Friday, September 28, 2007

atma rindu fatamorgana sepi

Antara sms terawal saya terima setelah mendaftar sebagai pelanggan talipon di sini adalah mengenai betapa akan berlaku rusuhan kaum di Malaya dalam jangkamasa terdekat ini.

Saya bukanlah peminat kerajaan, namun dalam hal yang menyentuh kesatuan manusia, saya amat tidak gemar bila mana-mana pihak menceritakan keburukkan kaum yang lain tanpa sebarang bukti.

Biasanya, mereka yang gemar bercerita tentang pergaduhan kaum ini adalah mamat-mamat kaki silat. Sikit-sikit parang terbang, sikit-sikit selepang merah. Saya rasa ini adalah konspirasi mahaguru-mahaguru silat se Malaya untuk menambah ahli persatuan masing-masing.

Saya juga berpendapat jika benar berlaku pergaduhan antara kaum di Malaya, berita kematian yang banyak itu pasti akan di laporkan di apa juga media dengan sedikit atau banyak manipulasi.Di laporkan sebagai peperangan antara kumpulan samseng misalnya. maklumlah, kita di Malaya ini terkebawah sedikit sahaja dari Mafia Itali Dan Yakuza Jepun dalam hal-hal kumpulan samseng. Budak sekolah rendah kita sahaja (jika kita percaya media) kebanyakkannya adalah anggota kumpulan samseng.

Jadi, jangan lah hanya kerana kita pandai hikmat api dalam sekam maka kita sibuk mmenjadi war-monger.

Perjuangan kononnya untuk memajukan satu-satu kaum juga mesti di hapuskan jika kita serius mahu hidup sebagai bangsa Malaya. Harapnya di perhimpunan tahunan partai Melayu maha agung itu nanti, tidak akan ada menteri, timbalannya atau juak-juak mereka yang bodoh,dengan bangangnya berdiri menjulang dan mencium keris terhunus sebagai apa jua simbol. Apa perasaan kamu jika sekiranya Abang Mee bangun dan menjulang belantan kalari payat di perhimpunan kongres kaum India?

Dulu, kita tidak memerlukan kerajaan untuk hidup aman muhibbah.Semua orang tahu tugas dan saling menghormati. Lama sebelum munculnya iklan perpaduan tajaan Petronas, Timothy Kumar dengan bangganya mengaku saya sebagai rakan paling akrab.Setiap aidil fitri tanpa perlu dorongan untuk kongsi raya oleh kerajaan. dia kerumah saya demi persahabatan. Pasukkan bolasepak negara di wakili semua bangsa. Bukan sebab kerajaan suruh,tetapi sebab kita bebas bergaul tanpa syak dan dengki.

Malang sungguh hari ini apabila muhibbah hanya berlaku dalam pekongsian niaga yang tidak sihat. Polis melayu tolong halalkan duit maksiat towkey cina yang jahat misalnya.

Jika kamu tanya saya mengapa hubungan antara kaum kini penuh syak dan dengki, tanpa rasa berdosa saya akan menyalahkan ahli politik yang bahlol. Yang bercakap hanya untuk mencapai batuan dalam politik tanpa mahu nmemikirkan akibatnya. Kaki dam aji di kampung saya ada satu perumpamaan yang sangat tepat dan amat sesuai untuk mereka ini iaitu; bodo macang batu pele.

"Esok anok bini mu rrogo kkeling baru mu tahhu!" kata kawan yang marah apabila saya tidak mempercayai teori kerajaan sengaja menutup cerita rusuhan itu.

Adilkah mendoakan keburukkan hanya kerana saya mahukan bukti yang sah sebelom menpercayai khabar angin? Jika ramai yang rajin menyebarkan berita dan gambar artis (bercium kerana suasana romantis yang jahat atau tidak), saya percaya jika benar berlaku keganasan kaum di Malaya, pasti ada yang menyebarkan berita dan gambar kejadian tersebut.

Sehingga itu berlaku, marilah kita doakan agar ramai lagi pengiat seni lakon dan nyanyi tanahair kita tampil mengaku dosa-dosa mereka agar dapat mereka kita maafkan.

Tuesday, September 25, 2007

bukan sms dari sinaganaga

sms:

-Datang awal ke masjid kerana pakir biasanya penuh di awal ramadhan-

dari:
Lelaki-yang-baru-nikah-yang-dahulunya-mahu-jadi-faisal tehrani-tapi-sekarang-mahu-jadi-yassin-kerana-lebih-hip-dan-hop-
dan-boleh-rap-dan-nama-betulnya-
bukan-amir-mukhriz-

Kadang-kadang peringatan dan hiburan datang dalam satu masa dan dalam keadaan ringkas.
Lalu saya perpanjangkan pesanan Lelaki-yang-baru-nikah-yang-dahulunya-mahu-jadi-
faisal-tehrani-tapi-sekarang-mahu-jadi-yassin-kerana-lebih-hip-dan-hop-dan-
boleh-rap-dan-nama-betulnya-bukan-amir-mukhriz-supaya saya ,dia dan kamu sama-
sama mendapat menafaatnya.

Selamat Puasa Lan. Yang kamu pi menikah dekat puasa kenapa?
Selamat Hari Raya semua. Maafkan dosa-dosa saya.

Wednesday, September 12, 2007

malu

Ada dua kemungkinan mengapa kerajaan payah mengeluarkan permit ceramah politik untuk partai selain kerajaan di Malaya.

Pertamanya adalah mungkin kerana pemerintah sedang menuju kearah pemerintah diktator dan keduanya mungkin kerana pemerintah menganggap sekalian rakyat Malaya adalah bodoh.Tiada upaya memikir untuk memilih apa partaikah yang patut memerintah negara makmur ini. Jadi mereka (pemerintah) berusaha mengembala kita agar masuk ke kandang yang mereka (pemerintah) rasakan sangat betul.

Saya sangat suka sebab yang kedua dan sangat yakin itulah sebab yang benar.

Pembangkang adalah musuh, muktamat. Negara dan segala isinya adalah milik peribadi mutlak pemerintah, muktamad.

Jika kamu dari partai selain pemerintah, secara otomatis kamu menjadi ingkar dan jika masih berusaha untuk bangun, layaklah kamu di tembak seperti babi. Ops! Babi pun adakalanya lebih beruntung dari kamu. (sabit yang di sengajakan)

Ini ada satu cerita dongen antah-berantah yang berlaku di negara atas angin. Sepertimana cerita dongen yang lain, ianya adalah cerita yang tidak mungkin berlaku di alam nyata atau sekurang-kurangnya di negara Malaya tercinta ini.

Di Jerman atau Australia, saya malas membelek mencari balik faktanya,Apabila sesuatu projek mahu di laksanakan, membina jambatan panjang misalnya, kerajaan akan memanggil semua pihak yang terlibat dalam politik untuk sama-sama ikut serta dalam mesyuarat.

Ini adalaj kerana, kerajaan bimbang jika sekiranya sedang projek ini masih berjalan dan belum siap, mereka tewas dan tampok pemerintah akan bertukar, (seperti saya katakan tadi, ini dongeng, tidak mungkin akan berlaku di Malaya) maka, partai yang menggantikan kerajaan akan tahu untuk menyambung kerja-kerja pembinaan tersebut. Tanpa perlu membasuh taik sesiapa.

Pelajar-pelajar tajaan kerajaan juga tidak perlu bimbang tentang tumbangnya mana-mana kerajaan kerana siapa pun yang memerintah, kebajikkan rakyat pasti di jamin. Bukannya bila kerajaan bulan bintang di terengganu tewas maka kerajaan cap kapal(layar atau berinjin atau kedua-duanya sekali) akan membiarkan pelajar-pelajar tajaan bulan bintang mampus kesejukkan di Wales sana.

Ini cerita dongeng, faham? Yang di atas semua contoh. Bukan fitnah dan khabar angin. Faham? Tak payah pi jaja merata.

Takut kalah pilihanraya tidak akan berlaku sekiranya apa yang kita perjuangkan adalah negara dan rakyat. Siapa pun yang menang, sepatutnya negara dan rakyatlah menjadi tumpuan, utama dan terakhir. Makanya, takut tewas pilihanraya berkemungkinan ada perkara yang mahu di selindung.

Alangkah moleknya jika seluruh rakyat Malaya cerdik politik. Meletakkan negara dan hak sebagai rakyat lebih hadapan dari kepentingan peribadi. Agaknya pada masa itu tidak akan berlaku perbuatan jahat membakar bendera sendiri. Bakar bendera orang lain kerana sangat marah mungkin di maafkan, tetapi membakar bendera negara, milik saya yang tidak menyokong apa-apa partai adalah perbuatan yang sangat melukakan.

Friday, June 01, 2007

.

Sila ke sini jika kamu masih mahu membaca tulisan saya kerana saya sedang berusaha untuk tidak menulis lagi di sini.

Jika kamu mahu membaca tentang puji-pujian terhadap saya,
sila ke sini

Jemputlah berhibur dengan sajak-sajak dan puji-pujian kerana itulah yang kita suka. Hiburan dan puji-pujian.

Sunday, May 13, 2007

hey!

Jutaan terima kasih diucapkan kepada semua yang membaca disini. Mahu disebutkan satu persatu rasanya tidak mampu, maklomlah selain terlalu ramai, saya juga amat sombong untuk melakukannya.

Nasihat dan anjuran yang baik akan saya jadikan tauladan dan mana-mana tulisan di sini yang buruk jadikanlah sempadan.

Saya akan berpergian* dalam masa satu atau dua minggu dari sekarang.

Akhir kata, jangan menjadi harimau yang membuang anak atau jangan percaya sangat berita akhbar (mengenai harimau membuang anak).Dan bercanggah dengan kata abdullah yang lagi satu, perjuangan untuk memajukan satu-satu bangsa adalah salah.

Dengan ini saya akhiri penulisan blog ini buat sementara waktu. Doakan saya.

Assalamualaikoum.


ps: berpergian adalah kata yang disarankan oleh Cikgu Rimanilzah bagi menggantikan kata berpergi-pergian yang selalu saya gunakan.

Wednesday, May 09, 2007

mari

-awok ingat lulus phd je otomatik jadi cerdik? kalau doh memang kaki tarik duit,kaki skim cepat kaya, dapat lapan kali phd pon bodo serupa tu la jugok- dr abdul razak.


-ye,ye..- abdullah (atendan hospital yang akan naik gaji tidak lama lagi dan gaji barunya nanti tidak akan nampak langsung jurangnya dengan gaji para doktor, maka akan lebih mudahlah kehidupan hariannya. atau itulah sekurang-kurangnya kata abdullah yang satu lagi) jones.

Friday, May 04, 2007

bersama






sudah terbit! sila dapatkan dari amirmukhriz@gmail.com

Posted by Picasa


sajak-sajak abdullahjones ini seronok dibaca, kesannya langsung dirasai. selain berjenaka secara bawah tanah untuk orang-orang di atas tanah, abdullahjones menulis sesuatu yang hilang daripadanya, katanya: di ruang yang terluang, aku terkenang kasihnya orang.
-pyan habib-

Sdr Abdullah, entah mengapa membaca karya-karya anda saya begitu berkenan sekali. Ada daya penariknya. Ada banyak kelainanannya.
-hb johar, penulis veteran singapura-

Kemaskini:

Tulisan yang satu lagi terpaksa dipadamkan.

Tuesday, May 01, 2007

kita

"Kita tengok wayang" kata Mok. Ini sesuatu yang baru. Mok bukan kaki wayang. Dan seingat saya, itulah kali pertama dan terakhir dia ke panggung (setakat ini). Agak saya mungkin semasa mudanya dia pernah menonton wayang di panggung, agak saya.

Beberapa minggu sebelum itu, telah pecah khabar yang saban hari panggung REX penuh dengan manusia. Ada yang sampai bertumbuk berebutkan tikit. Dan pihak hospital menyediakan sebuah ambulan khas yang sedia menunggu dekat panggung. Yang membawa khabar ini adalah Enon Tan, wakil Bollywood di kampung kami. Jika salah tanggapan, kita sangka yang Enon Tan ini ada kongsi dalam mana-mana saham pembikin wayang hindustani.


Kami biasanya mendapat tahu filim apa yang ditayangkan di panggung melalui sebuah kereta yang berpembesar suara di bumbungnya yang akan datang mengumumkan apa-apa filim yang baru di panggung.Sambil menjeritkan judul filim sambil membaling kepingan kertas iklan.

Kami yang kanak-kanak akan berebut-rebut mengambil kertas iklan dan berlari balik memberitahu ibubapa masing-masing.Biasanya Mok tidak akan memberi apa pun tindakbalas bila saya suakan kertas iklan wayang.

Mungkin kerana ingin tahu apa yang dihebohkan orang atau mungkin kerana waktu itu saya sudah sedikit remaja, maka Mok mengambil keputusan untuk ke bandar menonton wayang.

Saya berdebar-debar menunggu Mok bersiap kerana saya bimbang Mok akan bersolek seperti mana Enon Tan ke pawagam. Merah sana-sini, sanggul palsu dan kebaya ketat yang terbelah tinggi.

Mujurlah Mok keluar dari bilik dengan baju kurung dan hanya berbedak Yardley nipis tanpa gincu dan pembayang mata. Cuma celaknya sedikit tebal dari biasa. Saya protes, Mok cuma tersenyum.

bersambung...

Friday, April 27, 2007

nyanyi

'akan datang kepada kamu sekumpulan lelaki yang (dengan sengaja) meloncat keluar dari sebuah kapalterbang dan mendarat di sebuah tanah yang tidak ternampak akan tanahnya dan jika kamu melihat (perbuatan) itu sebagai suatu kebaikkan, maka adalah sama (kebaikkan) yang kamu lihat pada seorang lelaki yang (walaupun) tidak pernah seumur hidupnya bersembahyang lima waktu (dan kemudiannya mati dalam keadaan begitu) hanya kerana dia (lelaki itu) tidak pernah sekalipun menggunakan kote-nya secara haram dan janganlah kamu termasuk dalam kumpulan manusia yang zalim ( yang memukul jeff ooi)'

abdullahjones 50:50

Wednesday, April 25, 2007

lagu

Saya rasa, ahli muda AMNU bodoh kerana terjun di kutub utara. Eh! silap. Kita mula balik.

Bodoh betul ahli muda AMNU yang terjun di kutub utara.

