Sunday, October 30, 2005

bangkai

Demi untuk menyambut Hari Raya dengan gembira, kita di Malaya biasanya akan bersedih. Dengarkan takbir Raya versi Malaya, kita ke kubur di pagi Raya dan perhatikan bait-bait puisi di dalam kebanyakkan lagu Raya. Semuanya bertemakan kesedihan. Kita bersedih untuk bergembira. Hal ini yang unik untuk rakyar Malaya atau mungkin juga untuk Malaya dan Indonesia.

Jadi untuk itu, saya akan menceritakan kisah sedih bagaimana kehormatan saya di cabul satu masa dulu.

Kisah hitam di dalam kehidupan saya bermula satu pagi yang aman. Saya masih ingat pagi itu di masa burung-burung riang bernyanyi, matahari pagi sedang rancak menyuluh vitamin tetapi saya merasakan sedikit tekanan di dalam perut sebelah kiri.

Saya membuat panggilan kepada Dr. Mahmood kawan saya. Saya menceritakan tentang kesakitan tersebut. Dia menggesa saya supaya segera ke kliniknya.

Kesakitan yang saya alami semakin teruk, saya memandu di dalam keadaan separuh sedar. Mujur benar klinik Dr. Mahmood cuma kira-kira limabelas minit perjalanan.

Sampai di klinik, saya di baringkan. Dr. mahmood menekan-nekan keseluruhan perut saya, apabila sampai kebahagian yang berpenyakit, saya terlompat dari katil sambil sedikit menjerit kesakitan.

Dr. Mahmood berpendapat yang saya perlu segera di hantar ke hospital. Mulanya dia hanya menulis sedikit nota untuk saya bawa ke hospital, tetapi akhirnya beliau mengambil keputusan untuk menghantar sendiri saya ke hospital. (begitulah pentingnya saya kepada Dr. Mahmood)

Tiba di hospital saya di berikan keutamaan oleh para petugas mungkin kerana saya di bawa terus oleh Dr. Mahmood yang pernah bertugas di hospital berkenaan. Dan bermulalah pencabulan terhadap saya. (sigh)

Saya di masukan ke wad.

Yang mula-mula mencabul saya adalah seorang petugas hospital. Wanita. Mungkin kerana tidak dapat mengawal perasaan setelah melihat kekacakan saya, beliau lantas mengarahkan supaya saya mencukur err.. (saya sedang mencari perkataan yang tidak lucah di sini) rambut di sekeliling alat pembuang sisa toksik saya. ( saya yakin beliau mempunyai minat yang pelik terhadap hubungan intim)

Saya kemudian di bawa ke sebuah bilik yang di lengkapi dengan bermacam-macam alatan teknologi tinggi. Saya di baringkan dan beliau mula melumurkan kawasan bawah pusat saya dengan sejenis gel. Dia kelihatan amat gembira. Dengan menggunakan sejenis kanta terus dia mula meraba-raba keseluruh kawan bawah pusat saya dengan alat tersebut. Alangkah terkejutnya saya apabila saya dapati semua perlakuan ini di rakam! Sumpah! saya melihat sendiri gambar-gambar yang disiarkan secara langsung ke kaca televisyen di depan saya. Saya berdoa agar rakaman itu tidak sampai kepada tokey wayang kongkek atau lebih teruk lagi kepada Polis! (dan saya bersyukur kerana sampai hari ini rakaman tersebut masih belum tersebar)

Setelah beberapa lama (saya tidak ingat kerana saya cuba memperdayakan diri sendiri dengan mengatakan ini semua tidak berlaku), beliau mengarahkan supaya saya membersihkan diri dan pulang ke wad. Saya angguk dan seperti di pukau mengikut semua arahannya. (saya yakin saya sebenarnya telah di berikan ubat khayal di dalam minuman saya)

Sangka saya semuanya telah berakhir, rupa-rupanya tidak. Esoknya seorang pemuda yang agak comel datang berjumpa saya. Dia memperkenalnya dirinya sebagai doktor. (saya tahu dia cuba menipu saya kerana dia cuma seorang pelajar perubatan bukannya doktor betul).

