Tuesday, May 31, 2011

perjalanan keutara bagi menyatupadukan rakyat dan mengajar pelukis disana bagaimana cara melukis dengan betul serta memberi sedikit tips menanam padi

Bukan mudah sebenarnya menjadi kami,Gerup Pelukis Rajawali.Selain sangat handal, kaya-raya,sombong-bongkak serta diminati ramai,kami juga adalah gabungan manusia anugerah kepada tanggungjawab.

Atas dasar itu-lah,maka kami pun berangkat keutara kerana sepertimana yang diketahui umum,mereka-mereka yang menjadikan nasi dengan seribu jenis lauk pauk sebagai sarapan pagi ada-lah mereka-mereka yang suka tidur di tengahari hingga ke senja.

Saya menjangkakan yang tulisan ini akan menjadi sedikit panjang jadi jika kamu membaca tulisan ini waktu berkerja,jangan kerana amanah kamu ialah bertugas. Cari masa lapang dirumah walaupun kamu merasa rugi lambat membaca tulisan yang penuh hikmah kehidupan ini dan baca. Sabar itu iman.

hangpa dah pi musium padi ka? tanya 11 dari 12orang yang kami temui di utara.Entah apa yang dibanggakan mereka dengan musium tersebut tidak-lah kami ketahui kerana kami bukan jenis berziarah kemusium-musium.Lagipun tujuan kami adalah untuk membentuk penduduk utara yang kami temui menjadi insan mulia berjiwa kental maka tidak-lah kami peduli sangat dengan pertanyaan berbau perkauman itu.

Menyebut perkauman,hentian pertama kami di utara adalah di Auditorium Sultan Abdul Halim di Alor Setar atau juga di sebut sebagai RTM Alor Setar.

Tujuannya adalah bagi menjayakan Karnival Komuniti Satu Malaya disana.Kami dipertanggungjawabkan untuk menganjurkan satu pertandingan foto. Kami tahu kamu menggaru kepala mengapa kami yang pelukis ini mengganjurkan pertandingan foto dan sudah tentu jawapan paling tepatnya adalah kami sangat serbaserbi pandai. Bukan seperti kebanyakan kamu yang dilahirkan sebagai daki dunia yang sepatutnya lama dulu disagat dengan daun gelengang.

Disampingitu, kami juga mengadakan sedikit aktivi kecil seperti melukis dijalanraya menggunakan batu yang kami jumpa ditapa karnival serta pertandingan bermain teng-teng atau jengkit kata orang utara.

Diatas sedikit gambar mengenai aktiviti tersebut namun kami tidak dapat menyiarkan sebarang gambar pertandingan teng-teng kerana para makcik yang bertanding telah menyelak kain keperingkat membuka aurat selain histeria bila tewas. Fai Zakaria maklum apa yang saya maksudkan.

Oh! selain pelukis utara,kami juga menjemput Fai Zakaria untuk turut serta dalam acara ini dan beliau telah sudi dan datang bersama Sya,kawan beliau namun setelah disiasat,jurugambar kami tidak merakam sebarang foto mereka! Menunggu dimaki sahaja layaknya jurugambar kami itu. Maafkan kami Fai Zakaria dan Sya.
Dihari pertama, kami dikunjungi oleh penyair Puzi Hadi,penyair Brirasa juga Zack Uzaini dari kumpulan Dikala Jingga.Kami tidak-lah sampai menyalahkan mereka datang awal untuk bertamu kerana kami tahu kedudukan kami yang memang menjadi impian setiap insan bernama seniman untuk memasukan kami dalam senarai apa yang mereka panggil sebagai teman.

Walau bagaimana pun,kami ingin mengucapkan terima kasih kepada mereka,terutama Pak Puzi Hadi yang sudi minum-minum bersama kami. Brirasa menang hadiah saguhati pertandingan foto yang kami anjur atas dasar kawan-kawan. Zack pula bersama kami sehingga hari kedua dengan membawa beberapa murid belaiu untuk sama memeriahkan acara tersebut.

Salah seorang muridnya menang hadiah utama bukan atas dasar kawan-kawan. Foto yang menang tersebut memang dipersetujui layak.