Friday, April 20, 2007

blues

"I'm leaving" kata Spencer kepada saya setelah meminta saya berjanji tidak akan menghebahkan perkara itu sebelum dia sendiri mengumumkanya. "Mesti ada dimana-mana dalam ajaran ugama kamu yang menyuruh kamu berpegang pada janji" katanya sebelum memberitahu saya rancangannya untuk berpindah ke tempat lain dalam masa 12 minggu dari sekarang. Dia mahu mengubah angin. Tengok tempat baru dan belajar perkara baru.

Rancanganya adalah, menjual rumah, dan dengan duit hasil jualan itu dia akan membayar segala hutang -piutangnya dan memulakan hidup baru tanpa hutang. Kepada yang tidak tahu, dia memang kelihatan sedikit kedekut. Setiap kali gilirannya untuk membeli minuman, dia akan buat-buat lupa sehingga dijerit oleh Mick Miller, kawan kami yang menalipon isterinya seperti yang saya ceritakan dulu. Sebenarnya dia ditekan hutang. Kerana itu setiap sen dikiranya.

Dengan sedikit baki dari hasil jualan rumahnya itu nanti dia akan menabung sehingga dia mampu membeli rumah yang lain. Kata dia, ditempat baru itu dekat dengan laut, memang cita-citanya mahu berumah di tepi laut. Dulu mahu pindah ke Australi tetapi tidak kesampaian kerana tidak menepati syarat.


Menjual rumah adalah dosa besar sebahagian masyarakat Melayu. Masuk neraka tanpa hisablah jawabnya jika ada mana-mana umat Melayu yang tergamak menjual rumah. Biar bangsat tak makan. Biar hutang keliling pinggang. Tercungga-cunggap nak bernafas kerana sesak, namun untuk menjual rumah dan melangsaikan hutang tidak sama sekali. Pantang tok nenek.

Sebabnya adalah kerana, semasa pinjaman perumahan diluluskan, maka berpestalah penerima pinjaman seolah-olah apabila mati nanti para malaikat akan menyambut mereka dengan payung emas dan terus membawa mereka ke istana yang diperbuat dari batu zabarjad. Lupa makna pinjaman. Hutang 30 tahun sambut dengan kenduri kesyukuran. Sepatutnya kenduri itu dibuat setelah segala hutang tersebut dibayar. Ini tidak, macam taik arak, tengok botol arak di kedai dah mabuk.

Sebenarnya, dapat apa pinjaman pun umat Melayu akan berpesta. Yang menipu untuk mendapatkan bala pun ramai. Tipu mengisi borang permohonan kad kredit misalnya.

Kita juga amat takut untuk berubah. Kita mahu selesa. Tidak mahu tukar-tukar, payah. "umno kan senang, kita dah tau perangai dia, rasuah sikit-sikit tak apa la, janji kita aman." Kata kita. Lalu semakin dibodoh(i) lah kita adanya. Kerana itulah juga saya rasa mereka akan menang di mana pun pelihanraya nanti.

Ya lah, mahu diharapkan PAS, budak-budaknya sibuk mencari kopiah dan jubah lawa. Mahu dipadankan dengan jaket vestnya. Uniform wajip tentera tuhan, takbirrr! Adil pula sibuk dengan " apa yang akan saya buat" bukannya "apa yang telah saya buat"( semasa bersama pemerintah dulu).



ps: uipts, baguslah dah mula menulis kembali. dan terima kasih kepada yang bersedekah kepada 'lang' saya. tuhan akan membalas kebaikkan kamu.

Tuesday, April 17, 2007

selamat

lang,
minta maaf banyak-banyak, kawan tak dapat
hadir hari awak dikebumikan, kawan jauh, kalau
balik pun, belum tentu jumpa mayat awak
lagipun kawan tahu, awak nak cepat
sedih kawan hanya tuhan yang tahu
kawan teringat masa balik tahun lepas
jumpa awak di masjid, “assalamualaikom, orang putih,
bila balik?” awak tegur kawan. kita peluk-peluk
macam orang arab. awak senyum
bila kawan tanya, “sejak bila jadi bilal?”
“bilal sangkut” kata awak, orang minta
sebab awak selalu ada di masjid
kemudian awak ajak kawan ke rumah
kita bual, kita bertekak bila ada yang kita
tidak sama setuju
kawan tengok Kak Anim dah panik
takut kita bertumbuk macam dulu-dulu
masa kita sama kecil dulu namun akhirnya
kita sekata untuk tidak sama alir
“ikut awak-lah, janji awak tak tinggal sembahyang,
tak sembah lain tuhan sudah” kata awak pada kawan
awak tuangkan teh-o ke cawan kawan, tapi mungkin
ada lagi panas bertekak tadi, tangan awak terketar-ketar
dan tertuang ke tangan kawan
“ambil minyak gamat, ambil minyak gamat” jerit awak
bukannya panas sangat pun teh-o tu, tapi kawan nampak
ada kasih sayang yang awak laungkan masa minta minyak
gamat. kawan ingat sangat muka awak masa kawan kata nak balik
awak kata entah jumpa entah tidak dah kita ni. kawan kata insyallah,
ada rezeki kita, jumpa. awak senyum. kawan peluk awak, awak cium
pipi kawan tiga kali. “kalau kawan mati dan dapat tahu awak tak sembahyang,
kawan nak minta jadi hantu dengan tuhan, kawan nak pergi england cekik
awak” kata awak masa kawan melangkah keluar. entah melawak entah sungguh
kawan ketawa kuat, awak pun.itulah terakhir kita bertemu

lang,

hari ini kawan sedih sangat.



al-fatehah untuk Yazid Salim/meninggal hari ini.

Sunday, April 15, 2007

tinggal

Kata orang, Jumaat 13 haribulan adalah hari sial. Kata saya, apalah mereka tahu tentang untungsial. Yang pentingnya, hari itu adalah hari lengkap saya sebagai penulis berbuku.

Malu sebenarnya untuk mengiklankan di sini, namun seperti kali pertama lukisan saya dibeli orang, saya tidak dapat menahan gembira dan mahu khabarkan kepada semua.

Kepada semua, jangan beli buku itu jika kamu gemarkan sastera atau jika kamu mahukan suatu penulisan yang bermutu. Belilah buku itu jika kamu berduit dan juga kerana gambar muka depan yang bakal menang anugerah dan juga sebab kualiti cetaknya.

Oh! Buku itu belum dijual tetapi kamu boleh membuat pesanan awal melalui sinaganaga atau siapa sahaja yang terlibat dengan kumpulan Sol-jah.

Saya kini sama tarafnya dengan semua seniman negara, dengan Faisal Tehrani, dengan Samsiah Mohd. Nor (haha), dengan Geng Jurnal, dengan err.. Khalid Jefri.

Aiseyman, bila fikir-fikir, tidak ada pula gahnya menjadi penulis berbuku.

Dan mahukan tandatangan dan bertemu saya samalah seperti mahu menembak rusa yang berkeliaran di taman bangunan Parlimen Malaya. Yakni, seperti semua perkara di Malaya, bukanlah mustahil jika sekiranya kamu kenal orang dalam parlimen.

Ya Rosli Nizam, saya sanggup. Dan ya Dokter NBB, saya sangat alim.Dan anak tukang masak nasi ayam Restoren Sumatera baca tulisan saya? Wow! Dan seperti kata sinaganaga,hanya perempuan keji suka lelaki keji.

Oh! Oh! Komen yang itu, jawapannya adalah, frankly, my dear, i don't give a dam!

Thursday, April 12, 2007

tinggal

Kawan Budak Gemuk (yang kerjanya adalah bercakap,bercakap dan bercakap): Kenapa tak beli mixer tadi?
Budak Gemuk :Lepas fikir-fikir, tak jadilah. Tak penting pun. Tak beli pun tak apa.

Apa pun akan menjadi lebih terang jika kita memberi peluang kepada diri untuk berfikir.Tambah pula kata orang, jika marah, kira hingga 10 sebelum bertindak baru kita tidak melulu.

Manusia pintar seperti saya juga kadangkala banyak belajar dari orang sekeliling.


ps:rem, saya menunggu tawaran dari penerbitan yang besar-besar, PTS misalnya,Karangkraf misalnya bahkan DBP misalnya baru blog ini akan dibukukan. Malas berurusan dengan penerbitan kecil, Sindiket Sol-Jah misalnya. Asyik kena marah. Tambah sikit marah. Kurang sikit marah.Sikit-sikit marah. Sikit-sikit marah. Benci.

bro keng, Restoren Sumatera rasanya lebih terkenal dengan nasi ayam lebih dari nasi padangnya.

Jones: Tin, kenapa masa sekolah dulu kawan-kawan kamu tak ada yang mengurat saya?
Tin : Bukan tak ada, tapi semua takut.
Jones: Apa pasal?
Tin : Kamu garang dan nampak alim sangat.

Tengok wan, i never was a bad boy.

Ada sedikit usaha di esastera mengenai budak hilang Yin. Pergilah baca.

Sunday, April 08, 2007

agar

"Malam ni ada kerja?" Tanya arwah Zaidin kepada saya.
"Setakat ni tak ada." Jawab saya.
"Kita gi tengok An angkat nikah nok?" Pelawa Zaidin.
"Dia nikoh malam ni?" Tanya saya.
"Ho." Jawab Zaidin.

An adalah pekerja Zaidin.

Lalu bermulalah satu malam yang penuh jenaka, err.. sekurang-kurangnya kepada saya.

Jenaka satu:

Saya : Mana orang lain?
Zaidin: Tak ada.
Saya : Kita je?
Zaidin: Ho.
Saya : Keluarga dia tok datang?
Zaidin: Ayoh dia tak bagi nnikoh.

Saya datang sebagai jemputan tetapi berakhir sebagai rombongan utama. Rombongan membawa pengantin lelaki. Saya, Zaidin, Jimi dan isterinya.

Jenaka dua:

Lama kami menunggu pengantin lelaki bersiap.

Zaidin : Gi tengok mende lama sangat tu.
Saya dan Jimi : Ho.

Kami menaiki tangga bangunan rumah kedai yang terkenal dengan tempat penginapan perempuan-perempuan yang berniaga diri.

Perempuan Satu: (rokok dibibir sebelah tepi, mata sedikit tertutup akibat mengelak asap rokok masuk dan berkemban sambil memakaikan butang baju melayu kepada An)Mmolek Ang, mu nok nikoh doh ni.Mu jaga dia mmolek.

Perempuan Dua: (rokok tersepit antara jari kelingking dan manis sambil sebelah tangan diletakkan dibahu Perempuan Satu dengan mata sedikit merah, mungkin syahdu mungkin pedih dimasuki asap)Ho Ang, mu jage Jun tu. SSiang ke dia.

Saya kenal An sebagai pekerja Zaidin yang selalu didatangi oleh Jun, anak cina jurujual pasaraya dekat dengan tempat Zaidin berniaga setiap waktu rehat dan waktu lepas berkerja. Bercinta agaknya. Pernikahan mereka berlaku lama setelah saya tidak bertemu mereka, An dan Jun.

Jenaka tiga:

Saya : Ini rumah Jun?
Zaidin: Bukan, rumah kawan Jun.

Kami tiba di rumah pengantin perempuan dan dialu-alukan oleh tuan punya rumah dan mereka adalah keluarga melayu yang anak lelaki mereka juga menikahi perempuan cina.


Keluarga Jun juga tidak merestui pernikahan mereka.

Semua mata tertumpu kepada kami. Zaidin dengan jeans dan kemeja batik. Jimi dengan jeans dan kemeja lengan pendek hitam. Isterinya dengan pakaian biasa seorang perempuan kemajlis pernikahan dan saya dengan jeans dan kemeja t putih.

Jika saya menjadi keluarga pengantin perempuan, saya akan menghalau kami semua kerana tidak tahu adab majlis. Tapi rasanya saya boleh dimaafkan kerana tidak tahu langsung yang kami ini sebenarnya adalah rombongan utama dan saya berdoa yang pernikahan ini tidak akan melibatkan adat yang melampau. Berpantun dan bersilat misalnya.

Nyata doa saya dimakbulkan.

Jenaka empat:

Pak Imam: Panggil pengantin perempuan.

Jun turun dari tingkat atas dengan baju kebaya yang sangat besar DAN perut juga teramat besar. Saya terkejut dan berbisik pada Zaidin dan Jimi, "nnatang mu. dok kabo ke aku." Jimi dan Zaidin terhinjut-hinjut menahan ketawa.Pak Iman dan rakan-rakan kelihatan tidak terkejut. Mungkin sudah dimaklumkan oleh tuan rumah agaknya.

Jenaka lima:

Saya tidak tahu bagaimana mahu menceritakan tentang akad nikah si An ini. Ianya adalah majlis akad nikah yang penuh dengan drama. Dari jenaka menjadi trajedi kembali menjadi jenaka.

Setelah diajar berpuluh kali, sumpah! berpuluh kali, An masih tidak dapat melafazkan akadnya. Kemudian Pak Iman menulis ayat akad dan disuruh baca juga berkali-kali namun masih juga gagal. Saya ketawa dan tidak memperdulikan majlis. Zaidin juga demikian.Cuma Jimi yang dapat mengawal diri tapi saya yakin dia sebenarnya dikutil oleh isterinya.Kerana itu dia dapat mengawal diri.

Pak Imam kemudianya meminta masa rehat. An disuruhnya mandi namun seingat saya dia tidak melakukannya melainkan pergi duduk bersama kami menghisap rokok di luar rumah. Zaidin cuba memberi semangat kepada dia. Jimi akhirnya tidak dapat menahan ketawa.Isterinya juga. Kami ketawa semahunya. An juga dapat mengambil jenaka yang berlaku dan ketawa bersama kami.

Agaknya ini merehatkan sedikit ketegangan dan selepas sejam masa rehat, kami kembali ke separuh masa kedua upacara akad nikah.

Pak Imam: Hah! Kalau tadi buat lagu ni kan senang.

Dengan sekali lafaz, sahlah Jun menjadi isteri An.

Saya lihat, makcik-makcik yang hadir ramai yang menitiskan airmata. Mungkin simpati mungkin gembira. Saya sendiri juga amat gembira. Kerana apa saya tidak tahu. Mungkin kerana banyak ketawa atau barangkali kerana mereka akhirnya sah melakukan apa saja yang dibenarkan agama.

An berhenti berkerja denga Zaidin tidak berapa lama selepas itu dan dimana mereka kini saya tidak tahu cuma saya mengharapkan mereka bahagia. Zaidin meninggal banyak ramadan dahulu. Jimi pula di UIA. Dia selalu saya hubungi dan kami masih juga ketawa terbahak-bahak bila mengingatkan peristiwa itu.