Dia juga mengambil kesempatan ke atas diri saya. Yang paling memalukan adalah ianya berlaku di khalayak ramai. Saya di cabul di tengah-tengah wad. Walaupun dia cuba melindungi perbuatan perbuatan terkutuknya dengan langsir senipis kulit bawang, saya yakin semua mangsa lain di sekeliling saya tahu apa yang berlaku.

Saya tidak mahu menceritakan apa yang berlaku kerana ianya amat memalukan saya. Cukuplah sekadar saya mengatakan yang pemuda comel itu menggunakan sarung tangan getah.

Setelah selesai, beliau mengatakan yang beliau masih belum puas dan berjanji akan datang lagi esoknya. Saya memberanikan diri bertanya apakah yang akan dilakukan esok. Beliau dengan senyuman mengatakan yang beliau perlu memasukan kamera melalui jalan depan setelah apa yang beliau lakukan melalui jalan belakang tadi tidak memuaskan nafsunya.

Saya terdiam.

Malam itu saya mengambil keputusan untuk melarikan diri dari neraka ini. Saya kumpulkan semangat saya dan ketika semua mangsa lain sedang tidur dan para pencabul sedang ralit dengan tugas masing-masing, saya melarikan diri.

Saya bebas. Tetapi merasakan diri saya sangat kotor setelah di perlakukan begitu. Saya merasakan diri saya hanya sebagai alat pemuas nafsu. Saya mandi berkali-kali.

Setelah beberapa tahun peristiwa hitam itu berlaku, Saya masih di ingati oleh semua penjahat-penjahat tersebut kerana setiap kali ada sahabat-sahabat saya yang terpaksa ke hospital itu, nama saya akan di sebut. Saya menjadi lagenda sebagai satu-satunya mangsa cabul yang berani melarikan diri. Lagenda kerana di cabul! hina sungguh saya ini...

Sekarang saya boleh berhari raya dengan gembira kerana saya telah bersedih dengan mengingati peristiwa hitam tersebut.

(Peristiwa hita ini berlaku sama tarikhnya dengan pemecatan Anwar Ibrahim. Saya mendapat tahu mengenainya apabila mangsa di katil sebelah bertanya benarkah Anwar Ibrahim di pecat).

EID MUBARAK SEMUA.

p/s: oleh kerana ada yang tidak senang dengan ayat-ayat yang saya gunakan di bawah, di sini saya masukan perkatan lain sebagai ganti.

anak haram- anak tunastatus
kote - alat kelamin lelaki
zina - laga lubang kencing

jika masih ada perkatan yang menggangu emosi kalian sila beritahu saya, saya akan tukar.

Thursday, October 27, 2005

ayam

Maafkan saya kerana semakin rajin menulis. Kali ini sebenarnya saya terpaksa menulis kerana dada saya sebak setelah membaca berita bagaimana beberapa orang kanak-kanak yang menangis apabila mengetahui yang mereka adalah anak hasil dari hubungan haram 'ibu-bapa' mereka.

Bapa mereka telah mengumpulkan dua adik beradik perempuan menjadi isterinya dalam satu masa.( dia bernikah dengan salah satu dari adik beradik itu dan dalam masa yang sama bantai free yang seorang lagi) Dalam bahasa sekarang ini di panggil sumbang mahram.

Bayangkan perasaan anak-anak ini. Dapatkah kita merasakan kesedihan mereka? Cuba bayangkan kita berada di tempat mereka. Cuba bayangkan jika hari ini ada bukti yang mengatakan yang kita ini adalah anak hasil hubungan haram.