Demi terpecah berita yang kami akan keutara,yang pertama menghubungi kami adalah pelukis Anassuwandi Ahmad.

aku mintak sangat-sangat hangpa datang studio aku no.aku nak sangat blajaq dengan hampa,aku rasa hangpa la artis paling kojaq dalam malaya-kata dia kepada kami.

Walau-pun tidak berapa faham bahasa kaum yang makan laksa pagi laksa petang ini,kami tahu ianya adalah satu permintaan yang tidak dapat kami tolak.Apatah lagi apabila melihat fotorupa beliau di facebook. Persis ultimate warrior. Bukan takut cuma kami rasa jika tidak bergaduh dengan beliau adalah lebih bijak.

Setiap lima kilometer perjalanan,kami mendapat pesanan ringkas dari beliau,hangpa dah sampai ka?hangpa sampai call aku.aku belanja laksa no-kata pesanan ringkas beliau.

Saya rasa orang utara adalah manusia paling negatif didunia,NO?

Malam kedua,sedang tidur,saya dikejut-kan oleh Abu Yusof. Dan bertemu-lah saya dengan Anassuwandi buat pertama kalinya. Tidak belajar adab sungguh orang utara yang satu ini. Abdullahjones yang hebat ini,sedang tidur,lalu dikejutnya! Sang harimau jangan diganggu lalu setelah bangun,saya terus mengajar beliau bagaimana menjadi separuh hebat dari saya. Ia-lah,mana mungkin siapa pun menjadi seperti saya.

Dan disudut mata pelukis Anassuwandi saya lihat ada titik-titk air yang mengalir lesu. Dadanya turun-naik,deras.Saya tahu dia teruja serta terkasima. Abu Yussof yang sudah biasa melihat aksi siapa sahaja pertama kali bertemu saya itu pun senyum. Dia faham benar lalu dipimpinnya Anas keluar bagi menenangkan.

hangpa mai umah aku ahad no.kita bakaq kambin-

ajak Anassuwandi pada pertemuan itu,hari khamis.ekali lagi Abu Yussof tersenyum kerana beliau faham benar.Tidak mungkin akan terjadi peristiwa tersebut. Dan benar seperti yang dijangka,Esoknya Anas telah menalifon kami

-hangpa mai malam ni no.aku takboleh tunggu sampai ahad.aku tak sabaq nak blajaq lagi. hangpa mai no.tak kita pukui brapa.satu dua tiga pagi pun aku tunggu. hangpa mai no.-

rayu beliau.nada suara beliau sudah mula retak dan kami yakin jika kati menolak,Malaya bakal kehilangan seorang pelukis dan Harian Metro pun mendapat headline paling sensasi abad ini;pelukis mati makan berus.
Lalu setelah selesai tugas di RTM Alor Setar,kami pun kerumah beliau. Beliau bertegas memanggilnya sebagai studio,namun kami lebih tahu.

Anas lalu dengan tangan memegang telor (beliau) dan kepala sedikit menunduk menjemput kami masuk. Demi terlihat karya beliau,hati kami berdetik; ada potensi,kata kami serentak,didalam hati.


Anas yang menjadikan perangkap ikan sebagai subjek telah dengan jayanya mempersembahkan karya-karya yang ternyata hebat. Pengunaan bahan yang baru (dalam seni tampak) juga menampakan kematangan yang bukan sedikit. Abu,Acai dan saya pun berbual secara telepati dan bersetuju untuk mengatakan Anas adalah seorang pengkarya yang sepatutnya telah lama menjadi ikon jika sekiranya beliau tidak membuang masa menjadi gurubesar sekolah.

Namun,tidak-lah terlambat bagi beliau untuk duduk serius dalam suasana untuk lebih dikenali. Kami yakin pertunjukan solo beliau yang akan diadakan di Galeri Matahati pada setember ini akan sangat mendapat sambutan.

Kami sepakat yang karya beliau adalah karya yang mesti dimiliki oleh nereka-mereka yang serius mahu kepada seni.

macam mana?boleh ka? tanya beliau mengharap pengiktirafan. Kami sebagai satu kumpulan yang bertanggungjawab membimbing tentu tidak mahu beliau berhenti dari mencari lalu kami serentak meludah karya-karya beliau dan keluar dari rumah beliau tanpa menunggu dihidang minum.