Oh! An dan Jun tidak memakai serban, jubah dan tudung labuh maka tidaklah saya berpeluang untuk menghukum semua para pengamal agama. Seperti yang sering dicari kesalahannya oleh orang banyak dan media apa saja.


ps: uipts, saya kenal baik dengan 'budak air putih' yang menzalimi kamu dulu. :)
naga: saya tidak tahu.

Thursday, April 05, 2007

tidak

Kamu yang hantu bola rasanya pasti kenal dengan Wayne Rooney. Remaja kelas pertengah yang sekarang ini menjadi kaya raya akibat handal berbolasepak. Malangnya mentaliti kelas pertengahannya masih tebal kerana itu kadang kala kita terbaca tentang perangainya yang suka bertindak tanpa berfikir. Di padang bolasepak juga kadangkala kita perhatikan yang dia ada masanya marah tidak tentu pasal.

Kata ustad-ustad, doa orang yang dizalimi akan segera ditunaikan.

Rasanya, kita ini jarang dizalimi dalam ertikata diperlakukan secara biadap langsung kepada diri kita. Dizalimi secara sipi-sipi seperti yang dilakukan oleh pemerintah yang kadang-kala korup kadang-kala warak mungkin bukan tiket untuk doa kita diperkenankan.Lagi pun, kita sememangnya rela dan memaafkan segala zalim yang mereka lakukan kerana kita amat kenyang dengan janji.

Kerana itu, mendoakan agar orang yang menzalimi terus kepada diri kita agar cacat atau gila atau apa-apa pun kejahatan adalah perkerjaan orang bodoh. Lebih-lebih lagi jika kamu orang terpelajar dan tinggal satu daerah dengan kelab bolasepak si Wayne Rooney dan kamulah manusia yang mempunyai mentaliti jauh lebih rendah dari beliau.

Jika tidak mahu mendoakan kebaikkan orang yang menzalimi sekalipun, apa salahnya mendoakan agar kamu menjadi lebih kaya misalnya. Atau doakan saja kebaikkan untuk mangsa-mangsa banjir di Johor sana atau mangsa tanah runtuh Putrajaya. Ada juga manafaatnya.

Patutlah kamu tidak pernah menang pilihanraya. Tuhan beri kamu peluang untung berdoa agar parti sokongan kamu menang pilihanraya akan datang, kamu menjadi pandir dan tidak dapat membezakan antara hidup partai dan sopan manusia. Tidak ada malu dengan Tuhan, minta malang kepada sesama insan.Kamulah manusia yang langsung tidak berfikir. Bodoh.

Si tukang zalim juga sama bebal. Apa untungnya kamu menjadi talibarut kejahatan? Untuk menjadi menteri perdana rasanya kamu belum cukup kuat makan suapnya. Hanya untuk nama dan pangkat yang tidak mungkin dikenang para malaikat? Bodoh.

Orang agama yang tidak mahu memperpanjang ajaran agama hanya kerana menyokong partai yang memerintah juga bodoh. Duduk di tengah-tengah. Bimbang kerugian jika mengadakan perjumpaan yang membesarkan Tuhan.Takut dikatakan penyokong partai tidak memerintah. Lupa dengan Tuhan.

Apa kamu semua tidak mati?


ps: sebelum lupa, jika kamu belum pernah ke blog saharil, pergilah. persembahan blognya amat segar dan menarik.kawan si mat jan rasanya si saharil ini dan pergi juga ke blog alaboleblah jika kamu suka tulisan ringkas dan santai.maaf kerana saya tidak pandai meletakkan kaitan terus blog mereka di sini. rasanya saharil ada di www.saharil.com dan alabolehblah boleh dikunjungi di www.kabokan.blogspot.com

uipts, biasa kena 'pau'?

Tuesday, April 03, 2007

menggigil

"Are you a rock star, Pak Cik ?" Tanya budak Melayu kecil yang datang ke rumah. Pelik juga, rambut tinggal tiga empat helai dikatakan rock. Atau mungkin juga Tuhan sengaja mengunakan dia untuk memberi peringatan kepada saya.




p/s: Bro Keng. Maaf saya tidak kenal siapa pun di perumahan haram itu. Ada dua tiga penarik beca yang saya kenal, antaranya, Isa yang amat handal bertakraw. Memandang becanya yang di letak sebelah gelangang adalah pemandangan yang amat lawa dan Pok Mat Beca yang becanya seperti karaoke bergerak. Malangnya Mat Yatim yang saya kenal bukan tukang beca.

Naga, kirim salam Pak Lang, kata: Selamat Hari Lahir. Hip! Hip! Horey!

Thursday, March 29, 2007

sejuk

Pondok talipon dan bas dua tingkat berwarna merah seakan senomin dengan England. Namun di Ireland, pondok talipon (lama) dan peti mengirim suratnya pula berwarna hijau. Maka Jika kamu ke Kuantan suatu masa dahulu, di sebelah kiri (jika kamu memandang terus ke bekas tapak pasar lama) kamu akan dapati ada dua buah pondok talipon berwarna hijau di bawah sepohon pokok pauh ringan. Di situ jugalah asalnya tapak pejabat Pos. Tempat dimana terdirinya menara jam masjid baru negeri. Kuantan dan Ireland terpisah tiada.

Cold Storage pula terletak betul-betul hadapan pejabat Pos lama tersebut yakni bangunan yang kini menjadi Pejabat Tabung Haji, bukan tempat dimana bangunan baru yang belom mendapat CF seperti yang dikatakan oleh tawkeh kad kawin itu.

Kedai ubat cina di sebelah Pejabat Tabung Haji tersebut pula adalah antara kedai yang masih kekal pemiliknya dari masa mula dibuka. Jika kamu di Kuantan, cuba berdiri di hadapan Pejabat Telekom dan perhatikan kedai tersebut, nescaya kamu setuju dengan saya yang kedai tersebut memiliki ciri-ciri senibina yang sama dengan mana-mana kedai lama di mana-mana negeri di Malaya. (haha. Perhatian: itu adalah lawak jenaka.)

Deretan bangunan kedai di sebelah kedai ubat cina tadi pula adalah milik Majlis Agama Islam Pahang. Dan tidak ada satu pun ruang niaga di situ yang disewakan kepada orang Islam.Di tingkat atas mungkin ada, tetapi tidak di tingkat bawah kecuali satu ruang yang dijadikan tempat mencuci darah. Mungkin inilah caranya Majlis Agama Islam Pahang berdakwah.Sama dengan cara kebanyakan majlis-majlis agama Islam lain mencegah khalwat yakni dengan meng-video-kan aib orang.

Malas pulak menulis. nanti saya sambung. Jika kamu di Kuantan dan memiliki kamera digital. Ambil gambar tempat-tempat yang di sebutkan dan letakan di blog kamu. Saya akan kaitkan blog kamu di sini selama mana tulisan mengenai Kuantan ini dipaparkan.

Gembira sungguh menulis mengenai Kuantan kerana sekurang-kurangnya jika kereta saya rosak di sana, piyapong mungkin boleh membaikinya dengan kasih sayang atau mungkin jika nanti anak saya (haha) mahu menikah, si angah akan memberikan harga istimewa buat kad jemputan berbau yang dipesan.

Sekarang ini saya cuma perlu menulis mengenai beberapa daerah di Malaya untuk memudahkan kehidupan jika sekiranya saya ke sana.

Sesuatu yang tidak ada kena mengena dengan Kuantan. Janganlah kita terlibat dengan makan suap dan janganlah kita menjadi pegawai pencegah maksiat yang membawa kamera video.

Sunday, March 25, 2007

malah

Taman Kerang ini sebenarnya bukanlah tapak asal penjual ubatan. Tapak sebenarnya lebih kurang 100 meter dari situ. Betul-betul di sebelah pengkalan bas Pokok Buluh yang juga bukan nama yang berdaftar. Hanya kerana ada rumpun buluh kuning di situ maka ianya digelar sebagai Pengkalan Bas Pokok Buluh.

Dulunya di situ terdapat beberapa batang pohon tembesu yang amat besar. Di bawah pohon tembesu inilah tempat berkumpul lelaki yang mahu menambah kekuatan. Jika musim tembesu berbunga, akan harumlah kawasan tersebut. Satu pemandangan yang amat mengasyikkan. Tidak perlulah kamu sibuk-sibuk dengan bunga sakura jika bunga tembesu tidak kamu kenali.

Harap maklum, ayat terakhir itu adalah metafora yang melambangkan kecintaan kepada bangsa sendiri. Maklumlah, saya sasterawan tersohor maka amat perlu bagi saya menyelitkan maksud-maksud yang tersirat dalam tulisan besar saya ini.

Saya tidak tahu mengapa pihak perbandaran tidak menebang pohon-pohon buluh itu. Malah ianya dijaga rapi. Kamu akan merasakan kasih sayang yang tulus antara pohon-pohon buluh tersebut dan pihak perbandaran kerana masjid lama berhampiran dimusnahkan tanpa belas kasihan.Namun otak jahat saya mengatakan ianya masih di situ hanya kerana belum ada sanak saudara pihak perbandaran yang memohon dibina apa-apa. Walaupun dibina sebuah masjid baru, roh masjid sebenar telah hilang kerana masjid baru ini dibina oleh mereka-mereka yang tidak berapa gemar berihat di masjid. Atau mungkin juga mereka beragama lain kerana mereka hanya menjadikan masjid sebagai tempat ibadat. Dibuka hanya waktu bersembahyang. Tidak mesra siapa pun. Baik musafir atau fakir.

Depan Pengkalan bas Pokok Buluh adalah tapak pasar lama. Lama dahulu, yang paling terkenal di sana adalah mi goreng Wak rani. Setiap pagi kamu akan lihat ramai manusia beratur di warung Wak Rani. Wak Rani hanya pengoreng mi, bukan pemilik warung tersebut. "Abdul Ghani." kata anak Wak Rani."Bukan Rani, ingat tu." Tambahnya lagi. Wak Rani melayu betul, bukan jawa tetapi entah dari mana datangnya wak itu saya tidak tahu. Jika kamu rajin, sedekahkan fatehah kepada rohnya yang banyak membawa kesenangan kepada suri rumah di zaman yang amat senang itu.

Katanya tapak pasar lama itu akan dibangunkan oleh pihak yang mentakbirkan bangunan Teruntum. Berdoalah mereka berjaya kali ini.

Kuantan dahulunya dikenali sebagai Bandar Palma kemudian ditukar kepada nama lain yang saya tidak tahu. Nama-nama berkait ini bergantung kepada anak saudara mana yang menjadi pembekal bunga atau apa saja dan flava masakini orang yang berkuasa. Jika anak saudara yang terpilih itu sukakan bunga ke'embong, maka Kuantan Bandar Ke'embonglah. Jika dia sukakan ikan selar kuning, maka Kuantan Bandar Selar Kuninglah jadinya.

bersambung.

Tuesday, March 20, 2007

demi

Jika kamu ke bandar Kuantan, dari Kuala Lumpur misalnya,dengan kereta sendiri misalnya, selepas sahaja jambatan Tanah Putih Ferry, sebelah kiri kamu ada sebuah surau lama yang dibaharukan. Dulunya surau ini amat uzur dan hanya menjadi tempat mandi-manda para pemandu lori.Jemaahnya juga agak kurang.

Surau ini asalnya diperbuat dari papan dan kayu. Hari ini ianya ditukar dengan bata dan simen. Imamnya, Pak Sheikh adalah orang tarikat yang gigih bertabligh.Setelah ditukar menjadi surau baru, ianya menjadi sedikit meriah dengan jemaah.

Di hadapannya pula, yakni bekas tapak kilang getah Lee Rubber, berdiri sebuah pasaraya gergasi yang teramat maju. Penuh dengan manusia setiap masa.

Memandu terus tanpa singgah, kamu akan sampai ke pusat bandar. Bangunan tinggi pertama yang akan kamu temui adalah bangunan Teruntum. Simbol kegagalan pentakbiran bangsa Melayu. Di belakangnya pula adalah sebuah pusat membeli-beli yang kedua terbesar di bandar kecil itu. Simbol menopoli kaum Cina.

Selepas sahaja bangunan Teruntum, kamu akan disambut oleh deretan bangunan lama. Inilah kawasan asal bandar Kuantan. Antara kedai lama yang masih kekal adalah Mohamed Store, kedai barangan sukan dan juga kedai buku Hamid Brothers. Orang Kuantan memanggilnya sebagai Hamid bross. Inilah kedai kesukaan bekas Menteri Besar yang sekarang ini menjadi Sultan . Semasa menjadi Menteri Besar dulu, setiap bulan Sultan ini akan pergi sendiri ke kedai Hamid bross untuk membeli perbagai jenis buku. Dia memang gemar membaca. Jika kamu teliti semua buku yang dibelinya, kamu akan dapati 99.9% adalah majalah filim yang diimpot dari benua Hind. Dia peminat bintang filim Hindustan. Selebihnya adalah segala macam jenis majalah hiburan keluaran tempatan.Mencari kawan untuk isterinya barangkali.

Filim kita wajah kita. Menteri kita kaki (bintang) filim.

Kedai kain yang paling terkenal di Kuantan adalah kedai K.A Mohd. Shariff. Jika ada kawan (perempuan) kamu yang berasal dari Kuantan, potong jarilah jika di almarinya tidak terdapat pakaian yang kainnya dibeli di kedai tersebut.Ianya terletak di sebelah belakang bangunan kedai Hamid bross.

Di hadapanya adalah suatu kawasan yang dikenali sebagai Medan pelancung. Kedai yang paling terkenal di situ adalah kedai batik Ramli Malik. Pembatik yang mencipta nama sebagai pelukis bertaraf antarabangsa yang mana kemudiannya mati lemas ketika memancing. Anak perempuannya dikatakan menjadi pelakon. Malang bagi kamu, saya tidak tahu apa namanya atau cerita itu benar atau tidak.

Sebuah lagi kedai yang terkenal adalah Kedai Jahit Kak Timah.Kamu boleh menempah kain yang kamu beli di kedai K.A Mohd Shariff di situ dan ianya akan disiapkan pada masa yang bukan kamu minta.

Kedai songkok Haji Gundal kini tidak lagi gah seperti dahulu. Mungkin kerana ahli Amnu lebih selesa membeli songkok di pasaraya Mydin, pasaraya yang paling pandai menterjemahkan peribahasa 'seperti ikan sardin dalam tin.' Atau mungkin juga Amnu kini kekurangan ahli. Haha. Maafkan keceluparan saya. Saya hanya bergurau. Mana mungkin Amnu kekurangan ahli. Mana dengan saban menjelang pilihanraya berbondong-bondong ahli partai politik lain merayu-rayu minta menjadi ahli Amnu hatta ahli partai komponennya juga ramai yang memohon.Lihat saja betapa ramainya ahli partai Kongres India Malaya yang kini menjadi ahli Amnu.

