Sunday, November 06, 2005

sembelih

Salah satu cara Islam berkembang adalah dengan cara mengambil budaya tempatan lalu di 'islamkan'. Hal ini boleh di lihat di dalam banyak perkara. Ilmu kaji bintang misalnya. Bangsa Arab yang hidup nomad berpandukan bintang untuk tujuan pengembaraan. Ilmu ini di ambil oleh Islam lalu di kembangkan. Apabila umat Islam berpindah ke merata dunia, mereka memerlukan satu cara untuk memudahkan mereka bersembahyang dengan mengadap ke Mekah. Dari sinilah ilmu kajibintang berkembang.

Begitu juga dengan kertas yang berasal dari China yang di majukan oleh umat Islam demi kerana pentingnya ilmu didalam Islam.

Atau bagaimana seorang doktor dari Kelantan yang berpindah ke Kuantan pergi ke Beserah dan mencuba Mee Chalong lalu membawa balik resepi makanan tersebut ke kampungnya.

Semua ini walau bagaimana kecil sekalipun akan menyumbang kepada perkembangan Islam.

Agak malang apabila umat Islam hari ini rata-rata lebih gembira mengamalkan budaya sendiri walau di mana mereka berada.

Saya agak sedih apabila saban tahun menerima jemputan dari kawan-kawan Melayu di sini untuk bersembahyang jemaah hari raya di rumah yang di gazetkan sementara sebagai balasoh sembahyang raya.

Gemar benar melayu di sini berkumpul sambil bertakbir sesama sendiri. Hilang rasanya perpaduan yang tidak mengira warna kulit yang sangat-sangat di galakan di dalam Islam.

Saya lebih gemar bersembahyang di tengah-tengah padang seperti tahun-tahun sudah. Tahun ini dijemput dua orang paderi dari gereja berhampiran untuk menyampaikan sepatah dua kata. Ada yang bersetuju ada juga yang tidak. Saya cuma berpendapat jika hal ini tidak di halang di dalam Islam, maka lakukanlah.

Didalam hal yang lain pula saya merasa amat marah apabila seorang kawan memberitahu yang beliau tidak ada 'mood' untuk berhari raya. Berhari raya adalah perintah Tuhan. Menyambutnya menjadi ibadat. Bagaimana mungkin kita mengatakan tidak mahu bergembira di hari yang di wartakan oleh Tuhan!

Setiap tahun di hari raya saya akan kembali menjadi kanak-kanak. Saya akan memakai baju baru.(tahun ini tema saya adalah Reservoir Dogs, jadi saya memakai kot dan bertali leher hitam. Kekacakkan saya berganda hari ini). Saya akan memakai air bau. Rambut (yang tinggal beberapa helai) akan saya minyakkan dan sisir rapi.

Setelah ke masjid saya akan menziarahi kawan-kawan dan tentu sekali saya akan menjadi amat marah apabila rumah yang saya kunjungi tidak menghidangkan juadah hari raya kerana mereka tidak ada mood . Dapatkah kamu bayangkan kekecewaan yang saya alami kerana tidak dapat menikmati makanan percuma di pagi raya?

Saya dilanda perasaan ingin memotong telinga kawan saya itu. Sedikit demi sedikit sehingga putus.

1 comment:

Suriya said...

Kaji kemarahan anda. Masing-masing berhak kepada perasaan dan cara masing-masing.