Cara kami memberi tunjukajar walau tidak konvensional sifatnya tetapi terbukti mujarap kepada satu bangsa yang saban hari mengharap pujian.

Kami tinggalkan Anassuwandi dalam keadaan terbaring,menangis. Kucing-kucing peliharaan beliau yang banyak itu menjilat airmata beliau,memujuk barangkali atau mungkin juga kerana lapar.

Sebelum lupa,kami juga diziarahi oleh pelukis Zamanhuri yang pendiam itu. Beliau datang dihari pertama dan kedua.

Selesai tugas di RTM,kami pun ke Pulau Langkawi. Setiba di pulau,kami disambut oleh O-lee,satu dari dua pelukis batek yang mengelar diri mereka Melle Batek,seorang pemuda yang amat kacak bergaya. Acai yang selama ini merasa kacak mula serba tidak kena.Bimbang para gadis akan ber-magnet-kan O-lee lebih dari beliau.

Kami dibawa ke studio batek Pak Salleh Dawam dan brader Sham,juga pelukis batek. Saya sendiri amat teruja bila melihat beberapa keping batek yang dihasilkan oleh Brader Sham. Disana kami juga diperkenalkan kepada Abang Lan,entah pelukis entah guru silat.

Setelah berbual,kami dijemput pula oleh Azizi dan Din,dua lelaki kuat pesatuan seni visual Pulau Langkawi atau ringkasnya LAVAA dan kami pun dibawa ke residensi Beranda.
Kami ter-humbled disini. Selama ini kami merasakan yang studio kami adalah studio paling gah disebelah sini dunia,namun demi melangkah ke residensi ini serta diberi penerangan tentang perjalanannya,kami angkat tabik kepada mereka.
Oh! sebelum lupa, ini Abang Ramli,beliau juga menyertai kami di RTM dan menjadi pemandu arah selama kami di utara. Beliau juga orang yang bertanggungjawab memberi kami makan ratu anai-anai. Awas,kami kini bertambah kuat.

Dibawah adalah foto apa yang dipanggil pongsu anai-anai yang digali Abang Ramli.Didalamnya-lah istana dimana ratu anai-anai bertakhta. Kami gagal mengfoto ratu anai-anai tersebut kerana sibuk berebutkannya.
LAVAA dianggotai oleh lebih empatpuluh pelukis dari pelbagai bangsa dan merupakan satu pergerakan yang amat berpengaruh. Atas usaha LAVAA,mana-mana artis yang berdaftar dibawahnya adalah bebas untuk melukis DIMANA SAHAJA di Pulau Langkawi. Satu pencapaian yang rasanya belum pernah dicapai oleh mana-mana persatuan seni mana-mana negeri di Malaya. Tahniah kami ucapkan kepada LAVAA.

Di Residensi Beranda kami diperkenalkan kepada Mel,separuh lagi dari Melle Batek,Rosli juga Rashid, disana juga kami bertemu rakan lama kami,Mail Pasir. Pak Salleh yang kami temui awal tadi rupanya adalah tok penghulu kepada kumpulan ini.

Apa yang beliau lakukan kepada LAVAA seperti mempunyai persamaan dengan apa yang kami juangkan dalam Rajawali. Lalu kami yang semuanya baru pertama kali bertemu menjadi seperti sahabat lama yang baru berjumpa.



Kami tidak ada apa yang mahu diperkatakan mengenai LAVAA selain dari penghormatan. Usaha yang sebegini sepatutnya ada dalam diri semua. Melakukan kerja kerana mahu bekerja tanpa ada kecewa sekiranya kerja yang dilakukan belum mendatangkan hasil yang lumayan.

Kepada anggota LAVAA kami dari Rajawali ingin mungucapkan selamat maju yang teramat dan semoga perkumpulan ini kekal tanpa selisih.

Juga,siapa sahaja adalah dialu-alukan untuk bertandang ke residensi Beranda. Bayaran jika tidak silap saya ialah 15ringgit untuk satu malam atau jika kamu pelukis,sekeping lukisan adalah diminta sebagai bayaran selama kamu tinggal disana.