Borang permohonan menjadi ahli Amnu sahaja jika dijadikan pokok akan memenuhi hutan simpan Amazon.Kerana itu juga Pahang kini kekurangan balak. Semuanya ditebang untuk dijadikan kertas dan dicetak menjadi borang permohonan ahli Amnu.

Jika kamu berdiri membelakangkan kedai kain yang disebut di atas, toleh sebelah kiri dan mula berjalan. Kamu akan menempuh Restoran R&R yang terkenal dengan lempeng kelapanya. Jawapan pengusaha restoran Melayu kepada roti canai restoran mamak. Dan restoran ini sangat berjaya dengan lempeng kelapanya.

Berjalan ke hadapan lagi, selepas kedai haiwan peliharaan dan jika jam tangan kamu menunjukan pukul 3 petang atau lebih, kamu akan sampai ke kedai yang pernah saya ceritakan dahulu yakni Tjantik Bistro. Jika kamu sanggup berbelanja lebih sedikit, deria kamu akan dijamu di kedai ini. Walaupun kelihatan seperti sebuah rumah arak, ianya adalah halal 100%. Tuan punyanya juga Muslim 100%.

Kita balik ke Hamid bross. Di hadapanya ada sebuah pancutan air yang berbentuk sebiji kerang yang terbelah. Seperti tersenyum. Seperti penduduk Kuantan juga, gemar tersenyum seperti kerang (busuk).Nama tidak resminya adalah Taman Kerang, nama resminya saya tidak tahu. Cubalah bertanya kepada pihak Majlis Perbandaran Kuantan yang memiliki bandar tersebut dan dikongsi bersama anak beranak dan saudara mara mereka. Maksud saya, bandar itu dimiliki oleh pihak majlis perbandaran dan keluarga mereka.

Sebelah paginya, Taman Kerang menjadi hos kepada sekian banyak penjual ubat-ubat tradisional atau dalam perkataan yang lebih lembut dan tepat, tempat menjual dan membeli ubat-ubat yang akan menambah kekuatan seks semua manusia dan jika diamalkan, bisa membuatkan dunia menjadi terlalu aman.

Bola golf dan sudu tidak dijual di situ.

bersambung.

Friday, March 16, 2007

partai

"Aku kiring 30 poung. Suruh undi." Kata kawan saya. Dan dia berjaya membeli sedikit saham atas kejayaan budak yang menyertai pertandingan nyanyian di tivi Malaya. Tidak ada apa-apa keuntungan yang dia dapat dari kejayaan itu. Cuma sedikit rasa bangga barangkali.

Kelam kabut beberapa saluran tivi di sini meminta maaf kepada pengguna yang menghantar undian atau tekaan dengan SMS kerana terdapat banyak kesilapan teknik dalam penyempurnaan beberapa pertandingan.

Penonton dijanjikan pulang balik segala kos yang ditimpakan kepada mereka dan pihak tivi juga berjanji akan mendermakan sekian banyak wang hasil kutipan kepada beberapa persatuan kebajikan.

Kamu di Malaya lagu mana? Pernah tanya samada betul atau tidak setiap sen yang kamu hantar kepada sekian stesyen tivi itu benar-benar mengikut kehendak undang-undang?

Rasanya tidak kerana kamu tidak pernah peduli tentang hak. Kamu hanya mahu orang kampung kamu menang pertandingan nyanyi jadi kamu tidak peduli samada ditipu atau tidak.

Alah, apalah sangat rm1.50 kepada kamu. Bayaran untuk berak pun dikira minit ke minit di tandas ultra maju negara kamu. Habis duit kamu cari lagi. Harga itu ini naik, kamu tulis merintih di blog.Kemudian duduk melanguk depan tivi berbahas siapa yang layak menerima undi.

"Kita undi budak yang pakai tudung tu la, dia islamik." kata kamu.
"kepala hotak kamu." Kata saya.

Berhenti menyokong pertandingan nyanyian di tivi? Gila apa!

Saya boleh faham jika budak-budak yang belom menikah menghantar undian apa juga pertandingan nyanyian tivi. Mereka semua masih bodoh dan belom boleh berfikir. Yang paling bangang adalah mereka-mereka yang sudah beranak-pinak juga terlibat sama.Lebih bangang lagi adalah rakan sebaya atau lebih tua dari saya yang juga turut serta.

Wednesday, March 14, 2007

engkau

Satu zohor,lama dahulu.

"Kita ni semua musafir, jadi bolehlah kita jamakkan sembahyang kita ni." Kata pakcik yang agaknya ketua rombongan yang datang singgah sembahyang di masjid kami melalui pembesar suara sejurus selepas azan dikumandangkan. Satu kampung terdengar pengumuman itu.Jika bukan ketua pun mungkin jenis pakcik-pakcik yang suka ke depan.

Abu Yussof tukang azan pandang saya. Saya pandang Haji Kama. Haji Kama angkat kening pada Haji Isa. Haji Isa kelihatannya seperti ketawa kuat, namun hanya angin yang keluar dari kerongkong lalu lepas tidak singgah pada garhamnya.Dia tidak bergigi.

Masjid kami di tepi jalan besar. Maka selalu sangat kami menerima musafir.

"Kita buat jamak-qasar." Sambung pakcik tadi dan mengajar para rombongannya akan niat. Setelah makmum semuanya kelihatan faham, dia meminta seorang yang agak tua melaungkan iqamah dan mereka bersembahyang di ruang utama.

Kami berempat ternganga. Ini Masjid kami tapi kami di pinggirkan. Bukanlah bermakna kami ini sangat pelindung kepada masjid ini, cuma kami tergamam apabila masjid kami dirampas kuasa oleh jemaah yang agaknya kurang tahu adab bertamu.

Kami sembahyang setelah mereka selesai.

Haji Isa sekarang ini katanya amat uzur dan tidak lagi dapat berkancil ke masjid. Namun saya yakin, amalannya ke masjid setiap waktu sembahyang terus dikira. Dulu, di waktu-waktu kurang puncak sembahyang, yakni, subuh,zohor dan asar, hanya ada kami serta Haji Man Askar dan Pak Teh. Pak Teh meninggal dunia sebelum Haji Man Askar.

Haji Isa sepatutnya mendapat baju melayu percuma dari syarikat pembuat rokok gudang-garam bagi menganti semua baju melayu yang berlobang-lobang akibat dari setianya dia kepada jenama tersebut.Dia juga imam sangkut kami.

"Patutnya kawan le yang dapat duit elaun." Kata dia setiap kali imam dan bilal masjid kami mendapat saguhati menjelang syawal. Entah bergurau entah bersungguh.

Azan subuh biasanya bergantung kepada pukul berapa Abu bangkit tidur dan ke masjid. Selagi belum terbit matahari, Abu akan azan. Tidak kira jam berapa.Kecualilah jika sudah masuk waktu kecemasan pun Abu tidak nampak bayangnya, maka Haji Kama akan mengambil alih tugas beliau. Maka subuh kami biasanya mesra jemaah.

Haji Kama adalah orang yang mengajar saya memakan ikan patin. Sebelum kenal dengan beliau, saya tidak makan sebarang jenis ikan sungai.

Di luar masjid kami terlihat bas para rombongan tadi. Ada bendera cap keris dilekatkan pada cermin belakang bas.

"Amnu la tu." Kata Haji Kama yang PAS dengan loghat klepehnya. Saya dan Abu hanya tersengih. Haji Isa yang Amnu angguk, setuju gamaknya.

Saturday, March 10, 2007

rela

Menonton filim King of Scotland membuatkan saya faham mengapa Idi Amin jadi apa yang dia jadi. Dibesarkan dalam kemiskinan dan menjadi budak suruhan yakni tukang sapu itu ini kepada Inggeris dan kemudiannya, lama kemudian, dibonekakan juga oleh Inggeris sebagai pemerintah Uganda.

Semasa berkuasa, beliau amat percaya yang beliau sedang melakukan sesuatu yang terbaik mengikut timbangan sendiri bagi rakyat Uganda. Jika beliau merasakan perlu membunuh, maka beliau akan bunuh.Lebih 300,000 rakyat Uganda maut ketika zaman pemerintahan beliau.Jika perlu dihalau, maka beliau akan menghalau, seperti mana beliau merasakan perlunya menghalau semua bangsa 'asia' yang ada di Uganda pada masa itu. Dengan 'asia' beliau maksudkan semua bangsa dari benua Hind.Kebanyakkan mereka ini akhirnya sampai ke tanah Inggeris ini.Membawa bersama kuasa ekonomi yang mana melumpuhkan terus ekonomi Uganda.

Di sini bangsa Hind juga kadangkala dipanggil 'asian'.Jadi secara teknikalnya, saya ini dipanggil bangsa Inggeris.Lagipun memang selayaknya saya digelar begitu mana dengan janggut yang sedikit perang,mata yang sedikit biru dan rambut yang sedikit err..sedikit.

Kita semestinya bersimpati dengan Idi Amin kerana sungguh-sungguh beliau merasakan apa juga kezaliman yang dilakukannya adalah suatu kejahatan yang perlu demi kebaikkan rakyatnya. Dan beliau yakin tuhan akan mengampunkan dosa-dosanya.

Seperti juga kebanyakan ketua ajaran salah. Kepada kita yang tidak dibuka pintu hati ini, kita nampak seolah-olah mereka adalah terpesong dan perlu diselamatkan.Sedangkan kepada semua ketua dan pengamal ajaran salah, kitalah sebenarnya yang dalam kerugian.

Walaupun kita nampak yang segala apa yang dilakukan adalah salah,dan terang-terang akan merosakkan sistem kehidupan dan kita menjadi hampa kerana walau seribu kesilapan mereka kita lamputinggikan, kita harus faham yang ini semua adalah kejahatan yang perlu.

Sepertimana kita boleh menerima kesilapan Idi Amin, begitu jugalah kita harus menerima kesungguhan gerak-geri rejim yang memerintah Malaya. Demi kesempurnaan hidup mereka eh! silap, kita.

Tuesday, March 06, 2007

mati

Semakin pandai seseorang, akan semakin bodohlah terasa akan dirinya.

Kata-kata ini membawa maksud seperti yang di nyatakan. Atau jika kamu adalah saya, kamu akan dapati kata-kata itu amat tepat di tujukkna kepada budak-budak (bujang) yang di hantar belajar kesini.

Mereka adalah kumpulan manusia cerdik yang teramat bodoh. Mereka tidak menggunakkan kepandaian mereka dalam pelajaran untuk menguruskan kehidupan harian. Perhubungan lelaki perempuan mereka amat bebas. Yang sedikit alim akan membataskan pergaulan mereka setakat berkunjung kerumah lawan jantina mereka secara amat bebas. Jika mereka berkelana, tidak menjadi satu kehairanan jika mereka menumpang tidur dirumah juga golongan yang bukan sama jantina. Tidak ada kesalahan bagi mereka untuk duduk-duduk bertepuktampar dengan terlalu mesra.

Yang tidak alim pula amat rajin berkongsi bilik tidur.

Yang benar-benar alim sibuk mencari kesilapan partai politik yang tidak sama tuju dengan mereka.

Semalam telah berlalu, esok belum tentu ujudnya. Kita hanya ada hari ini.

Kata-kata ini kelihatan membawa maksud yang jauh. Dan ianya amat sesuai di tujukan kepada siapa sahaja yang mempunyai apa juga kuasa dalam apa juga bidang. Ianya membawa maksud, bantai semua yang ada. Jangan pedulikan masa depan generasi mendatang.

Sekian pelajaran mengenai maksud di sebalik kata-kata. Jika cikgu tidak sibuk mengajar kelas tution persendirian atau menjaja skim segala cepat atau jika cikgu terlupa menjaja keropok dan batik Terengganu, cikgu akan mengajar lagi.

Saturday, March 03, 2007

maka

Bunyi talipon.

Spencer : Hello.
Mick : Hello.
Spencer : Hey Mick.
Mick : err.. hey Spence.
Spencer : Apa cerita?
Mick : err.. tak ada apa-apa.
Spencer : .......
Mick : err.. Jean (isteri Spencer) ada?
Spencer : Ada.
Mick : Panggil dia sekejap.

Spencer berjalan ke dapur dan menghulurkan talipon kepada Jean yang sedang memasak.

Sepatutnya saya tidak menulis mengenai perkara ini namun ada sedikit harapan supaya cerita ini menjadi pengajaran kepada kita semua. Saya sendiri terutamanya.

Ada satu berita mengenai seorang lelaki yang memukul hingga mati isteri dan dua anak lelaki mereka kerana cemburu. Menurut akhbar, sang suami syak yang isterinya selalu menerima panggilan talipon dari lelaki. Setelah berkali di nasihati dan masih berdegil, sang suami akhirnya mengambil tindakkan bodoh tersebut. Sewaktu di tangkap dia mengatakan tidak menyesal membunuh isterinya tetapi apa sedih dengan kematian dua anak.

Di Malaya sana juga khabarnya ada berita suami menyimbah asid ke muka dan badan isteri dan kemudiannya meminum asid tersebut dan mati. Juga kerana syak terhadap isterinya.

Lelaki tidak boleh berkawan dengan wanita. Muktamad.Berkawan di sini membawa maksud menjadi sahabat.Dan jangan tipu diri sendiri dengan mengatakan kita ini manusia unik yang boleh menahan nafsu cakap dan dengar apabila bersahabat dengan wanita.

Untuk memahami kisah si Spencer, kamu hendaklah tahu yang dia pernah terdengar perbualan Jean dengan kawannya di mana si Jean mengatakan ke-berkenan-an beliau terhadap Mick. Spencer tahu yang ini hanyalah percakapan dua wanita yang membuang masa, namun di hati kecilnya merasa err terluka.

Apabila mendapat panggilan talipon dari Mick yang juga merupakan kawan rapatnya dan Mick meminta bercakap dengan Jean, letih berkerja yang mahukan rehat menjadi beban kepada dia. Rencana untuk bermesra dengan Jean tertunda dan dia menjadi pemarah.

Mungkin apa yang di rasai oleh Spencer hanyalah rekaan angan-angannya. Namun dia rasa perlu menceritakkanya kepada saya untuk meluahkan perasaan. Lalu saya pula lepaskan perasaan saya di blog ini.

