat kacak itu berlatih menari. "Salah tu Joe,kaki kanan belit kat kaki kiri lepas tu tangan kiri pegang dagu, tangan kanan pegang kote, baru ngam." Tak ke geli mendengarnya.

Saya boleh faham jika perempuan meminati mereka kerana seperti di ketahui umum, para perempuan sukakan kecantikkan dan sukakan angan-angan.Dan ini semua diberikan oleh penyanyi berkumpulan lelaki. Kacak dan bernyanyi sambil memegang kote. Dan perempuan yang bernyanyi secara seorang atau kumpulan juga tidak menghairankan kerana memang itulah tujuan mereka di lahirkan.

Yang malangnya, ada lelaki yang meminati kumpulan semi-cantik sebegitu!

Kemudian satu lagi misteri kehidupan yang saya tidak faham adalah apabila lelaki itu tidak kacak dan gemuk tetapi mahu menjadi penyanyi, maka rap lah pilihannya.

Penyanyi rap boleh di maafkan lagi rasanya jika berdua, tetapi jika sekampung di kumpul untuk bernyanyi di pentas, rasanya itu musibah paling besar dalam kehidupan manusiawi.

Tapi ada juga lelaki-lelaki yang bernyanyi dalam kumpulan ini akhirnya insaf. Mereka keluar dan bernyanyi sendiri.

Dan Melayu suka R&B. Derhaka sungguh! Kita berdarah balada. Terimalah. Jangan di paksa-paksa sesuatu yang bukan dari susur-galur timur kita.

Kemudian kumpulan nasyid.

Saya rasa, semua yang giat bernasyid ini tinggi pengetahuan agamanya. Jadi mana datangnya cita-cita untuk bernyanyi secara rakus ini? Nasyid salah atau tidak jangan tanya saya. Apa yang mahu saya tanya adalah "takde kerja lain ke ustad?"