Aiseyman,malas pulak menulis.Banyak sebenarnya mahu dikisahkan,namun letih perjalanan seribuenamratus kilometer masih terasa. Nanti jika saya sudah hilang letih,akan disambung.dengan izin tuhan.

Untuk pengetahuan,semasa di Langkawi,kami disaman kerana menaiki kereta tanpa cukai jalan.Akibat terkejut disaman,kereta yang kami naiki tidak boleh dihidupkan lalu kami terpaksa mencari kenderaan lain sebagai tunggangan.

Rasanya telah saya sebut semua nama teman-teman yang ditemui sepanjang perjalanan kami,jika nama kamu tiada,maafkan saya.

Dalam foto dibawah dari kiri adalah Mail Pasir,O-lee,Acai,Din,Abu Yussof,Pak Salleh,Abang Lan,Nur Najihah Lee,Abang Ramlee dan
Aiseyman,macamana boleh lupa. Kami juga dikunjungi oleh Meor Lantera yang datang jauh dari Telok Intan. Ini agaknya yang dipanggil sahabat. Terima kasih yop. Meor datang bersama ibu dan adiknya.Dibawah adalah foto Meor.

Tuesday, May 24, 2011

bob dylan dan saya

Waktu itu dirumah Ateh,bapak saudara saya. Entah mengapa saya disitu saya lupa. Mungkin untuk mengambil elaun kerana Mak Teh biasanya bertanggungjawab untuk memastikan saya cukup belanja harian.

Saya masuk kekereta Abang Ta, menantu Ateh yang kadang-kadang teramat kaya,kadang-kadang sederhana sahaja dan kadang-kadang agak miskin. Realiti hidup peniaga waktu itu. Sekarang ini Abang Ta sederhana dan selesa.

Didalam kereta Abang Ta-lah saya temui Bob Dylan. Dalam sebuah mixed-tape. Lagu pertama yang saya dengar setelah kaset tersebut saya hulurkan ke pemainnya adalah Maggie's Farm dan saya rasa abdullahjones pun lahir.

Gila! pertama kali mendengar suara Bob Dylan dan jika kamu biasa mendengar suaranya kamu akan tahu maksud saya,terus saya jadi suka. Bayangkan, suara yang keluar terus dari hidung dan entah apa yang disebutnya tetapi seakan ada majis yang menarik kamu untuk terus mendengar.

Kemudian saya amati lirik lagu tersebut dan itu-lah saat eureka bagi saya. Lirik lagu tersebut menceritakan mengenai bagaimana penyanyi tidak lagi mahu berkerja di ladang Maggie. Tidak pernah ada lagu yang saya dengar (waktu itu) menceritakan hal begini. Ada humor dalam liriknya dan saya pun terus terpikat.

Humor adalah sesuatu yang tidak ada dalam kebanyakan kita bilamana kita pegang yang wang adalah segala. Semua pun jadi enau, melepaskan kawan demi untuk maju diri sendiri.

Sebelum dari Bob Dylan,saya asyik dengan Ebiet G Ade yang diperkenalkan kepada saya oleh Usop Makcik Senah, abang kepada Pa,kawan rapat saya di kampung.

Protes gaya Ebiet G Ade serupa Usman Awang. Lembut dan mengasyikan. Walaupun gemar pada Ebiet,saya (waktu itu) amat bosan dengan tulisan Usman Awang,terlalu pakcik-pakcik pada saya. 17tahun itu umur rebel kata orang dan lama selepas 40 baru saya faham betapa indahnya tulisan Usman Awang.

Namun,meskipun selalu mencuba, tulisan saya sendiri tidak boleh pergi ke gaya Usman Awang kecuali dalam siri puisi untuk Min.

Selepas lama dibuai Ebiet dan terjumpa Bob Dylan,dunia baru musik saya pun terbuka. Saban minggu dengan elaun yang ada saya belanjakan hanya untuk mencari kaset-kaset beliau. Saya beli semua album nyanyian beliau.