Jika kita ada hal penting perlu di sampaikan kepada isteri kawan, sampaikan melalui kawan kita itu. Jangan bercakap terus dengan isterinya.Dan isteri pula, elakkanlah bercakap dengan lelaki kerana walau bagaimana tidak peduli sekali pun si suami, dia adalah manusia yang berperasaan. Jangan pula jadikan suami kamu operator talipon jika kamu mahu menghubungi kawan perempuan kamu. Dail sendiri.

Thursday, March 01, 2007

jadilah

Hari ini kita gurau-gurau. Kita gembira-gembira.

By the way, anda telah di "tag". Lawati blog saya. Kata x-matters kepada saya lalu saya jawab di blognya yang saya sudah terlalu tua untuk bermain permainan sebegitu. Tambah pula saya malu kerana terasa sangat remaja apabila bersenda-gurau semacam itu. Sama malunya saya apabila Mat Jan menegur, melawakkan sebenarnya, nama diYM saya yang mengabungkan abc dan 123.Remaja sungguh katanya. Remaja Purba kata naga.

Lagipun, untuk menulis sendiri akan kepelikkan diri rasanya tidak dapat menandingi kepelikkan diri yang di tulis oleh orang lain. Misalnya, pelik sungguh si naga itu, dia tidak kacak tetapi blognya sangat popular. Atau pun, sudahlah tidak kacak, suara nyanyian pun bukannya sedap sangat,yang peliknya blog airmas kurang popular. Atau susunlah ayat sendiri supaya kamu faham apa yang ingin saya katakan mengenai si airmas. Pergi ke blognya dan lihat sendiri.

Atau mengapa tidak di reka permainan di mana pemblog itu menulis tentang peliknya pemblog ini.Barulah yang di tulis itu tahu yang dia sebenarnya pelik. Jika diri sendiri yang mengatakan diri sendiri pelik, tidak pelik namanya. (haha)

Tak kan selamanya mahu menyambung permainan berantai ciptaan orang lain, sekurang-kurangnya buat sedikit pembahruan. Barulah orang tidak sedar yang tulisan itu kita cur.. eh, silap.Barulah ada pembahruan.

Terlanjur sudah menjawab pertanyaan x-matters, saya akan cuba menjawab pula beberapa pertanyaan yang kamu tulis di ruang komen. Sebenarnya, jika ada masa, saya akan menjawab pertanyaan dan komen di blog sibertanya, malangnya saya sedikit sibuk untuk menjawab satu persatu pertanyaan atau komen kamu semua. Jadi hari ini saya akan cuba menjawab seberapa banyak yang boleh.

rusdi-kalau pondan melayu pakai tudung, pondan Islam pulak pakai apa? Sinonim kah melayu dgn Islam?
-jangan gunakan perkataan pondan dan islam dalam satu nafas kerana bimbang jadi macam bank islam.Tidak sinomin.

jannah-ada cadangan, en jones mengemukan tema atau topic penulisan yg sesuai dengan perkembangan semasa. cara ini lebih sistematik. dan pondan itu manusia juga. ada perasaan. en jones tiada sahabat pondan mat saleh?
-saya tidak mahu membataskan penulisan sesiapa. biar bebas. setakat hari ini, tiada.

muhammad fakrul razi-ok, kawan saya kata dia dah dapat cd sentimen yang saya pesan suruh belikan.
-bukan saya yang menyanyi dan menjual cd berkenaan. cd berkenaan adalah hasil nyanyian si airmas. hanya ada 2 sajak saya yang di lagukan oleh beliau dalam cd berkenaan. lagu kim tidak terdapat dalam cd berkenaan.

kalam biru-entri ini hakikatnya untuk apa?
sidiran? nasihat? boleh jelaskan.
-hanya sebagai hiburan.

najwa aiman-Sarkunan ni Jawa ke?
-sarkunan keturunan serani dan tulislah lagi di esastera.

pa'cik-di mana sarkunan sekarang ni? jadi paderi ke, jadi penyanyi?
-saya tidak tahu.

blackpurple-'binawe' itu bahasa apa AJ..?
-binawe rasanya istilah yang di reka oleg arwah R. Jaafar semasa beliau dan AR Badul menyertai pertandingan Bakat TV. rasanya ianya tidak membawa apa-apa makna kecuali cara melepaskan ketidakpuashati-an.

wan-p.s. umm...AJ, ada dapat coklat atau bunga ros?...:)
-hendak juga tapi tak ada yang beri.

amirahsyuhada-tak sumer budak universiti sibuk berzina, ada gak yang baik tapi mungkin segelintir atau yg terpilih. Atau yg jahat tulah yg segelintir
-seperti yang saya bagitau amir mukriz, kamu gembira kerana tak semua.Tuhan mahu semuanya tak.

airmas-saya tak ada perabut chesternut tu jadi .. saya ni layak tinggal diluarnegara?
-tidak.

goboklama-Anita Sarawak's hubby is a fan of dis brand. Mahal ke?
-ada mahal, ada murah.

hani sumayyah-tuan buka saja majalah Anjung Seri dan Impiana, rata2 orang malaya dah pun pakai sofa Chesterfield...cantik jugak sofa itu,kan?
-anjung seri dan impiana tempat pamer rumah kawan-kawan dan saudara mara. tidak.

Aiseyman, banyak benar pertanyaan. Kansel sajalah. Lain kali saya jawab lagi dan akhir sekali, jika kamu berhutang, mulalah membayarnya. Setelah habis janganlah berhutang lagi kerana pesan Mok saya, jangan sesekali berhutang. Ada duit beli, tak ada duit tengok saja. Mok saya mudah.

Hutang adalah pembawa banyak masaalah. Makan rasuah misalnya.Bebaskan diri kita dari hutang. Sekian pesan anak Mok saya.

Saturday, February 24, 2007

orang

'O MY GODDDDDD!' Jerit Sarkunan demi mata pena BIC milik Azahan tertusuk ke papan punggungnya ketika dia mahu duduk di kerusi.Mata pena ke punggung, hujung pena di lantai kerusi. Aduh!

Sarkunan bercita-cita untuk menjadi paderi apabila dewasa. Semasa di sekolah, dia giat mengaturkan upacara sembahyang setiap kali waktu rehat. Tidaklah di ketahui di mana dia mendapat latihan untuk upacara itu. Tetapi kami mengesyaki dia menerima pelajaran untuk mengkristiankan beberapa orang dari rakan kami dari gereja yang bersebelahan dengan sekolah kami. Untuk makluman, Sarkunan tidak pernah cuba untuk mengubah agama kami, yakni murid melayu Islam.

Setiap waktu rehat, Sarkunan akan membawa beberapa ramai rakan kami ke tepi padang bola dan di bawah pohon pepahit dia akan mula menyanyi. Kadang-kadang kumpulan ini akan bernyanyi hingga seakan-akan hilang ingatan.

Kami akan memerhati mereka dari jauh.

Darah muda,walau pun tidak pernah mendatangi kami, kami merasa perbuatan Sarkunan itu adalah satu pencerobohan dan kami merasa tercabar. Bermacam cara di utarakan untuk menghentikan kegiatan Sarkunan dan kumpulannya. Antaranya adalah memukul Sarkunan.Dan seperti biasa ianya hanya tinggal cadangan. Apabila tamat waktu persekolahan, kami lupa.

Namun tidak Azahan. Dia berazam bersungguh untuk bertindak dan itulah yang di lakukannya.

Sarkunan menangis kesakitan. Untungnya waktu itu, atau memang sudah di rancang, tidak ada guru di dalam kelas. Namun kami bimbang kalau-kalau Sarkunan akan mengadukan kejadian itu pada guru kelas atau lebih malang terus kepada guru besar.

Rasanya Sarkunan mendapat didikkan yang amat baik dari guru agamanya kerana dia hanya mendiamkan kejadian tersebut. Syabas guru agama Sarkunan.

Esoknya, Sarkunan masih seperti biasa, bernyanyi-nyanyian di bawah pohon pepahit.

Ironinya, kami, kumpulan yang bertekad untuk menjadi hero agama, semuanya tidak bersembahyang lima waktu.

Alah, apa yang mahu di hairankan, seperti kita yang melolong siang malam konon pembela agama walhal yang paling kuat makan riba, kitalah. Yang keluar rumah seakan-akan menutup aurat, bini kitalah. Yang kuat curi tulang, pegawai kerajaan kitalah. Yang jual rakaman tangkap khalwat, pegawai majlis agama kitalah.Merakamkan orang berkhalwat? Haram jadah punya pegawai majlis agama!

Dan kamulah yang gembira bila tidak semua anak remaja kita yang berzina.


ps: perkataan ironi di gunakan kerana terpengaruh dengan tulisan amir mukriz di blognya yang penuh dengan kata sambung ayat-ayat inggeris, so far misalnya. amir menggunakan perkataan inggeris dalam blognya mungkin kerana tidak ada perkataan melayu yang sesuai atau mungkin juga dia merasa perlu meng-urban-kan diri. maklomlah, dia kini adalah sahabat setia kumpulan lelaki urban.

makluman: saya tidak peduli kamu menulis dengan apa bahasa, jika faham saya baca. tidak faham saya tinggalkan. cuma jika boleh jangan di sambung satu bahasa dengan bahasa yang lain kerana otak tua saya amat lambat untuk bertukar bahasa dalam masa yang singkat.

dan binawe.

binawe kerana TIDAK ADA seorang pun yang mahu meletakkan tulisan mereka di blog ini.

Wednesday, February 21, 2007

yang

Budak Gemok : Kalau pondan melayu insaf dia buat apa?
Jones : hmmmm...
Jones : aaaaa...
Jones : Entah.
Budak Gemok : Dia pakai tudung lah.
Jones : .........
Jones : ooo! hahahaha.



PENGUMUMAN:

Saya bercadang menjemput penulis-penulis berkongsi blog ini. Jika ada di antara kamu yang berminat untuk meletakkan tulisan di sini, sila emailkan tulisan tersebut kepada saya.Tidak kiralah samada kamu penulis yang mempunyai blog atau tidak.Terkenal atau sebaliknya.

Tidak ada apa-apa syarat. Tulislah apa sahaja, jika saya suka, akan saya letakkan di sini untuk di baca semua.

Juga tidak ada hadiah yang akan di berikan selain berbangga-bangga yang tulisan kamu muncul di blog abdullahjones.

Judul dan tagline jika rasa perlu bolehlah disertakan. Jika saya rasa tidak sesuai, tidak akan saya gunakan.

Saturday, February 17, 2007

dahulu

'Edwin, makan buku ni.' Kata Harun, rakan sekelas saya yang mirip Chuck Berry cuma lebih rendah.

Jika cikgu lambat masuk ke kelas, kami biasanya membiarkan Edwin menjadi penghibur waktu senggang. Dan sungguh, Edwin Moorthy akan melakukan apa sahaja yang kami arah. Saya tidak pandang Edwin sebagai pemuda bodoh tetapi sebagai pemuda yang beria-ia untuk memuaskan hati siapa sahaja dan pada Edwin, saya rasa, ini adalah pilihan yang lebih baik dari terus-terusan menjadi alat latihan tinju si Harun. Juga dia gemar menjadi tumpuan kami sekelas.

Guru kelas juga kadang-kala membuli Edwin.

Sehingga habis sekolah kami menganggap Edwin hanyalah di lahirkan untuk menjadi hiburan kepada waktu kami di sekolah. Tidak ada pelajaran yang kami ambil dari sifat bodoh-bodoh alang beliau. Tidak ada juga belas keatas kemalangannya itu. Kami jadi manusia yang keras hati.

Kita sebenarnya adalah Edwin. Cuba bersungguh-sungguh untuk memuaskan hati siapa sahaja dan tidak kepada yang sepatutnya. Tuhan misalnya. Seperti saya yang saban minggu menulis blog ini untuk memuaskan deria baca kamu. Menjadi hiburan waktu senggang kamu. Dan kamu juga terus kekal begitu. Jika sebelum membaca blog ini kamu tidak menutup aurat, kini kamu masih juga begitu. Yang memberi atau menerima rasuah juga masih kekal. Yang berpolitik terusan menindas. Tidak ada langsung belas kasihan terhadap diri sendiri jika tidak kepada saya. Saya dan kamu kekal menjadi manusia yang keras hati.

Tapi, seperti kata kawan saya yang tabligh, 'hidayah bukan kerja kita, kita usaha, Tuhan tentukan.' Mungkin saya patut ikut bertabligh dan belajar dari mereka.

Untuk drrozza, Edwin pernah bertugas di hospital sama dengan ikelah. Alangkah moleknya jika disini saya katakan yang Edwin kini adalah seorang doktor, tetapi tidak. Saya bertemu dengannya di hospital berkenaan lama dahulu. Dia memakai uniform pembantu hospital. Saya tidak tahu tugas sebenarnya kerana waktu saya menegurnya, dia tidak mengenali saya. Mungkin kerana saya bertambah kacak selepas meninggalkan sekolah.

Saya kata mungkin Mat Jan, mungkin.

Wednesday, February 14, 2007

beri

Menjadi amalan biasa bagi sesiapa yang melintas (?) pintu akan memegang daun pintu untuk memandang kebelakang kalau-kalau ada sesiapa di belakang yang mahu masuk dari pintu yang sama di sini. Dan memberi laluan.

Saya memandang amalan ini sebagai satu perbuatan yang lahir dari jiwa yang bersedia memberi bekal kepada generasi akan datang.

Kerana itulah masyarakat yang maju senantiasa memikirkan kepentingan orang yang di belakang. Mereka rompak datuk nenek kita untuk bekal cucu-cicit mereka.

Berlainan kita, setiap kali masuk dari mana-mana pintu, kita segera menutupnya. Bimbang ada orang yang akan mengikut dan menggunakan tenaga kita membuka pintu. Kita bunuh anak yang belum lahir. Gugurkan, jolok dengan duri. Biar mampus.

Jadilah kita kumpulan manusia yang memusnahkan apa saja yang di tinggalkan oleh sesiapa yang terdahulu.

Tidak ada langsung, baik sistem pelajaran atau pun sistem baik pulih masyarakat yang di terokai oleh genarasi awal pemerintahan yang di sambung oleh mereka-mereka yang berkuasa hari ini dan percayalah, jika di takdirkan menteri perdana yang ada sekarang mati akibat tercekik tulang atau barah buah dada atau pun memang ajalnya kerana ada sesetengah dari kita, mungkin kamu tidak percaya, yang meninggal dunia kerana sudah ajal, maka masjid kristal yang bakal di bina itu akan tergendala.