Kita boleh memujuk diri dengan mengatakan anak-anak ini tidak berdosa, tetapi dapatkah kata-kata ini membebaskan anak-anak ini dari kesedihan yang pada saya melebihi kebanyakkan kesedihan yang kita alami. (ie: tidak sempat bersalam dengan mawi, kekalahan Liverpool semalam, atau kesedihan kad raya yang kita hantar kepada nasya aziz tidak di balas).

Saranan saya kepada sesiapa saya yang mahu berzina ialah pastikan kamu tidak melahirkan anak. Bantai lah siapa saja yang kamu mahu jika memang kamu jenis yang suka berzina. Lupakan balasan Tuhan, tetapi tolonglah pastikan yang dosa kamu itu tidak akan membawa kesedihan kepada ibu kamu. Pastikan juga yang dosa kamu itu nanti tidak akan membawa kesedihan kepada anak-anak haram hasil kerasnya kote kamu.

Tergamak sungguh lelaki itu kekal di dalam dosa untuk jangka masa begitu lama.

Saya juga banyak berdosa dan saya berdoa semoga Tuhan segera kembalikan saya kepada kebaikan setiap kali saya berbuat dosa.

nb: berita baik untuk para penzina yang mahu memastikan mereka boleh bantai ikut lubang mana sekalipun tanpa perlu risau mengenai melahirkan anak haram. kini telah ada satu suntikan yang dijamin akan memastikan tidak berlaku kehamilan yang tidak diingini untuk jangka masa tiga tahun (sekurang-kurangnya). hubungi saya jika berminat.

Tuesday, October 25, 2005

semuanya

Semua manusia mempunyai keyakinan yang mereka adalah istimewa. Ada yang duduk diam dengan keyakinan itu dan tidak kurang pula yang berkongsi dengan manusia lain.

Dari sifat keyakinan tentang istimewanya diri inilah lahirnya manusia-manusia seperti Ayah Pin, Sir Prof. Al-Haj Al Hafez Mohd. Arief dan juga err..penulis blog. Ramai juga manusia yang memikirkan yang mereka adalah anugerah kepada kemanusiaan, lalu mereka bersusah payah membuat perbagai dosa untuk menjadi ahli politik (yang korap).

Istimewakah setiap individu? Saya merasakan tidak tetapi apa yang berlaku sebenarnya adalah setiap manusia mempunyai identiti tersendiri. Masing-masing mempunyai keunikan yang memisahkan satu manusia dengan manusia yang lain


Saya kehabisan modal, cuma saya mulakan tulisan ini setelah membaca mengenai bomoh yang mengaku mendapat perbagai gelaran. Bukan susah untuk mengesahkan samada gelaran-gelaran itu benar atau tidak. Sebagai contoh jika beliau mengaku sebagai al-hafez, suruh saja beliau membaca beberapa surah dari al-quran. Atau minta saja alamat sekolah dimana beliau mendakwa mendapat gelaran Sir Prof. dan hubungi sekolah berkenaan untuk membuat pengesahan.

Sebenarnya yang paling malang adalah mereka-mereka yang sibuk mencari bomoh untuk apa juga tujuan. Saya rasa mereka memang layak di tipu.

Laki kawin lain, jumpa bomoh. Bomoh suruh kangkang, dia kangkang. Lambat kawin, jumpa bomoh. Bomoh suruh tonggeng, dia tonggeng. Ketiak tumbuh ketuat, jumpa bomoh. Bomoh ajak main , no problem. Janji dapat balik laki. Janji dapat laki. Janji ketuat hilang.

Tahukah anda yang kebanyakan ahli politik (yang korap) adalah pelanggan tetap para bomoh?
Dan tahukah anda yang Sir Prof. itu sebelum mendapat ilmu sakti adalah penjual roti bermotosikal?

mengarut sungguh tulisan ini.

Sunday, October 23, 2005

mati

+ Suara perempuan aurat kah?
- Ya.
+ Apakah hukum para perempuan yang membuka aurat?
- Haram.