-you ingat dia hari-hari bikin kaset ka?-kata tuan punya kedai kaset yang selalu saya kunjungi bila saban minggu saya mencari kaset Bob Dylan bila saya desak beliau untuk mencari didalam setor kedainya kalau-kalau masih ada yang tersimpan dan belum saya miliki.

Apa yang jadi kepada saya hari ini sebahagiannya adalah hasil dari penelitian terhadap lagu-lagu beliau dan saya terpaksa akui yang ini bukan-lah sesuatu yang baik. Mungkin saya ini akan menjadi lebih baik sekiranya saya kekal mendengar duet Uji Rashid dan Hail Amir. Kerajaan pun tentu suka. Seperti anak-anak hari ini yang ralit didendang oleh musik dan lirik yang menceritakan cara bagaimana kamu boleh masuk kedalam kain atau seluar pasangan kamu dan apa yang akan dan telah lakukan kepada kehendak kamu itu.

-find a really nice girl.gonna have a really nice sex.and she's gonna scream out.this is great-



Untuk itu,nasihat saya adalah,berhati-hati memilih minat kerana ia akan kekal untuk masa yang sangat lama dengan kamu.

Hari ini ulangtahun kelahiran Bob Dylan. Jika saya ucapkan selamat hari jadi kepada beliau pun,bukannya beliau tahu atau peduli cuma saya ingin menulis sesuatu tentang beliau pada hari ulangtahun ini.

Cuma,saya rasa perlu juga berterima kasih kepada yahudi yang seorang ini dalam memberi sumbangan walau banyak walau sedikit dalam membentuk pemikiran senteng saya. Tabik!


Monday, May 16, 2011

batek dan saya


Semasa masih remaja,saya selalu tersua dengan lelaki ini. Dia dan mini moke-nya kelihatan amat cool.

Kemudian,saya diberitahu yang beliau adalah Ramli Malek,pelukis batek yang amat berjaya pernah dilahirkan oleh Kuantan. Jika kamu pernah ke Club Mediterranean di Cherating,kamu tentu akan perasan yang batek yang digunakan sebagai uniform pekerja juga alas meja dan sebagainya ada sedikit kelainan dari batek yang biasa dihasilkan oleh pembatik tempatan.

Batek Club Med. tersebut adalah rekaan Ramli Malek. Diatas adalah mini moke jika kamu belum tahu.Saya ambil dari internet melalui ini. Batek rekaan beliau menjadi amat berjaya semasa hayatnya. Beberapa pereka fasyen terkemuka dunia juga menggunakan rekaan beliau. Cuma saya lupa pereka yang mana satu. Jelajah internet saya juga tidak menghasilkan maklumat mengenai beliau.

Ramli Malek meninggal dunia lemas ketika memancing. Ada cerita yang mengatakan yang beliau lemas ketika cuba menyelamatkan seorang rakan. Saya tidak tahu sama-ada cerita itu benar atau sebaliknya.

RM Batek yang terkenal di bandar Kuantan ini pula adalah perniagaan peninggal beliau yang diuruskan oleh keluarganya. Anak perempuan beliau katanya adalah hantu perempuan yang terapung di penghujung filim Hantu Kak Limah Balik Rumah.

Itu pengenalan awal saya dengan batek.

Di Telok Chempedak,tapak McDonald sekarang ini sebetulnya adalah tempat medan kraf. Bangunan yang dibina cantik dari kayu sepenuhnya itu dirobohkan kerana tidak mendatangkan untung.

Selain dari pemusnahan Masjid Tempurung di Kuantan ini,robohnya bangunan kraf di Telok Chempedak ini juga adalah antara sumber kesedihan dalam hidup saya.

Di arwah medan kraf Telok Chempedak inilah saya menempah sehelai kemeja t batek dari Roslina Abu Bakar,bekas pelajar ITM yang berbakat besar dalam seni lukis dan tidak lagi berkarya. Seperti juga nasib kebanyakan pelukis wanita diMalaya ini setelah mereka sadar betapa enaknya ditiduri dengan halal.Dibateknya oleh beliau gambar penyu PATA yang sedang panas waktu itu pada kemeja t berkenaan,jika kamu satu musin dengan saya,kamu tentu ingat akan penyu yang berkacamata hitam itu.