Ya Tuhan, panjangkanlah usia menteri perdana kami kerana sesungguhnya kami amat memerlukan masjid kristal itu.

Kemajuan yang kita dakwa sedang menyerang kita di Malaya adalah kemajuan yang di paksa. Maka jadilah sebahagian kita masyarakat yang terperanjat. Seperti makcik latah di kampung kita yang lancar mengeluarkan kata-kata carut sambil menari sambil mengangkat kain tinggi-tinggi. Jarang, bahkan mungkin tiada langsung makcik latah yang kita kenali yang segera membaca ayat-ayat al-quran atau petikan hadis apabila latah.

Wah, tinggi benar metafora saya.

Begitu juga dengan tradisi baru yang di lamakan. Kongsi raya itu ini. Rumah lama yang baru. Tangan yang di letakkan ke dada sebagai tanda hormat. Dan seribu macam tipu helah yang kita reka supaya kita di kenali sebagai manusia yang berbudaya.

Walhal jika kita kekalkan segala yang lama, suatu hari nanti ianya akan menjadi sesuatu yang amat berharga. Sepertimana kita hari ini sibuk mencari almari lama milik keluarga kerana ianya bukan sahaja cantik bahkan amat ikhlas pembuatannya. Semuanya dari kayu. Bukannya campuran habuk dan hampas yang di keraskan dan di beri nama baru, papanlapis misalnya. Bahkan ada perabot kayu yang langsung bukannya kayu tetapi sintetik.

Pura-pura dan plastik seperti kebanyakkan ahli politik dan ahli akademik yang sering memikirkan kenaikkan pangkat. Siap PhD segera mahukan kanan atau professor madya misalnya tanpa mahu memikirkan sumbangan kepada budak-budak universiti yang asyik berzina itu. Yang budak-budak pula sibuk melayan kembang-kuncupnya kemaluan.

Mulai hari ini, jika membuka pintu, lihatlah ke belakang, takut-takut ada orang yang mahu masuk. Belakang di sini harus di baca sebagai hadapan.

Friday, February 09, 2007

salam

Dave : You know that ramadan thing you told me about the other day?
jones : Ya.
Dave : Well, i've tried it.
jones : Dan?
Dave : It tasted like lychee.
jones : Hah?

Sebenarnya, si Dave ada memberitahu saya yang dia amat gemarkan laici lalu saya menceritakan kepada dia yang di Malaya tidak di tanam laici, itu di Siam. Tetapi kata saya, di Malaya ada buah yang seakan laici dan kami memanggilnya sebagai RAMBUTAN.

Sengaja menceritakan tentang kawan Inggeris saya kerana bimbang kamu lupa yang saya ini tinggal di luar negara. Maklumlah, mahu mencerikatan tentang almari corak Itali atau kerusi yang kamu panggil Chesterfield, saya tidak ada.

Tuesday, February 06, 2007

dari

Ning di gam oleh menteri dari keluar suara di radio atau tivi kerana berangan-angan untuk berzina dengan 5 lelaki sekaligus dalam satu masa. Kepada sesetengah menteri, kejahatan Ning pada masa itu sama dengan kejahatan kumpulan al-maunnah yang mahu mengulingkan kerajaan. Atau mungkin juga menteri berkenaan memang tidak ada tugas yang lebih penting. Alah, seperti sebahagian anak-anak raja di Malaya yang motto ke hidupan mereka adalah, artis adalah udara.

Lalu menangis dan teramat insaflah Ning mohon ampun keatas kesalahan yang belum lagi di lakukannya. Menteri berkeras tidak memperdulikan dan Ning kekal tidak popular dan juga kurang seksi untuk beberapa tahun sebelum kembali kedepan beberapa tahun selepas itu.

3 lelaki di penjara 27 tahun jika di kira semua hukuman keatas mereka di jumlahkan kerana berangan-angan untuk memperkosa seorang gadis berusia 13 tahun. Semua lelaki ini tidak mengenali satu sama lain. Mereka adalah seperti kita, kawan dalam talian. Mereka bertemu di suatu laman yang memperkatakan angan-angan lucah, laman fantasi seks yang bukan-bukan. Mereka berbual dalam talian bagaimana mahu melakukan perbuatan jahat. Transkrip perbualan mereka menunjukkan mereka berbual dalam suasana yang santai.

Berbeza dengan Ning, gadis yang bakal menjadi mangsa ujud dan pihak polis menuduh mereka merancang untuk melakukan jenayah dan mahkamah setuju lalu mereka di tangkap, di tuduh dan di sabitkan kesalahan. Mereka, lelaki-lelaki tersebut hanya bertemu setelah mereka di tangkap.

Dulu, undang-undang ciptaan manusia adalah kegemaran saya. Saya amat berminat mengikuti apa juga perkara berkenaan berkenaan undang-undang. Jenayah atau apa juga. Salah satu sebab mengapa saya suka akan perkara ini adalah kerana adanya apa yang di katakan loopholes yang boleh di manupulasikan oleh mana-mana pihak yang berlawan di mahkamah.

kebijakkan dalam mencari loopholes inilah yang sangat mempersonakan saya.

Namun apabila kamu semakin dewasa, kamu akan dapati kebanyakkan loopholes itu sendiri sebenarnya sengaja di ada-adakan oleh sesetengah pihak. Pihak yang menyediakan kes misalnya.

Maka hari ini amatlah mudah untuk bebas dalam apa juga tuduhan jika sekiranya kamu mempunyai rangkaian kawan yang besar.

Paling tidak pun jika di saman kerana memandu laju, kamu segera mencari kawan yang boleh membantu mengurangkan bayaran denda. Kamu menutup kesalahan dengan kesalahan tanpa mengambil apa-apa pengajaran atas kesilapan. Cuma jika isteri atau anak kamu di langgar orang baru sedar dan insaf menangis seperti Ning.

Saya rasa, berangan-angan untuk berbuat jahat walaupun sesuatu yang amat jijik tidaklah mengakibatkan dosa maka Ning sebenarnya tidak sepatutnya di hukum oleh menteri dan orang keliling.

Kesalahan 3 lelaki tersebut masih boleh di perbahaskan. Mat Jan sila komen.

Lainlah jika kamu membunuh orang yang mayatnya kamu letupkan ataupun tidak. Nescaya kamu akan di tangkap dan di hukum kerana kita tahu pasukan polis kita amat cekap. Tak percaya ? Pergi tanya Dollah yang lagi satu.

ps: tiba-tiba datang bimbang berbual dalam talian sama azalan, amir dan airmas, mereka semuanya mempunyai fantasi bukan-bukan yang teramat tinggi.

Friday, February 02, 2007

jauh

Mungkin kerana sudah biasa mengikut telunjuk maka kamu merasa perlu untuk berpolitik. Banyak kali kamu mengesa agar saya berpolitik. Bertanding sebagai wakil rakyat misalnya.

Mungkin kamu bergurau, tetapi saya mengambil ini sebagai tanda yang kamu adalah manusia yang mahu merubah suasana sekeliling, kamu mahu satu kehidupan yang lebih aman dan tidak selamanya tercekik sambil berlari ke hulu ke hilir mencari seringgit dua untuk menanggung keluarga.

Malangnya kamu tidak mahu melakukannya sendiri, maka kamu mahu melantik seorang yang pada kamu pasti dapat melakukannya bagi pihak kamu.Boleh jadi kamu lupa, tetapi itulah yang kamu lakukan saban tahun musim memilih datang.

Cuma di sebabkan kebodohan, kamu akhirnya menjadi kuli kepada wakil yang kamu sendiri sepakat memilih. Tanda awalnya adalah siapa sahaja yang menang pilihanraya pasti di julang di malam pengumuman.Bermula dari malam itu, kamu sentiasa akan terpaksa membuat temujanji untuk bertemu. Dan banyak kali jugalah kamu akan di kecewakan oleh kesibukkan wakil yang kamu pilih. Dan apabila jemputan untuk merasmikan upacara potong kulit hujung beramai-ramai anak lelaki kampung kamu di terimanya, kamu berhabisan membuat persiapan. Terbuka sahaja pintu kereta mahal milik wakil , kamu tunduk hormat seakan menyembah. Dia yang kamu pilih untuk membela nasib kamu, kamu takut. Seperti si kafir yang mengadun tepung dan di bentuk menjadi patung lalu apabila siap di sembah sebagai tuhan.

Berapa banyak wakil yang kamu pilih menentang apabila di bangunkan binaan yang membazir atau pesta suka-suka yang tidak ada langsung manafaatnya. Kamu malahan gembira di tapak apa juga hiburan yang di sogokkan. Datang bersama isteri, anak, ibu dan bapa, mak dan ayah mertua, gembira. Keluarga bahagia kata kerajaan kamu dan kamu bertepuk tangan setuju.

Yang kononnya pembangkang pula asyik itu-itulah. Undi hantu, undi hantu. Naik muak mendengarnya.

Mengapa kamu tidak mahu menjadi manusia bebas memilih? Yang tahu dan mahu tahu hak. Mungkin kamu sebenarnya gemar menjadi kentut yang datang sebelum tahi.

Tuesday, January 30, 2007

terlalu

Jurnalis dan penulis blog haruslah bertanggungjawab di atas apa yang mereka tulis- Abdullah yang lagi satu,LSE-


Dulu, semua kita ini tidak mempunyai jalan untuk meluahkan apa saja yang tebuku di hati. Baik apa yang peribadi mahupun yang umum. Terkecuali perempuan-perempuan dan sedikit lelaki yang sentimental yang rajin menulis dairi .

Ketika itu kita semua menjadi manusia yang, murung jika mengalami masalah peribadi dan menjadi manusia yang riuh dan tidak berapa di gemari di majlis-majlis atau di tempat mana terdapat ramai manusia ketika gembira atau ada yang kurang di senangi.

Dairi yang di tulis itu pula biasanya di simpan rapi dan tidak (dibenarkan) di baca orang. Lalu perempuan-perempuan dan lelaki sentimental itu pula akan menangis setiap kali membaca kembali kemurungan dan tersenyum sendiri membaca semula kisah gembira.

Namun hingga ke situ sahajalah jadinya tanpa dapat di kongsi dengan sesiapa.

Kemudian dari itu, di reka orang apa yang kamu baca ini, blog. Dan semuanya bertukar dan berubah.

Murung kita kongsi. Ceria kita kongsi. Ramai yang simpati. Ramai yang tumpang suka. Dan kita menjadi teramat popular.

Dan begitu sahajakah mahu kita? Tanpa mahu menggunakan peluang ini untuk merubah apa-apa? Hanya mahu memberitahu dunia tentang anak yang lulus periksa. Tentang kekasih yang amat di cinta. Tentang penyanyi/pelakon, perempuan dan jantan cantik yang kita puja.

Kita mengajak beribu manusia datang membaca tulisan kita dan percayalah yang kita sangat dan akan di pertanggungjawabkan keatas apa yang kita tulis.

Jangan peduli tentang amaran itu ini. Marilah kita menulis sesuatu yang akan membantu jika tidak kehidupan kita sendiri, sekurangt-kurangnya dapat memberi sedikit kelegaan kepada orang lain hatta kepada mereka-mereka yang bakal hidup selepas dari kita.

Kita yang ada hari ini sudah menjadi tidak penting. Makanya kehidupan melankolik kita juga tidak memberi apa-apa sumbangan kepada pembangunan apa juga. Jadilah manusia yang ada diri bukan yang mengikut telunjuk demi menjaga temolok.

Friday, January 19, 2007

lembut

"Keling sila keluar, kami tidak melayan keling disini." Kata saya setelah pasti hanya ada seorang lelaki/perempuan India di ruang legar tempat kerja dulu. Lama dulu. Kawan-kawan sekerja terkejut. Begitu juga dengan lelaki India berbadab besar tersebut. Melilau matanya mencari dari mana datangnya suara itu.

Hubungan India dengan Britain 2-3 hari ini sedikit tegang akibat serangan yang berbau perkauman yang di lepaskan kepada Shilpa Shetty, salah seorang peserta rancangan Big Brother. Siri di mana sekumpulan manusia di kurung untuk beberapa lama dalam sebuah rumah.

Beliau diserang (dengan kata-kata) oleh 3 orang gadis Inggeris. Jo, bekas ahli kumpulan S Club 7, Danielle, kekasih sekedudukkan pemain bolasepak terkenal dan Jade Goody, pemenang siri pertama rancangan ini beberapa tahun dahulu.

Antara lain ahli di dalam rumah tersebut adalah abang Micheal Jackson, Jermaine dan Dirk Benedict, perlakon siri A Team yang popular sekitar tahun 80an dulu.

Di India, rakyatnya mula berpiket membantah. Tetapi apa yang mahu kita hairankan, jika sekiranya bekalan pokok pisang berkurangan sekali pun, rakyat India akan berpiket.Sudah itu kegemaran mereka. Seperti budak-budak PAS dan KeAdilan, sikit-sikit piket, sikit-sikit piket. Kemudian balik kerumah letih dan tidur sehingga ada isu baru yang perlu di piketkan. Deja Moss tak pakai baju dalam misalnya.

Sifat perkauman tidak dapat tidak mesti ada di dalam semua manusia. Yang menyelamatkan adalah sifat ingin dan cuba memahami agama dan budaya satu-satu kaum.

Banyak masalah perkauman di sini asalnya adalah di sebabkan enggannya menghormati agama dan budaya orang lain.

Orang Islam di sini di wakili sebahagian besarnya oleh kaum India. Tidak kiralah yang datang dari India, Pakistan, Bangladesh,Kenya atau mana-mana negara Afrika. Mereka membawa adat dan budaya masing-masing sebagai adat dan budaya Islam. Kerana itulah ramai kawan yang bukan Islam dan bukan India di sini menganggap membunuh anak yang enggan bernikah dengan pilihan keluarga sebagai amalan Islam. Saya di anggap pelik kerana Islam dan tidak India dan bernikah sesuka hati. Ini bolehlah kita andaikan sebagai ketidakmahupedulian.

Sifat perkauman hanya boleh di hapuskan apabila kita tidak lagi pedulikan apa bangsa kita. Mungkin kamu UMNO dan cemas tetapi jika kamu bersungguh-sungguh mahu menghalang perang kaum samada secara literal atau metafora hanya itulah caranya. Kekasih Tuhan saya yang bersabda begitu.

Atau kamu boleh saja jangan pedulikan agama dan keluar makan dan minum apa saja,tidur bangun dengan siapa sahaja,jangan perdulikan halal haramnya nescaya kamu akan di terima sebagi sebahagian mereka.