+ Katakanlah yang tokey judi di Genting sana seorang Islam. Sampai masanya dia ingin membayar zakat hartanya. Bolehkah JAIS atau mana-mana pusat zakat menerimanya?
- Tidak boleh kerana hartanya datang hasil yang haram.

+ Jika seorang penyanyi perempuan yang membuka aurat datang untuk membayar zakat hartanya, bolehkah JAIS atau mana-mana pusat zakat menerimanya?
- Erm...


- Jika sepasang suami isteri bersenggama di siang hari di bulan Ramadhan, apakah kedua-duanya wajib berpuasa selama tiga bulan berterusan?
+ Tidak, hanya suami yang wajib berpuasa selama tiga bulan berterusan.
- Mengapa?
+ Kamu pernah jumpa perempuan yang boleh berpuasa selama tiga bulan secara marathon?
- Jadi perempuan boleh bersenggama di siang hari di bulan Ramadhan tetapi lelaki tidak boleh?
+ Erm.. ya.


ps: saya sengaja mengambil cuti dari duduk didepan komputer untuk beberapa hari Puan Dr. (saya suka membaca mengenai ais krim cold storage di papanota blog kamu). saya masih di sini halela, tidak di Malaya. kita bila agaknya bukan kita bila lagi Tok Rimau. kita bila lagi seperti mengesa untuk segera.

Friday, October 21, 2005

hati

min/ini hatiku/ambil dan simpan didalam hatimu/min/bosan nanti/kembalikan hati itu/kepadaku/min/hidup ini amat mudah/tidak perlu susah hati/tidak perlu bunuh diri.

Ingatan awal saya terhadap musik biasanya akan membawa saya ke rumah makcik Enon Tan. Hanya di rumah ini sajalah yang ada pemain piring hitam di kampung saya. Apa yang saya ingat tentang alat pemain piring hitam ini adalah ianya berwarna merah di bawah dan putih di atas dan berukuran satu kaki kali satu kaki.

Himpunan piring hitam milik makcik Enon Tan terdiri dari sembilan puluh sembilan peratus lagu-lagu hindustan dan selebihnya adalah musik melayu masa itu. Makcik Enon Tan adalah peminat hindustan sejati. Setiap kali ada tayangan filim hindustan di panggung, makcik Enon Tan akan bercuti dari mengambil upah mencuci pakaian di rumah-rumah orang. Saya pasti kamu semua tidak akan percaya jika saya katakan yang makcik Enon Tan akan mengenakan pakaian yang paling cantik didalam simpanannya, dia juga akan mengerintingkan rambutnya dan awal-awal pagi lagi dia akan ke perhentian bas untuk menuju ke bandar. Melihat makcik Enon Tan bersiap dan berjalan menuju ke perhentian bas adalah satu wayang yang akan sentiasa bermain di kepala saya setiap kali saya terserempak dengan apa-apa hindustan.

Lagu hindustan yang paling saya kenali adalah sebuah lagu yang di selang-seli dengan bunyi gajah. Hati mere sati atau apa tajuknya saya lupa. Dari lagu inilah Syd Barret dan rakan-rakannya mendapat ilham untuk memasukkan berbagai bunyi di dalam kebanyakan musik Pink Floyd. (ha.ha.)

Makcik Enon Tan ada empat orang anak. Harun, Musa, Hamzah dan Mariana. Dan seperti yang di jangka, Mariana kami gelarkan sebagai Ana bolo-bolo.

Harun sebagai anak yang sulong adalah seorang anak yang sangat bertanggungjawab. Itu saja yang boleh saya katakan mengenai beliau.

Musa pula adalah seorang budak yang mendahului zamannya. Dia adalah Mc Gyver zaman kami. Segala macam rekaan di ciptanya. Pedang yang di sorok didalam payung buluh (payung kubur kata setengah orang).Panggung wayang kulit mini dibawah rumah. Musa juga adalah ketua pasukan Pengakap di kampung kami. Kampung kamu ada pasukan Pengakap?