Malang sedikit, Roslina mewarnakan seluruh kameja t tersebut dengar warna merah jambu dan walaupun saya sendiri teramat jambu waktu itu,saya tidak-lah sanggup memakainya melainkan sekali.

Setelah dari itu, lama kemudian,Abu Yusof serta Azlan Shah memperkenalkan saya kepada Atip dan Kuda, dua dari tiga orang penyusaha batek di sebuah studio di Cherating. Saya lupa nama studio mereka. Saya juga lupa nama seorang lagi rakan mereka.Maklumlah,saya kaya,mereka miskin,mudah sebenarnya lupa melupa. Jika ada diantara kamu yang mengenali Atip dan Kuda,mungkin kamu boleh bertanya dengan mereka.

Studio mereka-lah sebenarnya yang membuatkan saya jatuh cinta dengan batek. Saya akan berulang-ulang ke studio mereka dari Kuantan untuk mempelajari seni batek. Atip yang saya kenal waktu itu adalah kanak-kanak nakal yang jika lihat jauh kedalam matanya kamu akan lihat rancangan-rancangan jahatnya. Dia adalah jiwa bebas dalam kumpulan mereka. Kuda mamat kacak yang katanya kekal kacak sehingga hari ini.

Atip dan Kuda, terima kasih atas tunjuk ajar dan sempena hari guru ini,saya mengucapkan selamat hari guru kepada kamu berdua. Saya terhutang budi atas jasa kamu berdua. Walaupun sombong,kaya-raya dan kacak,saya dengan rendah hati rela diapa-apakan oleh kamu berdua.

Atip kini katanya di Kemaman,jadi cikgu besar. Kuda pula di Kuala Lumpur.Berkawan dengan Azlan Shah.

Maka selepas itu bermula-lah kisah cinta saya dan batek.Walau kemana pun saya,kecuali semasa diluar dulu,saya pasti akan membatek. Dijual atau tidak,saya tetap membatek. Namun begitu,tumpuan saya hanya kepada lukisan batek,bukan kepada kain untuk pakaian batek. Cuma kadang-kadang ada juga saya buat untuk pakai sendiri dan mereka yang dekat.

Selain itu,saya juga pernah belajar membatek dengan AYAM atau Ahmad Yazid Abdul Malek iaitu adik kepada arwah Ramli Malek. Juga dengan Ghazali Che Omar,pemilik galeri batek Natural Art di Balok dan Ghazali Art Gallery yang terletak di Jalan Besar Kuantan.

Dan hari ini mereka ini pun datang setelah beberapa keping batek saya dipilih sebagai koleksi tetap Balai Seni Lukis Negara semasa kunjungan Ameruddin tempohari.

Sila perhatikan mereka bertiga itu. Takut benar bila saya kerahkan mereka duduk di kerusi terkenal itu. Terketar-ketar.Yang paling banyak membaca ayat-ayat suci adalah si Husni Mubarak di hujung kanan. Terkumat-kamit mulut beliau sambil punggung dilabuhkan.Saya tidak faham mentera apa yang diucapkan oleh si Kartik.Baktiar pula sudah teramat pucat dengan gigi atas serta bawah saling berlaga. Ada peluh cemas pada dari semua mereka.

-jangan kutuk kami dalam blog- rayu Baktiar bagi pihak mereka. Ini-lah raputasi yang akan kekal menghantui saya. Sepertilah saya ini teramat jahat. Yang kerjanya menjatuhkan orang sahaja. Jika hal ini diketahui oleh Mok saya,apakah kamu tidak fikir betapa sedihnya dia? Apa lagi kesedih selain kesedihan seorang ibu bilamana anak yang dididik benar,yang telah terbukti sopan,yang menghormati tua dan mencintai yang muda,yang seluruh hidupnya diabadikan kepada kesejahteraan orang lain dituduh sebagai kelahiran semula kejahatan dimuka alam ini?

Kamu semua memang tidak berhati perut melukakan Mok saya sebegitu rupa.