"Aku agok doh, mesti budak (nama sekolah saya)! Babi! Babi! " kata Ghanarajah al Thurairajah apabila melihat saya ketawa dari dalam tempat kerja. Saya menghulur tangan dan kami berjabat. Saya mengajak beliau ke tempat minum dan kami berbual lama sambil dia tidak henti-henti menyumpah saya. Lama benar kami tidak bertemu.

"Tapi aku panik jugok, takut betol tempat ni tak layan keling", tambah Ghana. Disekolah seperti yang kamu duga, dia di panggil Gajah. Besar tapi penakut yang amat.

Sunday, January 14, 2007

di

Ya ayyuhal penduduk Batu Talam, apabila datang kepada kamu hari yang ada padanya perintah untuk mengundi, maka hendaklah kamu memilih untuk mengundi umno. Mudah-mudahan dengan itu kamu beroleh kejayaan.

13:50 al-umno

Wednesday, January 10, 2007

telinga

" Suara enta kalau di padukan dengan suara ana, boleh meletup rasanya. Kita ajak akhi Khairul, akhi Zamsuri dan akhi Rosdan. Kita buat kumpulan. Kita dakwah cara ni syeh! Orang sekarang suka, jadi kita kena ikut syeh. Enta setuju?"

Antara misteri kehidupan yang sangat menjadi misteri kepada saya adalah apabila sekumpulan lelaki tiba-tiba secara terancang berpakat untuk menubuhkan kumpulan nyanyi.

Bukan kugiran tetapi kumpulan nyanyi tanpa bermain musik. Musik lain orang main. Mereka nyanyi sahaja. Atau kumpulan acapella.Yang berkugiran rasanya boleh di maafkan kerana mereka menyerang menggunakkan senjata (gitar dan sebagainya). Ini yang bersenjatakan rupa dan berat kearah pondan dan suara yang bolehlah.

Saya hairan bagaimana lelaki boleh terfikir untuk bernyanyi secara berkumpulan.

Cuba lihat kumpulan-kumpulan lelaki yang jika bermisai atau janggut, wajip di hiris nipis-nipis bagai di lukis. Jika bernyanyi wajip menggegarkan bawah dagu untuk mendengungkan suara.

Lagu nyanyian mereka pula kebanyakkannya kisah yang jika disebut senafas berbunyi begini: cintalukalararinduhampirbunuhdirikeranaditinggalkekasihyangmenurut
katamerekaamatcantik.

Sambil bernyanyi mereka menari. Sekarang, cuba bayangkan lelaki-lelaki yang teramat kacak itu berlatih menari. "Salah tu Joe,kaki kanan belit kat kaki kiri lepas tu tangan kiri pegang dagu, tangan kanan pegang kote, baru ngam." Tak ke geli mendengarnya.

Saya boleh faham jika perempuan meminati mereka kerana seperti di ketahui umum, para perempuan sukakan kecantikkan dan sukakan angan-angan.Dan ini semua diberikan oleh penyanyi berkumpulan lelaki. Kacak dan bernyanyi sambil memegang kote. Dan perempuan yang bernyanyi secara seorang atau kumpulan juga tidak menghairankan kerana memang itulah tujuan mereka di lahirkan.

Yang malangnya, ada lelaki yang meminati kumpulan semi-cantik sebegitu!

Kemudian satu lagi misteri kehidupan yang saya tidak faham adalah apabila lelaki itu tidak kacak dan gemuk tetapi mahu menjadi penyanyi, maka rap lah pilihannya.

Penyanyi rap boleh di maafkan lagi rasanya jika berdua, tetapi jika sekampung di kumpul untuk bernyanyi di pentas, rasanya itu musibah paling besar dalam kehidupan manusiawi.

Tapi ada juga lelaki-lelaki yang bernyanyi dalam kumpulan ini akhirnya insaf. Mereka keluar dan bernyanyi sendiri.

Dan Melayu suka R&B. Derhaka sungguh! Kita berdarah balada. Terimalah. Jangan di paksa-paksa sesuatu yang bukan dari susur-galur timur kita.

Kemudian kumpulan nasyid.

Saya rasa, semua yang giat bernasyid ini tinggi pengetahuan agamanya. Jadi mana datangnya cita-cita untuk bernyanyi secara rakus ini? Nasyid salah atau tidak jangan tanya saya. Apa yang mahu saya tanya adalah "takde kerja lain ke ustad?"

Saturday, January 06, 2007

dengar

Pergilah ke sini untuk membaca cerita tentang kartun oleh si Hanafiah. Mana tahu jika kamu rajin ke sana dia akan menceritakan kisah-kisah lama kumpulan kartunis pembuka jalan arena kartun Malaya.

Saya malas untuk menulis hari ini kerana dalam kesedihan. Sumbi emas saya tercabut. Hilang terus seri senyuman saya.

Thursday, January 04, 2007

macam

i.

Mungkin kamu akan marah, tetapi hari ini saya menerima 3 buku dari Malaya kiriman si Azalan dan saya sedikit kecewa.

Tidak perlu rasanya mengumpul 3 juta penulis dalam satu buku dan kemudian menghasilkan sesuatu yang menyakitkan mata. Saya tidak mengatakan isi tulisan dalam buku-buku tersebut tetapi gaya susunaturnya.

Masuk Barisan adalah contoh paling buruk susunaturnya. Memandang sekali lalu membuatkan mata rabun saya menjadi buta. Untuk apa mengecilkan tulisan demi menjimatkan perbelanjaan jika untuk membacanya pun amat memenatkan? Saya akan baca Masuk Barisan, tetapi apa yang ingin saya nyatakan adalah tiadanya cinta pandang pertama saya terhadap buku tersebut. Mungkin kamu lupa yang persembahan adalah amat penting.

Goblog pula rasanya sesuai untuk mereka-mereka yang jauh lebih muda dari saya dan seperti Jiwa Kacau, ianya tidak menghargai sajak. Kecuali jika sajak yang di masukkan ke buku itu terlalu panjang, tolonglah jangan di potong-potong dan di letakkan di muka-muka yang lain. Sila faham sajak sebagai sebuah lukisan. Mahukah kamu memotong sebuah lukisan dan meletakkannya di merata-rata? Mungkin kamu kreatif dan melakukannya, tetapi saya tidak suka dan saya penting kerana jika kamu lakukannya, saya akan tulis di blog ini.

Saya cuma membaca muka pengenalan Kudeta yang di tulis oleh Raja Boneka dan saya suka tulisnya.

Dan saya rasa sudah sampai masanya orang membeli buku kerana sukakan buku dan tulisan bukan kerana kawan atau kasihan.

ii.

Sudah 3 bulan saya menderitai sakit-sakit dari atas bahu ke siku di dua belah tangan dan setelah di ugut kononnya itu petanda akan di serang sakit jantung, saya beranikan diri berjumpa doktor.

Saya ketawa dengan amat kuat di dalam hospital kerana kata doktor saya menderitai 'wear and tear'. Macam mesin, haus. haha.

Tapi saya akur yang saya semakin tua.


ps: 'menderitai sakit' sengaja di gunakan kerana minta di kasihani oleh penulis-penulis buku diatas.

Sunday, December 31, 2006

marah

Setelah beberapa kali berjanji dan tergendala, akhirnya dapatlah satu tarikh yang saya dan Shahriman, rakan sekelas saya dahulu, berjanji untuk bertemu.Kami sudah tidak bertemu kira-kira 15 tahun. Dan saya sangat gembira.

Di hari yang dijanjikan, saya menunggu dengan penuh debaran di restauran di hadapan sekolah lama kami. Sengaja kami pilih restauran tersebut kerana nostalgia. Saya sampai 30 minit awal. Saya sangat gembira.

Dari jauh saya lihat Shahriman datang. Dia masih seperti dulu, kacak dan bergaya cuma sedikit err.. tebal. Mungkin kerana usia atau mungkin juga kerana senang.Dia membimbit sebuah beg.

Dia menghulurkan tangan, saya tarik tangannya dan terus memelok. Dia sedikit terkejut.Mungkin kerana tidak menjangka saya akan memelok kerana walau pun sekelas, dia dari kumpulan budak nakal, saya kumpulan yang lagi satu.Dan kami bukanlah rakan yang akrab semasa di sekolah. Tapi saya menganggap siapa sahaja yang tidak saya temui lebih dari 3 tahun adalah kawan rapat.

Pelayan restauran datang dan bertanya sama ada kami mahu membuat pesanan, saya katakan yang kami akan memanggil jika sudah bersedia.

Kami mula berbual cerita semasa disekolah dulu.

Dari Shahriman saya dapat tahu yang Baharuddin kini adalah pengurus sumber manusia di kilang Panasonic. Abdul Mutalib hilang entah kemana. Zul Qaisar adalah pereka sampul kaset bagi kumpulan Belantara! Album Serikandi Disisi atau apa. Saya lupa. Shamsul Bahri katanya mungkin seorang arkitek yang mempunyai firma sendiri. Syed Faisal pernah menjadi penulis teks ucapan Kak Pidah. Toh Bo Hoe kini pengurus sekolah musik Yamaha dan dia tidak reti langsung bermain sebarang alat musik! Norbi pula adalah seorang kontraktor yang berjaya. Chai Hong Seng juga hilang entah kemana. Pritkiron Singh kini doktor gigi di London. Kenneth Lim juga di London malah guru kami, Encik Su Lee juga berada di London dan saya tidak pernah teserempak dengan mereka! Roslin Rejab pula tidak diketahui samada bertugas sebagai duta atau berkerja di bawah duta Malaya di Vietnam atau Burma.

Sofian meninggal semasa melanjutkan pelajan. Azman Ali juga sudah meninggal begitu juga dengan Alias Congo. Sirajudeen juga telah meninggal akibat demam kuning. A-fatehah untuk mereka.

Tetapi sepanjang saya bergembira mendengar cerita, saya dapati Shahriman seakan-akan resah. Seolah-olah ada sesuatu yang tidak kena. Mungkin tidak selesa dengan kemesraan saya, fikir saya waktu itu. Bukanlah saya mabuk arak atau khayal dadah tetapi kegembiran saya melebihi tahap yang biasa bagi saya yang di kenali waktu di sekolah dulu, jadi mungkin dia keliru.

Setelah puas ketawa dan sedih,saya melambai tangan kepada pelayan restauran sebagai tanda kami sudah bersedia untuk membuat pesanan.

Saya memesan minuman berais, maklomlah, Malaya panas. Shariman tersenyum seraya berkata,

"Tak elok minum ais malam-malam dan minum ais tu sendiri tak baik untuk kesihatan."

"Habis minum apa yang baik?" Tanya saya. Kesilapan besar.

Dari begnya dia mengeluarkan berberapa paket kecil.

"Minum la kopi ni. Bagus ni Jones." Dan dia mula menceritakan kebaikkan kopi dalam peket tersebut seolah-olah ianya adalah perniagaan milik keluarganya turun temurun dan harus di perkenalkan dan di pertahankan.

Kemudian dia menceritakan bagaimana dengan menjual kopi tersebut akan mendatangkan pulangan kewangan yang berlipat kali ganda.Di akhir penerangan yang tidak di undang itu, kebaikkan kopi tersebut hilang. Yang terbit adalah pelan pemasaran.

Saya bangun dan mengambil pisau belati di pinggan dalam baju yang memang saya bawa kemana-mana dan menikam Shahriman tepat di dadanya berkali-kali. 13 kali jika saya tidak silap mengira.

Dia mati di situ juga.

Wednesday, December 27, 2006

atau

Beberapa hari lepas akhbar percuma yang saya baca di keretapi sekali lagi menceritakan bagaimana puluhan ribu jiwa di Malaya sana dilanda malang banjir.

Kampung saya dahulu juga sering dilanda banjir. Airnya tidaklah tinggi tapi cukup untuk kami berakit ke hulu-hilir.

Pa dan Kodik tukang tebang buluh,hijau dan membuat rakit. Kami tidak berani menebang buluh kuning kerana menurut Iji, adik Pa, itu buluh keramat, ada penunggu. Mezah dan saya tukang tunggu rakit siap. Dan kami berakit sehingga air surut.

Biasanya masa yang kami ambil untuk membuat rakit adalah melebihi masa kami meggunakannya kerana banjir yang melanda kampung kami tidak kekal lama. Maklomlah kampung kami waktu itu belum maju. Dan wakil rakyat dan menteri diwaktu itu tidaklah begitu sibuk menzalimi kami.

Tidak perlulah saya menceritan keseronokkan yang kami alami kerana seperti harta benda para penguasa Malaya yang menjadi citarasa semasa, ianya adalah sesuatu yang tidak dapat dilihat. Tersendiri dan tersorok. Lainlah jika dengan sebab yang tidak dapat dielakkan penguasa itu bukan lagi menjadi flava masakini, maka segala nilai harta dan saiz kutang dadanya akan dihebahkan.

Pa, masih di Serenti. (saya rasa dia kini adalah penghulu semua Serenti di Malaya disebabkan faktor umur dan pengalaman atau mungkin juga telah diserap sebagai wader). Kodik diserang sakit jantung beberapa bulan lepas dan dia tidak pernah merokok.Dia sembuh tetapi tidak secergas dahulu. Iji masih dengan bermain musik. Mezah meninggal dunia Ramadhan dua tahun lepas.

Dan saya disini masih sibuk mencari seronok.

Saturday, December 23, 2006

inilah

sajak buat perempuan gemok di sebelah meja.



seorang diri sepi adalah beban/seorang isteri cantik adalah beban/seorang anak comel adalah beban/seorang ibu nyanyuk adalah ikhsan/sebuah rumah milik pkns adalah beban/sebuah proton wira bayar secara ansuran, adalah beban/sebuah masjid dalam taman perumahan adalah ikhsan/kekasih adalah beban/teman adalah beban/taulan adalah beban/ikhlas adalah ikhsan/kerja di pejabat kerajaan adalah beban/amanah tidak makan suap adalah ikhsan/aku adalah beban/perempuan gemuk disebelah meja adalah ikhsan

lagu dan nyanyian: airmas sz (http://airmas.blogspot.com/)
sajak : siapa lagi..

Wednesday, December 20, 2006

agaknya

Kadangkala di dalam akhbar yang saya baca setiap hari, akan ada berita-berita kaki mengenai tanah tumpah darahku, Malaya.

Dari berita budak perempuan yang cuba mencipta rekod dunia dengan duduk sekandang dengan binatang berbisa sehinggalah berita mengenai lelaki muda yang menikahi perempuan yang amat tua. Dan setiap kali membaca berita-berita begitu saya membayangkan diri saya sebagai seorang aristokrat Inggeris yang membaca cerita-cerita negara-negara Afrika. Kuno dan tidak bertamadun pada pandangan saya.