Hari ini Musa katanya bertugas sebagai Pegawai Tentera di Sungai Besi . Sudah bertahun saya tidak berjumpa dengan beliau.

Hamzah adalah ahli seni didalam keluarga Makcik Enon Tan. Dia amat mahir bermain gitar dan mempunyai suara yang amat baik. Tapi dia juga seorang yang sangat pendiam dan pemalu. Didalam dirinya juga tidak ada keinginan untuk menjadi penyanyi. Dia hanya bernyanyi untuk hiburan diri sendiri.

Kerja terakhir Hamzah yang saya tahu adalah sebagai pemotong rumput di bawah majlis perbandaran tempat tinggal beliau. Saya juga telah lama tidak berjumpa dengan Hamzah, lebih duapuluh tahun rasa saya. Pagi Ahad yang lalu emak saya memberitahu yang Hamzah telah meninggal dunia pada Selasa awal puasa.Dia muntah berdarah pagi sebelum ke tempat kerja dan meninggal pada petangnya. Dia merupakan kawan rapat saya dari kampung. Semasa di kampung saya ada empat kawan rapat, Pa,Iji,Kodik dan Mezah. Tolonglah hadiahkan fatehah untuk kawan rapat saya ini. Nama penuhnya adalah Hamzah Mohd. Noor.


nb: malu benar apabila udika mengatakan saya ini ada di mana-mana. dahulu kami mengelarkan mereka-mereka yang begini sebagai 'scorpion'. (always somewhere)

tulisan paling atas tidak ada kena mengena dengan tulisan di bawahnya.

saya merasakan buku Jiwa Kacau amat sesuai dijadikan majallah bulanan. di keluarkan setiap bulan atau pun setiap dua bulan. (majallah + blog = jalog)

Monday, October 10, 2005

................

Tidakkah kamu merasa takut apabila membaca/melihat berita bagaimana hari ini Tuhan seakan-akan mahu menghapuskan bangsa manusia yang hari ini dengan besar-besaran? Segala macam ombak besar dan segala macam gempa yang berlaku hari ini membawa balik beribu-ribu nyawa kembali kepada Tuhannya.

Tidak adakah ketakutan didalam diri kamu apabila membaca ayat-ayat Tuhan bagaimana Tuhan akan menukar bangsa manusia yang hari ini dengan bangsa yang lain apabila bangsa yang ini tidak endah akan larangan dan mengabaikan perintahNya?

Atau kamu masih sibuk dengan mawi?

Saya amat takut.

Saturday, October 08, 2005

roboh synagogue

Abdullah Jones @ Tareht @ OsmanTikus berasal dari Malaya. Mungkin beliau menggunakan komputer yang bersambung dengan mesin masa melalui pacuan USB bagi membolehkan rakyat Malaysia membaca tulisannya. Sekarang beliau merantau di negeri penjajah. Pada masa lapangnya dia melukis kartun yang hodoh tapi sarat dengan makna dan nasihat. Biasanya nasihat ini disampaikan oleh hidupan asing dari Planet Marikh.

Demikianlah bunyi pengenalan saya (saya mensyaki Tok Rimau yang menulis pengenalan ini) di dalam buku Jiwa Kacau. Selain dari ayat diatas yang mengatakan saya seorang lelaki yang sangat kacak, saya langsung tidak bersetuju dengan pengenalan yang di tulis di dalam buku berkenaan.

Saya bersetuju dengan sinaganaga yang kulit buku itu sangat cantik.

Perlukah kamu membeli buku ini? Perlu jika kamu mempunyai banyak masa untuk membaca kata pengantar buku ini dengan menggunakan kanta pembesar dan juga rela di advancerkan oleh perbagai macam stail penulisan.

Adakah harga buku tersebut berpatutan? Sangat patut jika selama ini kamu memperuntuk jumlah yang sama untuk membeli karya-karya agung mama Juwie dan rakan-rakan.

Adakah susunatur buku ini menarik? Tidak.

Adakah siri kedua Jiwa kacau perlu di terbitkan segera? Tidak.