Dibawah ini adalah 5keping batek yang telah dipilih. Nanti jika kamu tanpa terduga serta tidak dengan kehendak kamu sendiri entah bagaimana berada di Balai Seni Lukis Negara,datang-lah ziarah mereka kerana itu-lah paling hampir kamu akan mendekati saya. Jika mahu,cium-lah mereka kerana hanya itu peluang yang kamu ada untuk mencium saya.

Juga,jika kamu adalah pelukis dan entah bagaimana,disatu acara apa, ada orang berkata-itulah abdullahjones yang hebat tu-sambil menunding kearah saya dengan ibujari sambil jari lain digengam sebagai tanpa amat hormat kepada saya,bersegeralah kamu kepada saya dan jabat serta cium tangan saya berkali-kali kerana itu-lah peluang paling hampir untuk lukisan kamu di gantung didewan pameran Balai Seni Lukis Negara.
Oh! Lupa. Saya menawarkan 15juta ringgit sebagai tukaran. Mereka kata mereka cuma mampu 10juta. Maka saya pun setuju. Berkorban demi negara tiada harga sebenarnya.

Saturday, May 07, 2011

pertandingan foto

kemaskini: tarikh tutup pertanding ini dilanjutkan ke 20JUN2011.harap maklum.



Satu pertandingan foto anjuran Jabatan Penerangan Malaysia dengan sedikit kerjasama dari Rajawali Art Studio sedang berlangsung sekarang dengan tarikh tutupnya adalah pada 25hb May 2011.

Peserta diminta menghantar penyertaan ke email: foto1malaysia@inform.gov.my

Petandingan ini terbuka kepada semua jadi sila hantar penyertaan segera. Syarat pertandingan ada dibawah sana.

Saya adalah ketua hakim dan sila berbudi bahasa dengan saya jika kamu mahu menang. Oh! saya amat memerlukan sebuah kamera baru sekarang ini. uhuk!

pertandingan ini adalah sempena KARNIVAL 1MALAYSIA yang akan diadakan di perkarangan AUDITORIUM RTM ALOR STAR mulai 26MAY hingga 28MAY 2011. Penyampaian hadian akan diadakan pada 28MAY 2011

Syarat Pertandingan

Berikut adalah antara syarat pertandingan yang akan digunakan dalam pertandingan ini.

1. Penyertaan adalah terbuka kepada semua rakyat Malaysia kecuali ahli jawatankuasa pertandingan dan staf Jabatan Penerangan Malaysia.

2. Setiap peserta dibenarkan untuk menghantar satu penyertaan sahaja.

3. Foto yang diambil mestilah merupakan foto terkini, mempunyai mesej, nilai-nilai dan berunsurkan konsep dan semangat 1Malaysia dan menonjolkan keistimewaan konsep tersebut. Karya foto juga mestilah mengandungi nilai kesepaduan dan kesatuan antara kaum di Malaysia.

4. Interpretasi para peserta terhadap tema 1Malaysia adalah bebas selagi ianya tidak terkeluar daripada tema asas.

5. Peserta boleh menggunakan sebarang jenis kamera digital atau analog.

6. Segala kos yang terlibat dalam menyertai pertandingan ini adalah ditanggung sendiri oleh peserta.

7. Borang penyertaan hendaklah ditampal dibelakang mounting board.

8. Foto yang dikemukakan bagi tujuan pertandingan ini mestilah foto asli yang diambil sendiri oleh peserta.

9. Suntingan seperti pengubahan brigthness, cropping, softening dan sharpening terhadap foto menggunakan sebarang perisian komputer adalah DIBENARKAN termasuk teknik gambar yang dimanupulasi adalah DIBENARKAN.

10. Penggunaan ayat-ayat interpretasi, caption, watermark dan sebarang guna typografi untuk menggambarkan tema foto yang diambil adalah TIDAK DIBENARKAN.

11. Jurufoto adalah pemegang hakcipta foto masing masing. Walaubagaimanapun, pihak penganjur (Jabatan Penerangan Malaysia) berhak menggunakan kesemua foto foto yang dipertandingkan untuk sebarang tujuan diatas sebarang media tanpa perlu membuat sebarang notis atau bayaran kepada peserta.

12. Setiap penyertaan akan dihakimi oleh panel hakim profesional bebas yang dilantik oleh pihak penganjur.