Namun hari ini, saya terpidana membaca berita mengenai betapa kerajaan Malaya membatalkan hasrat supaya ANGKASAWAN pertama Tanah Melayu untuk melakukan ujian menyediakan teh tarik di angkasa.

Malaya ada ANGKASAWAN? Wow! Kata hati lelaki asristokrat Inggeris ini.

Oh! Bukannya saya terkejut kerana rakyat Malaya kini akan ada yang bergelar ANGKASAWAN, tetapi saya kecewa kerana ujian penyediaan teh tarik itu di batalkan.

Saya kecewa, sangat kecewa.













hhahhahahahahahahahahahahahahahahahahahahahahahahahahahaha
hahahahhhapooooootttttthahahhhahahahahahahahahahahahahahahaha.

Saturday, December 16, 2006

perpatah

Rasanya hanya di Malaya apabila sesuatu tindakkan kerajaan tidak disenangi oleh rakyat, maka rakyatnya akan bertindak. Yang menulis blog akan membincangkannya. Yang bersajak akan mula mengarang bait-bait puisi. Yang kuat bertekak akan mula bertegang leher marah dan setuju. Yang menulis novel, err..tidak.

Yang menulis novel biasanya jarang terlibat dalam memperkatakan misalnya harga minyak yang tidak munasabah atau tol jalanraya yang naik dan naik kerana mereka ada banyak lagi isu yang lebih penting untuk di novelkan. Kekasih yang mempunyai nama seperti dewa kayangan yang menderita penyakit misteri misalnya atau masalah rumahtangga yang agaknya sampai kiamat akan menjadi sebahagian cara hidup masyarakat melayu Malaya jika kita percaya kepada para penulis novel dan pembikin filimnya.

Akhbar jarang menyiarkan kemarahan rakyat kerana terpaksa berebut ruang dengan berita cantumkoyak kemaluan para artis. Dan mereka (akhbar) tahu rakyat lebih suka membaca tentang panjangpendek (umur pernikahan, bukan apa yang kamu sangkakan) para penghibur.

Setelah genap 2 minggu berbincang diblog atau bersajak atau bertekak, rakyat Malaya akan kembali asal dengan satu tekad baru iaitu berkerja lebih kuat untuk membayar harga minyak dan tol.

Sebagai membalas jasa kuatkerja kalian, kerajaan Malaya akan memberikan kenaikkan gaji awal tahun depan kerana 100% rakyat Malaya adalah anggota kerjanya.

Syabbas! Tepuk bahu kalian diatas kegigihan masing-masing. Nanti dimasa acara kongsi raya kamu akan dijamu dengan makanan yang dibeli dengan wang kamu sendiri. Itulah yang dikatakan kongsikaya. Kamu diberi makan dalam pinggan kertas dan para menteri hadir untuk mentertawakan kamu.

Akhirkata, marilah kita sama-sama memikirkan maksud perpatah ini, 'berkeris-berkeris juga, C4 jangan dilupa.'

Wednesday, December 13, 2006

melayu

Saya sangkakan saya ini seorang yang rajin, rupanya tidak. Maka dengan itu saya tidak lagi akan memoderatikan (haha) komen-komen di blog ini. Malas benar membuka email dan kemudian membebaskan komen-komen yang di moderatikan (haha) itu.

Jadi saya berharap sebilangan kamu janganlah menjadi seperti budak yang baru pandai mencalat. Kata-kata carut-marut,maki-hamun dan serangan peribadi serahkan sahaja kepada yang ahli (baca: saya). Tugas kamu hanyalah memuji-muji tulisan saya di ruang komen, maka bertugaslah dengan tekun.

Sebagai hiburan dan kerana lama tidak menunjuk-nunjuk kepandaian bersastera, maka di bawah ini saya tuliskan kembali sebuah sajak yang telah saya letakkan di esastera.com. Oh! Mungkin iklan ini sedikit terlewat, tetapi jika kamu membacanya sebelum jam 8.00 pagi hari Rabu, silalah berada didepan televisyen Saluran Satu kerana boss besar esastera.com akan diwawancara di rancangan Selamat Pagi Malaya untuk berbicara tentang esastera.com dan hari anugerahnya. (Rasanya tikit-tikit untuk hari anugerah tersebut masih di jual, jika berminat untuk menghadirinya, sila ke lama esastera.com)

Makluman: Hari anugerah kumpulan Ronggeng Zainal tidak diiklankan di televisyen.

Dan tidakkah kamu merasa menyesal kerana tidak menjadi anggota esastera.com?

yasmin

aku helang
garang dan terbang
dan terbang dan
terbang dan terbang

engkau arnab
dan diam dan
diam dan diam
di dalam lubang.

Saturday, December 09, 2006

berkeris

Saya dalam dilema.

Tidakkah kamu teringin memulakan blog kamu dengan ayat se dramatik itu? Saya sangat ingin dan hari ini terlerai sudah keinginan itu. Kerana rasa saya, lagi dramatik blog kamu, lagi banyak komen.

Tidak percaya? Lihat saja ruang ini nanti.






(fuhh! menjadilah!)

Tuesday, December 05, 2006

baru,

June nanti, larangan merokok di tempat-tempat awam, restoran, tempat kerja dan segala macam tempat yang bermanusia, hatta di taman bunga sekali pun akan berkuatkuasa di sini.

Inilah yang saya benci dengan kerajaan di sini, bila mereka berjanji akan melakukannya, percayalah dengan sesungguh hati kamu yang mereka akan melakukannya. Dan apabila undang-undang itu di kuatkuasakan, ianya adalah untuk semua, raja dan rakyat, ahli politik dan talibarutnya, rakyat biasa dan hamba sahaya.

Di masa-masa beginilah airmata saya akan jatuh, tap,tap,tap. Membasahi tiga dari lima helai janggut saya. Sedih terkenangkan kampung halaman yang sentiasa bertolak-ansur. Alangkah bagusnya jika June nanti saya bisa berada di Malaya. Bolehlah saya merokok sebebas-bebasnya.


ps: 'Apa perkara pertama yang kamu buat tiap kali kembali ke Malaya? Minum teh tarik? Makan nasi lemak?' Tanya kawan di sini. 'Memandu kereta tanpa memakai talipinggan keledar.' jawab saya.

Friday, December 01, 2006

besar

Semasa di Malaya, seorang kawan yang rapat,warak dan berani bertanya kepada saya dengan amat bengisnya,'mu minung arok?' hanya kerana terlihat akan perut saya sedikit (banyak sebenarnya) besar dari kali terakhir saya di Malaya.

Begitulah kita, mudah membuat konklusi. Jika ada kawan kita yang baru bergiat dalam partai politik yang memerintah dan tidak semena-mena menjadi terlalu kaya, kita menuduh mereka korup. Asal bergambar dekat-dekat, khalwat. Bila ada polis trafik yang membuat sekatan jalan di tempat-tempat sunyi, kita menuduh mereka mencari duit kopi untuk membeli makan dan pakai anak isteri.

Tidak seperti ahli partai politik yang memerintah dan ketua para polis, saya cuma senyum dan mendiamkan diri sebagai menjawab pertanyaan kawan yang mengasihi saya itu.



ps: Pada yang bertanya apa hadiah saya kepada anak yang mendapat 5A, saya hadiahkan basikal baru kerana harga membaiki basikal lama dengan basikal baru hanya berselisih beberapa ringgit. Saya belikan basikal yang rimnya berlidi banyak dan tayar sedikit besar dari biasa.'Suka?' saya tanya dia, 'mmmm' jawab dia.(hahahahah, best ada anak)

Tuesday, November 28, 2006

laksana

Mulanya saya mahu meletakkan gambar anak saya yang mendapat keputusan 5A dalam peperiksaan UPSR yang lepas di sini, tetapi saya teringat yang saya tidak pandai meletakkan gambar dan yang pentingnya saya belum beranak. Jadi tidaklah dapat saya berbangga-bangga mengenai itu.

Kemudian dari itu, alangkah terperanjatnya saya bila Amir Mukriz bertanyakan samada saya meminati kumpulan Goo Goo Dolls atau tidak. Bayangkan, pemuda ayu yang selama ini menggagumi nyanyian Now See Heart dan In-Team bertanyakan tentang Goo Goo Dolls! Menakutkan.

Hidup ini memang penuh dengan angan-angan dan kejutan yang mengerikan.




p/s: Iklan tidak berbayar disisi itu adalah ikhsan Amir 'Rabbani' Mukriz. Dia yang tolong letakkan di situ. Terima kasih Mir.

Thursday, November 23, 2006

istana

Mok : Mu ada duit?
Jones : Ada.
Mok : Banyak?
Jones : Dak juga.

Mok bergegas kebilik dan keluar mengenggam seberkas wang kertas dan menghulurkan kepada saya seraya berkata, " Ambil ni, buat beli rokok."

Adik perempuan saya yang sedang berbual dengan suaminya ketawa terbahak-bahak hingga terkentut.Dia memang begitu, rupa tidak cantik, perangai tidak senonoh.

Sayang sungguh Mok saya pada saya.

Tuesday, October 31, 2006

zakaria

KLIA suatu ketika..


Walin : Kak, macamana kita nak kenal Pak Long? Kita dah lama tak tengok dia.
Auni : Alah senang aje, yang paling selekeh tu Pak Long lah.


Walin 7 tahun dan Auni 10 tahun. Mereka budak-budak, mana tahu bezakan kekacakkan dan
keselekehan.


ps: Saya akan mula menulis kembali untuk bacaan kawan-kawan, eh! silap. Saya akan menulis
kembali untuk bacaan para peminat sekelian dalam masa 3 minggu dari sekarang insya Allah.

Thursday, September 21, 2006

pada

Pernah tengok kambing makan tembikai? Mestinya tembikai itu yang telah pecah. Jika kamu berikan sebiji tembikai kepada seekor kambing, nescaya dia akan kelaparan sehinggalah tembikai itu pecah dek buruk atau kamu yang tolong memecahkannya.

Begitulah otak seekor kambing. Terhad. Mereka tidak boleh berfikir lebih jauh,atau seperti kata orang yang mahu nampak pandai, (baca: saya) berfikir di luar kotak.

Saya kemudian menyamakan otak seekor kambing dengan otak seorang Melayu yang mahu membina pusat latihan sukan di kota London (jangan gelakkan saya, saya baru tahu berita ini) dan pertanyaan manja dengan slanga yang agak remaja dari saya adalah, "kamu gile ek?".



ps: Saya masih berpergi-pergian, cuma gatal tidak menulis. Dan selamat berpuasa/hari raya dari saya kepada semua. Mohon ampun segala kesalahan yang dulu dan yang akan datang.

Kepada kawan yang mahu menembak dan memberikan mayat saya kepada al-bab itu, dengan rendah hati saya katakan, "kalat pamu".

Thursday, September 07, 2006

kamu

Walaupun tidak penting, saya rasa perlu memberitahu kamu semua yang saya akan berpergi-pergian untuk beberapa lama. Kerana itu saya membuka sementara ruang komen untuk kamu tulis. Ianya adalah untuk saya baca nanti. Tulislah, saya suka.

Terima kasih dan tolong doakan perjalanan saya di permudahkan Tuhan.

ps: "berpergi-pergian", huh! sastera sungguh saya.

Wednesday, September 06, 2006

tetap

Amat membanggakan kepada mana-mana manusia yang tidak tinggal di negara sendiri apabila nama negara asal mereka di sebut-sebut di tempat mana mereka tinggal.

Hari ini saya adalah manusia paling bangga di dunia kerana nama Malaya menjadi sebutan dua hari berturut-turut di sini.Secara nasional dan semestinya didengar oleh banyak orang.

Pertama di dalam siri terbaru The Simpsons dan keduanya di dalam berita di saluran BBC News 24.

Dalam siri The Simpsons, Moe, tuan punya Moe's Bar telah menukar bar kepunyaannya menjadi sebuah kelab yang trendi dan hip demi untuk menarik lebih ramai pelanggan. Yang paling penting sekali adalah, Moe tidak lagi menjual bir jenama Duff yang terkenal itu kerana ianya hanya di minum oleh golongan menengah dan di kira kodi.

Moe hanya menjual bir yang bermutu tinggi yang di import dari Malaya.(Woo hoo!Malayan beer-Homer)

BBC News 24 pula melaporkan yang di antara banyak-banyak syarikat yang membida untuk membina super-kasino pertama di sini, terdapat sebuah syarikat judi dari Malaya yang ikut turut berlumba.(Woo hoo! Malayan Judi Company-Rakyat Malaya) Mari kita doakan kejayaan mereka.

Tengok hidung saya, sangat kembang.




ps: Kata zizie ali, "Aku copy and paste entri mutakhir sebuah blog yang amat tersohor suatu ketika dahulu."

Aduh, sudah tidak popular rupanya saya sekarang.

Monday, September 04, 2006

cinta

Hanya di Malaya, apabila pasukan bolasepak negara menang dalam apa-apa pertandingan, maka menterinya yang sepanjang hayat tidak pernah menyepak bolalah yang akan sibok mengeluarkan bermacam kenyataan akhbar. Sambil memuji-muji atau meminta di puji kecekapan mereka membimbing pasukan tersebut.

Para pemain pula akan di janjikan tanah berpuluh-ribu relong yang mana janji-janji itu akhirnya akan menjadi JANJI MANISMU.Mereka akan mula memasang angan-angan yang bermacam sambil mengilap ekzos kereta kuat bunyi mereka dengan betis berbulu yang terbuka walau tidak di padang bola.

Hari ini Menteri bolasepak Malaya meninjau-ninjau peluang untuk berpolitik di Myanmmar.

Pemain-pemain bolasepak pasukan Myanmmar pula kembali memakai kain pelikat tanpa memikirkan penyanyi atau pelakon manakah yang mahu mereka tiduri hujung minggu ini.






p/s: Rindu pulak bila tidak membaca komen-komen kamu.
Belilah majalah esastera. Ia di cetak dengan kertas yang bermutu tinggi.

Friday, September 01, 2006

walau

" Dia semayang atas pelepah daun pisang. Lepas tu dia boleh terbang-terbang. Mana boleh tangkap dia. Handal tu."

Itulah kenangan yang saya ingat tentang Arwah Rashid Maidin. Kami tidak pernah di ajar supaya mengenali beliau sebagai pengganas. Dia adalah HERO di dalam hidup kami.

Al-fatehah untuk beliau.







.