Adakah buku ini perlu dimiliki hanya kerana ianya di tulis oleh orang-orang yang kamu kenali (rapat)? Ya jika kamu memang mengamalkan kronism.

Dimanakah boleh kamu mendapatkan buku ini? Baca blog Tok Rimau atau googlekan perkataan Jiwa Kacau.

Terima Kasih Basri kerana segera menghantar buku ini kepada saya.

Wednesday, October 05, 2005

di Tebing Gaza

Extra-unggu:Bukan Cinta Biasa

Danial Ezry Iskandar Hakim cemas. Sudah banyak kali peristiwa begini berlaku kepadanya. Dan biasanya berita yang sampai kepadanya pada hari pertama Ramadhan adalah berita buruk.

Dia menerima panggilan talipon dari kekasihnya ( Erra Emilia Emeralda Sophia Nathasa) kira-kira jam sembilan pagi tadi. Gadis yang bertubuh luarbiasa gemuknya itu kedengaran seperti hampir menangis apabila mengesa Danial Ezry Iskandar Halim supaya segera datang kerumahnya.

Ramai yang mempertikaikan pilihanya ketika dia mula-mula merapati Erra Emilia Emeralda Sophia Nathasa dulu. Mereka, terutama teman-teman se esekutifnya membantah. Mereka tidak faham mengapa Danial Ezry Iskandar Hakim memilih gadis yang walau agak manis tetapi mempunyai tubuh yang amat luarbiasa gemuknya. Danial Ezry Iskandar Hakim cuba tersenyum setiap kali teman-temannya cuba mempengaruhinya untuk meninggalkan Erra Emilia Emeralda Sophia Nathasa. Dia tahu mereka semua tidak faham erti sebenar cinta.

Danial Ezry Iskandar Hakim mempercepatkan laju Prtoton Wajanya. Dia semakin cemas, lebih-lebih lagi bila teringatkan nada suara Erra Emilia Emeralda Sophia Nathasa. Dia dapat merasakan pasti ada berita buruk yang akan di sampaikan oleh Erra Emeralda Sophia Nathasa. Seperti berita buruk yang di sampaikan oleh ibunya, Datin Manja Maria Mulia Dato Abu Mansur.

Dia masih ingat pagi itu. Pagi yang seperti ini juga, Ramadhan yang pertama. Masih terngiang-ngiang suara ibunya, Datin Manja Maria Mulia Dato Abu Mansur di hujung talipon menyuruh dia pulang segera kerana bapanya, Dato Addul Manaf Bin Amran di timpa kemalangan. Setiba dia di rumah, Danial Ezry Iskandar Hakim di beritahu yang bapanya telah meninggal dunia akibat serangan jantung ketika bermain golf.

Begitu juga pagi Ramadhan dua musim lepas. Dia menerima berita pemergian adiknya yang sedang menuntut di Australia akibat kemalangan jalanraya.

Semua kesedihan ini berlaku di hari pertama Ramadhan. Dia amat gelisah. Kenderan di jalanraya hari ini seperti berpakat untuk memperlahankan lajunya. Dia menoleh ke kiri dan kanan. Pemandu-pemandu kenderaan yang lain seperti sedang mentertawakan dirinya.

Akhirnya setelah setengah jam memandu, dia sampai ke kaki apartment tempat tinggal Erra Emilia Emeralda Sophia Nathasa. Bergegas dia berlari ke block Anggerik setelah meletaknya Proton Waja warna peraknya di tempat letak kereta. Sampai di pintu norbor 1403 dia segera mengeluarkan kunci pendua dan membukanya.

Di sofa kelihatan Erra Emilia Emeralda Sophia Nathasa sedang menangis teresak-esak. Jam dingding menunjukkan pukul 9:30 pagi. Dia merapati kekasihnya dan bertanya:

'mengapa Erra Emilia Emeralda Sophia Nathasa? Apakah gerangannya yang berlaku?'

Demi terlihatkan Danial Ezry Iskandar Hakim, tangisan Erra Emeralda Sophia Nathasa seperti tidak dapat di bendung lagi. Dia (Erra Emeralda Sophia Natshasa) menangis.

Danial Ezry Iskandar Hakim mengusap rambut kekasihnya itu dengan penuh kasih sayang. Dia sebak melihatkan kekasihnya dalam kesedihan. Dia mengulangi soalan tadi:

'mengapa Erra Emilia Emeralda Sophia Natshasa? Apakah gerangannya yang berlaku?'

Erra Emilia Emeralda Sophia Nathasa mengangkat kepalanya dan memandang tepat kemuka Danial Ezry Iskandar Hakim, dengan bibir yang terketar-ketar dia seperti cuba untuk memberitahu sesuatu. Danial Ezry Iskandar Hakim makin cemas. Seribu persoalan menerpa ke kepalanya.

Erra Emilia Emeralda Sophia Nathasa mengagahkan diri dan menelan liur melalui tekaknya yang terasa amat kering itu. Dengan suara yang hampir tidak kedengaran dia berkata: 'i...i... i lapar.'

Sunday, October 02, 2005

adalah ingkar

Amat mudah untuk membuat bubur kacang. Ambil kacang hijau, santan kelapa, gula merah dan air.Tambahkan daun pandan untuk aroma. Ringkas dan amat lazat. Boleh makan begitu sahaja atau di cicah dengan roti. (pun intended)

Tetapi di sebabkan kita ini diresapi cara hidup yang korap, bubur kacang hari ini di campur dengan bermacam-macam bendasing. Ada yang tambah jagung, kacang merah, biji selasih, telur katak dan juga kacang bendi. Ini kononnya apa yang di panggil menambah nilai.

Saya amat benci apabila makanan saya di tambah nilai. Apabila saya mahukan bubur kacang, saya mahukan bubur kacang yang betul. Kamu tidak perlu membeli jiwa saya dengan bubur kacang yang di tambah nilai. Saya hanya mahu deria rasa saya di hiburkan dengan kacang hijau, santan kelapa dan gula merah. Saya tidak mahu deria rasa saya di tipu oleh kacang merah,jagung,biji selasih, telur katak dan lebih-lebih lagi kacang bendi.

Budak-budak yang berumur di bawah duapuluh lima tahun tentu akan terkejut apabila mengetahui yang datuk-nenek-pakcik-makcik-mak-bapak mereka memakan bubur kacang yang tidak di tambah nilai. Bagi mereka ini adalah cara yang salah untuk menyediakan bubur kacang.Bagi mereka memberi rasuah adalah wajip. Membayar saman adalah haram. Kepala mereka sudah menghalalkan bubur kacang di tambah nilai.

Mereka juga dengan senang hati memakan nasi lemak dengan kang kong goreng seperti mana mereka merasa selesa memakai kemeja t yang di perbuat dari bahan plastik di tengah panas matahari tanah Malaya.

Dan kari ayam yang di campur daun limau purut. bah! Mahu saja saya lemparkan mangkuk kari ayam limau purut ke muka mereka.


p/s: siapa mat jan? kamu telah melakukan satu dosa yang tidak terampun kepada lagenda hidup dunia blog. pergi ke alamat ini dan minta ampun kepada mat jan: http://www.kroni.biz/jj/

Selamat berpuasa semua. Jangan habiskan puasa kamu di pasar Ramadhan. Dan kepada peniaga pasar Ramadhan, kamu tidak perlu menghantar baki jualan kamu ke masjid-masjid kerana kami bukan rakyat kelas dua.

Sama pemikiran dengan Dato Rais Yatim? umno-s46-umno. Tak apalah. Lain kalilah.
Dan ya, Dato Rais memang membaca blog saya. Begitu juga dengan Dato K, Dato S. Apabila tidak sibuk, Dato Sri Abdullah Badawi juga selalu kemari.